Friday, April 12, 2013

SOLAT JUMAAT


SOLAT JUMAAT

Niat Sembahyang Jumaat :








Usalli fardhaz Juma'ati raka'ataini adaan makmuman lillahi ta'ala

Ertinya:
Sahaja aku sembahyang fardhu Jumaat dua rakaat mengikut imam tunai kerana Allah Ta'ala.

Solat Jumaat ialah solat 2 rakaat dalam waktu Zohor pada hari Jumaat didahului dgn 2 khutbah dgn syarat-syarat yang tertentu. Solat Jumaat adalah Fardhu Ain kepada setiap lelaki Islam yang cukup syarat-syaratnya.

Firman Allah SWT ;

"Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru azan untuk mengerjakan solat pada
hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (masjid), untuk mengingati Allah (solat Jumaat),
dan tinggalkanlah jualbeli. Demikian itu adalah lebih baik, jika kamu mengetahuinya"
ayat 9 : Surah al-Jumaat

SYARAT-SYARAT WAJIB SOLAT JUMAAT
1. Islam
2. Baligh
3. Lelaki
4. Berakal
5. Berkemampuan
6. Merdeka
7. Bermukim

BERMUKIM, BERMASTAUTIN, DAN BERMUSAFIR
1.  Bermusafir ialah orang yang dalam perjalanan lebih daripada dua marhalah (lebih kurang 98 km). Solat Jumaat yang dikerjakan adalah sunat dan tidak dikira dalam bilangan 40 orang ahli Jumaat.

2.  Bermastautin ialah orang yang tinggal menetap di sesuatu tempat dan tidak berhajat untuk berpindah ke tempat lain. Solat Jumaat adalah wajib kepadanya dan termasuk dalain bilangan 40 orang ahli Jumaat.

3.  Bermukim ialah orang yang tinggal di sesuatu tempat dan tidak berhajat untuk menetap di situ selama-lamanya. Solat Jumaat adalah wajib baginya tetapi tidak termasuk dalam bilangan 40 orang ahli Jumaat.

SYARAT-SYARAT SAH SOLAT JUMAAT
1. Ditunaikan pada tempat khas.
2. Dituniakan dalam waktu Zohor.
3.  Secara berjemaah.
4. Sekurang-kurangnya mengandungi 40 orang jemaah tidak termasuk imam.
5. Didahului 2 khutbah sebelum solat  Jumaat.

HUKUM MENINGGALKAN SOLAT JUMAAT

عَنْ أَبِي الْجَعْدِ الضَّمْرِيِّ وَكَانَتْ لَهُ صُحْبَةٌ  أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ تَرَكَ ثَلَاثَ جُمَعٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

"Dari Abu Jakdi ad-Dhamri bahawa Rasulullah SAW bersabda : Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat 3 kali dengan sengaja, maka Allah SWT akan menutup hatinya drp menerima petunjuk" Hadith riwayat Abu Daud

لَيَنْتَهِيَنَّ أَقْوَامٌ عَنْ وَدْعِهِمْ الْجُمُعَاتِ أَوْ لَيَخْتِمَنَّ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ ثُمَّ لَيَكُونُنَّ مِنْ الْغَافِلِينَ

Orang ramai hendaklah berhenti drp melupakan solat Jumaat atau Allah menutup hati mereka, kemudian mereka termasuk dalam golongan yang lupa. Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan Nasaie.

لَقَدْ هَمَمْتُ أَنْ آمُرَ رَجُلًا يُصَلِّي بِالنَّاسِ ثُمَّ أُحَرِّقَ عَلَى رِجَالٍ يَتَخَلَّفُونَ عَنْ الْجُمُعَةِ بُيُوتَهُمْ

Aku bercadang untuk memerintahkan orang lain mengimamkan solat, kemudian membakar rumah-rumah mereka yang meninggalkan solat Jumaat. Hadis riwayat Muslim dan Ahmad.

KHUTBAH JUMAAT

Khutbah Jumaat adalah ucapan atau syarahan yang disampaikan oleh khatib sebelum solat Jumaat yang mengandungi nasihat, peringatan, pengajaran kepada jemaah Jumaat.

Khutbah Jumaat adalah salah satu drp syarat sah solat Jumaat, tanpanya, solat Jumaat tidak sah. Jadi, khutbah Jumaat itu adalah WAJIB.

عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  يَخْطُبُ يَوْمَ الْجُمُعَة ِ قَائِمًا ثُمَّ يَجْلِسُ ثُمَّ يَقُوم
"Dari Ibnu Umar RA meriyatkan bahawa Rasulullah SAW berkhutbah pada hari Jumaat secara berdiri, kemudian baginda duduk, kemudian baginda berdiri" Hadis riwayat Muslim


RUKUN KHUTBAH JUMAAT

1. Memuji Allah spt Alhamdulillah
2. Membaca selawat ke atas Nabi SAW
3. Mengingatkan para jemaah supaya bertaqwa kepada Allah spt Ittaqullah (إتق الله)
4. Membaca sekurang-kurangnya satu ayat al-Quran dengan lengkap
5. Mendoakan kesejahteraan kaum muslimin sekurang-kurangnya

اللّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُســلِمِينَ وَالْمُسْـلِمَاتِ وَالْمُؤمِنِينَ وَالْمُؤمِنَات


SYARAT-SYARAT SAH KHUTBAH JUMAAT

1. Telah masuk waktu Zohor
2. Didahulukan bacaan Kutbah drp Solat Jumaat
3. Membaca rukun Khutbah dalam bahasa Arab
4. Dilakukan berturut-turut antara 2 khutbah dan antara khutbah  dgn solat Jumaat
5. Khatib hendaklah seorang lelaki
6. Khatib hendaklah berdiri jika mampu
7. Khatib hendaklah duduk sebentar antara 2 khutbah
8. Khatib hendaklah menutup aurat
9. Khutbah hendaklah disampaikan dgn jelas dan terang sehingga dapat didengar dan difahami oleh sekurang-kurangnya 40 orang jemaah.
10. Khatib hendaklah suci badan, pakaian dan tempat drp najis.
11. Khatib hendaklah suci drp hadas besar dan hadas kecil (berwudhuk)
















Hukum Meninggalkan Solat Jumaat
الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Hari Jumaat adalah hari yang paling agung daripada hari-hari yang lain, sehinggakan keagungannya disebutkan dalam sebuah hadits bahawa hari Jumaat adalah lebih baik daripada Hari Raya Adha dan Hari Raya Fitri. Daripada Abu Lubabah bin ‘Abdul Mundzir Radhiallahu ‘anhu, meriwayatkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
ِ

Maksudnya: “Sesungguhnya hari Jumaat ialah kepala sekalian hari dan hari yang terbesar di sisi Allah, dan ia lebih besar di sisi Allah daripada Hari Raya Adha dan Hari Raya Fitri...”

(Hadits riwayat Ibnu Majah)

Sembahyang fardhu Jumaat diwajibkan (fardhu ‘ain) ke atas setiap lelaki Islam yang merdeka, baligh, berakal, bermuqim dan tidak ada keuzuran. Kewajipan mengerjakannya ada disebutkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala di dalam al-Qur’an, sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”
(Surah al-Jumu‘ah: 9)

Meninggalkannya Melanggar Perintah Allah

Mereka yang ada keuzuran yang diberi kelonggaran (rukhshah) pada meninggalkan sembahyang berjemaah adalah tidak diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat seperti sakit yang boleh menambahkan lagi sakit atau melambatkan sembuh, sakit cirit birit kerana takut akan mencemarkan kebersihan masjid atau sibuk kerana menguruskan mayat yang ditakuti jika dilambatkan akan menyebabkan mayat menjadi busuk.

Namun bagaimana pula dengan orang yang senghaja meninggalkan sembahyang fardhu Jumaat tanpa sebarang keuzuran? Perlu diingat, sesiapa yang meninggalkan sembahyang fardhu Jumaat tanpa ada uzur syar‘i adalah perbuatan dosa dan melanggar perintah Allah, apatah lagi jika meninggalkannya tiga kali berturut-turut, hatinya akan dicap oleh Allah sebagai hati orang munafiq.

Abu al-Ja‘di adh-Dhamriy Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Sesiapa yang meninggalkan Jumaat tiga kali tanpa keuzuran maka dia adalah munafiq.”
(Hadits riwayat Ibnu Hibban)

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata:

Maksudnya:
“Barangsiapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat tiga kali berturut-turut maka dia telah membuang Islam itu di belakangnya (meninggalkannya).”
(Hadits riwayat Abu Ya‘la)

Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda kepada satu kaum yang tidak bersembahyang fardhu Jumaat, Baginda bersabda:

Maksudnya:
“Aku menitikberatkan (memerintahkan) supaya seorang lelaki itu bersembahyang dengan beramai-ramai (berjemaah), kemudian aku berazam untuk membakar rumah-rumah mereka (lelaki) yang meninggalkan sembahyang Jumaat.”

(Hadits riwayat Muslim)

Oleh itu, orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat janganlah sekali-kali meninggalkan sembahyang fardhu Jumaat melainkan ada keuzuran syar‘i. Ini kerana perbuatan itu adalah melanggar perintah Allah dan orang yang meninggalkan sembahyang fardhu Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut dicap sebagai orang munafiq.

Sumber : http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2011/bil9-2011.pdf

No comments: