Friday, October 25, 2013

ANCAMAN TERHADAP ORANG YANG TIDAK MEMBAYAR HUTANG

Sejak zaman Rasulullah SAW lagi, amalan berhutang berlaku seperti kisah Nabi Muhammad SAW berhutang seekor unta, kemudian Baginda membayar hutang untanya tadi dengan unta yang lebih besar dan lebih baik.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: 
“Sebaik-baik kamu, ialah orang yang melebihkan hutang dan memperelokkan pembalasan hutangnya (menambah daripada apa yang diambil).”

Kini, berhutang sudah jadi ‘trend’ dalam kehidupan masyarakat. Untuk memiliki apa saja keperluan hidup dengan cepat, maka tidak dapat tidak seseorang itu perlu berhutang.

Tetapi malangnya, ramai pula yang hanya tahu berhutang, tetapi tidak pula berusaha melangsaikan hutang mengikut perjanjian dibuat. Adakalanya orang yang membuat jaminan terpaksa memikul beban kerana kedegilan si penghutang itu.

Islam sebagai agama yang syumul dalam segala aspek menggariskan beberapa persoalan mengenai hukum berhutang, ganjaran pemberi hutang serta kaedah membuat bayaran balik sesuatu hutang yang dibuat.

Rasulullah SAW mengingatkan kita, orang berharta yang asyik menangguhkan pembayaran hutang adalah termasuk dalam perbuatan zalim.

Pada dasarnya, Islam tidak menggalakkan umatnya berhutang. Perkara ini dijelaskan dalam hadis daripada Uqbah bin Amir yang bermaksud: 
“Janganlah kalian membuat takut jiwa selepas ketenangannya. Mereka berkata: Apa itu wahai Rasulullah? Beliau bersabda: Hutang.”

Hutang dalam bahasa Arab bermaksud al-Qardhu atau potongan. Dari segi bahasa ia membawa maksud potongan sebahagian harta dan diberi kepada seseorang yang memerlukan.

Dalam Islam hutang dan sedekah mempunyai hubungan yang amat rapat. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis yang bermaksud: 
“Barang siapa memberikan, lebih dua pahalanya daripada pahala sedekah”. (Hadis Hasan).

Dalam kisah perjalanan Rasulullah SAW. bersama malaikat Jibril pada malam Israk Mikraj, tergantung di salah sebuah pintu syurga kata-kata bermaksud, 
‘Sedekah bersamaan 10 kali ganda dan hutang bersamaan 18 kali ganda’.

Lalu baginda bertanya kepada Jibril, “Mengapa demikian? Jawab Jibril, “sedekah diberikan kepada seseorang, semua atau sebahagiannya. Sementara hutang, orang tidak akan meminta berhutang kalau tidak kerana sebab-sebab yang mendesak”.

Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud:
 “Allah akan menolong hamba-Nya selama hamba itu suka menolong saudaranya”. (Riwayat Muslim)

Pun begitu, memberi hutang boleh bertukar menjadi wajib bila ia bertujuan memenuhi keperluan yang begitu mendesak, seperti membantu orang yang sangat memerlukan, menghadapi musibah atau apa jua bencana alam dan golongan manusia yang termasuk dalam golongan kurang upaya.

Ini bersesuaian dengan kehendak Allah seperti yang tercatat di dalam surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud: 
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pencerobohan. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya”.(Al-Maidah : 2)

Bagi pihak orang yang berhutang pula Rasulullah SAW mengingatkan bahawa orang yang berhutang akan terus terikat dengan pembayaran balik atas segala hutang dibuat. Dia mesti menjelaskan hutangnya semasa hidup di dunia. Ini kerana apabila seseorang yang berhutang itu meninggal sewaktu masih menanggung hutang, maka rohnya akan tergantung di antara langit dan bumi sehinggalah dijelaskan hutang tersebut.

No comments: