Thursday, January 1, 2015

Kiamat Itu Benar !!!


‘Biar dunia hancur berkecai, langit runtuh, biar bumi terbelah dua, biar halilintar sambar menyambar, ombak dan badai mengganas, mahu pun gunung ganang lebur, walau nyawa melayang namun perjuangan diteruskan dan segalanya akan dipertahankan’

Kebanyakkan daripada kita pasti pernah melihat dan mendengar bergema teriakan dan gemuruh tepuk sorak tanda sokongan padu apabila seseorang pemimpin yang sedang berada ditampuk kekuasaan dan kekuatan berucap berapi api dan penuh bersemangat seperti ungkapan diatas. Dia mengatakan apa yang baik pada akal fikir dan pandangannya sahaja, namun sebenarnya hanya untuk mempertahankan kekuasaannya daripada tergugat, manakala juak juaknya pula menyokong semata mata tidak mahu kehilangan sedikit limpahan kemewahan dan kesenangan yang sedang dikecapi daripada pemimpin tersebut.

Selalunya, kalau pemimpin sesuatu kaum atau bangsa itu akan menjadikannya sebagai perinsip perjuangan atas kaum dan bangsanya sebagai alat atau batu loncatan bagi meraih sokongan untuk berkuasa terus keatas kaumnya tersebut. Kekuasaan yang diperolehinya akan membolehkan mengaut kekayaan buat pribadinya namun dibahagikan sedikit kepada juak juak yang menyokong sebagai mengaburi pandangan semata. Bagi mereka yang pandai bodek dan ampu pula akan beroleh agak lumayan, lebih lebih lagi jika sanggup juga menumbuk rusuk! 

Tulisan ini tidak bermaksud mahu memperkatakan soal perjuangan yang menjadi perinsip bagi pemimpin dan kaum kaum tertentu, tetapi tentang sikap manusia yang sebenarnya gila kuasa sehinggakan apabila berkata kata dan mengambil tindakan itu selalunya melampaui batas batas ketentuan dan ketetapan Allah SWT. Pemimpin dan kaumnya yang seumpama banyak digarapkan oleh Allah SWT didalam al Quran, namun manusia itu tidak mahu memikirkan dan tidak mahu mengambil pelajaran. 

Sesungguhnya kuasa yang dimiliki dan kekayaan yang dikecapi manusia itu adalah berupa amanah yang diperuji oleh Tuhan agar diselenggarakan dengan sebaik baiknya. Namun dengan sifat Kasih dan Sayang Allah SWT, maka diturunkanNya al Quran sebagai petunjuk agar manusia itu memperolehi rahmatNya didalam menjalankan pertanggungjawaban yang diamanahkan itu. Dahulu sudah ada siFiraun dan siQarun, akan datang juga pasti akan ada yang seumpama mereka; seperti yang terdahulu dan yang akan datang itu, sekarang ini juga sememangnya manusia yang demikian itu tetap juga ada!

“Sesungguhnya telah Kami terangkan didalam al Quran ini untuk manusia dengan bermacam macam contoh tetapi kebanyakan manusia enggan, kecuali engkar (kafir)” {17:89}

Sesungguhnya kerana kekuasaan dan kekayaan itu, manusia menjadi angkuh, sombong dan takabur terhadap Allah SWTdisamping tohmah, fitnah penipuan dan penindasan. Sungguh sungguh mereka adalah manusia yang telah melampaui batas kerana mengaku telah beriman kepada Allah dan Rasulnya tetapi tidak mempercayai al Quran dengan sebenar benarnya, dan apabila dibaca dan disampaikan al Quran, mereka berpaling dan menentang. Ungkapan dan tindakan manusia seperti yang diatas tersebut, sebenarnya memperolok olok dan mempermainkan Kalam kalam Tuhan tentang Hari Kiamat didalam Firman firmanNya! Banyak kali Allah SWT menggarapkan didalam al Quran berkaitan dengan Hari Kiamat. Sebahagiannya dicatatkan dibawah, semoga mendapat pelajaran bagi mereka yang berakal dan mahu memikirkan sebagai pelajaran dari Tuhan. InsyaAllah. 

“Dan (ingatlah) pada hari (ketika) Kami perjalankan gunung gunung dan engkau akan melihat bumi itu rata, dan Kami kumpulkan mereka (seluruh manusia), dan tidak Kami tinggalkan seorang pun dari mereka” {18:47}

“Hai sekalian manusia, taqwalah kamu kepada Tuhan mu; sesungguhnya gempa bumi pada Hari Kiamat, suatu kejadian yang amat besar. Pada hari itu kamu lihat, ibu yang menyusukan lupa akan anak yang disusukan dan setiap perempuan yang hamil, gugur kandungannya. Engkau lihat manusia dalam keadaan mabuk, tetapi mereka bukan mabuk, tetapi siksa Allah sangat keras “ {22:1-2}

“Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan mu dan takutlah pada hari yang seorang bapa tidak dapat menolong anaknya, dan seorang anak tidak pula dapat menolong bapanya. Sungguh janji Allah pasti benar, maka jangnlah sesekali kamu terpedaya kehidupan dunia dan jangan sampai kamu terpedaya oleh penipu dalam (mentaati) Allah” {31:33)

“Maka tunggulah pada hari ketika langit membawa kabut yang tampak jelas. Yang meliputi manusia; Inilah azab yang pedih” (44:10-11}

“Pada ketika langit bergoncang sekeras kerasnya, dan gunung berjalan; maka celakalah pada hari itu bagi orang orang yang mendustakan” {52:9-10}

“Saat (hari kiamat) semakin dekat, bulan pun terbelah” {54:1)

“Apabila terjadi hari kiamat, terjadinya tidak dapat didustakan. Kejadian itu merendahkan (satu golongan) dan meninggikan (satu golongan) Apabila bumi digoncangkan sedahsyat dahsyatnya dan gunung dihancur luluhkan sehancur hancurnya, maka jadilah debu yang beterbangan” {56:1-6}

“Apabila matahari digulung, dan apabila bintang bintang berjatuhan, dan apabila gunung gunung dihancurka, dan apabila unta unta bunting ditinggalkan, dan apabila binatang liar dikumpulkan, dan apabila lautan dipanaskan, dan apabila ruh ruh dipertemukan (dengan tubuh), dan apabila bayi bayi perempuan yang dikuburkan hidup hidup ditanya kerana dosa apakah dia dibunuh, dan apabila lembaran (catatan amal) telah dibuka lebar lebar, dan apabila langit dilenyapkan, dan apabila neraka jahim dinyalakan, dan apabila syurga didekatka; setiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dikerjakan” {81:1-14}

Mampukah seseorang pemimpin itu dan dan juak juaknyamempertahankan apa yang dijanji dan disumpahkan itu sewaktu Hari Kiamat berlaku? Gambaran Allah SWT didalam FirmanNya tersebut adalah berupa amaran dan peringatan kepada manusia keseluruhan. Sungguh! Manusia yang aniaya dan jahil telah menyanggupi memikul amanah Allah SWT menerima al Quran itu, dan sesungguhnya bukanlah mereka yang bijak pandai (ilmu tinggi melangit), kaya raya (bagai bumi yang menyimpan khazanah) dan berkuasa (seperti gunung ganang gagah berdiri) untuk memikul amanah al Quran, kerana mereka tidak beriman kepadanya. Sesungguhnya mereka pasti akan melampaui batas batas ketentuan Allah SWT dengan perkataan dan perbuatan mereka. 

“Sesungguhnya telah Kami unjukkan amanah (perintah) kepada langit, bumi dan gunung gunung, lalu mereka enggan memikulnya dan takut menerimanya, kemudian amanah itu dipikul oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu aniaya lagi jahil (tiada berilmu)” {33:72}

Sesungguhnya ana bukan tok guru atau ustaz untuk mengajarkan, namun hanya membacakan Kalam kalam Tuhan sebagai khabar gembira kepada yang mahu beriman dan satu peringatan takut kepada yang engkar. Kepada Allah SWT ketentuan siapa yang akan mendapat petunjukNya dan juga siapa pula yang akan sentiasa berada didalam kesesatan yang berpanjangan. Namun Tuhan itu Maha Berkuasa dan Maha Kaya, bila mana siFiraun yang merasakan sungguh berkuasa mati ditelan laut dan siQarun yang berasa sangat kaya itu akhirnya mati ditelan bumi. Mengapa manusia yang berakal itu tidak mahu memikirkan dan mengambil pelajaran?

“Dan janganlah engkau patuhi setiap orang yang suka bersumpah, dan suka menghina. Suka mencela, yang kian kemari menyebar fitnah, yang merintangi segala yang baik, yang melampaui batas dan banyak dosa. Yang bertabiat kasar, selain itu terkenal kejahatannya, kerana dia kaya dan banyak anak (harta)” {68:10-14}

No comments: