Al Allama Habib Ali Al
Jufri menggariskan 4 perkara yang mengandungi cara untuk kita mengekalkan
ketaatan kita kepada Allah SWT. Manusia sememangnya terkenal dengan sifat putus
asa dan futur, terutama di dalam perihal ibadah kepada Allah SWT. Perkataan 'An
Nas' itu sendiri berasal dari 'nasiya' bermaksud lupa. Maka, kita selaku umat
Islam yang masih lagi bertatih di dalam usaha mendapatkan kekuatan iman dari
Allah SWT amat memerlukan panduan dari para ulama yang telah melalui pengalaman
mujahadah yang penuh liku lebih awal dari kita. Menjadi sifat mereka
mengamalkan setiap apa yang dilafazkan, dan apa yang dikeluar dari mulut mereka
itu pastinya merupakan antara cara terbaik yang boleh kita amalkan dalam usaha
merebut redha Allah SWT.
Pertama : Berdoa Kepada
Allah
Tiada ketaatan yang
dapat dibina melainkan dengan ketentuan dan izin Allah SWT. Dengan kata lain,
kita tidak mampu untuk melakukan walau satu ketaatan melainkan dengan izin
Allah dan tidak mampu untuk kita meninggalkan walau satu maksiat melainkan dengan
kekuatan dari Allah dan izinNya. Maka, kita hendaklah sentiasa berdoa
mengharapkan Allah mempermudahkan urusan ketaatan kita, memberikan khusyuk
dalam ibadah, memberikan kekuatan untuk beramal dan memberikan kekuatan untuk
bermujahadah melawan nafsu dan syaitan. Al Allama Habib memberikan contoh
berkenaan wasita yang Rasulullah SAW berikan kepada Saidina Muaz bin Jabal di
dalam hadith yang bermaksud : Mu’az bin Jabal ra menceritakan bahawa suatu hari
Rasulullah saw memegang tangannya seraya mengucapkan, “Hai Mu’az, demi Allah
sesungguhnya aku benar-benar mencintaimu. Demi Allah, aku benar-benar
mencintaimu.” Lalu beliau bersabda, “Aku wasiatkan kepadamu hai Mu’az, jangan
kamu tinggalkan bacaan setiap kali di akhir solat hendaknya kamu berdoa,
‘Allahumma a’in ni ‘ala zikrika wa syukrika wa husni ‘ibadatik’ (Ya Allah,
bantulah aku untuk mengingatMu, bersyukur kepadaMu, dan beribadah dengan baik
kepadaMu).” (HR Abu Daud) Doa ini adalah doa yang mustajab bagi memohon kepada
Allah untuk memimpin kita di dalam melakukan ketaatan. Sikap yang ditunjukkan
Rasulullah SAW ini jelas mengajar kita untuk menghayati hakikat kehambaan yang
ada dalam diri manusia. Baginda sendiri sebagai rasul utusan Allah, pastinya
tidak mempunyai masalah di dalam kekuatan beramal, di mana Allah sentiasa
melimpahkan rahmat dan kekuatan kepada baginda. Namun, ini langsung tidak
menyebabkan Rasulullah SAW berhenti daripada mengharap kepada Allah, malah
baginda menjadi hambaNya yang paling banyak berdoa dan mengharap kepadaNya. Ini
teladan yang ditunjukkan Rasulullah SAW, semakin tinggi darjatnya di sisi
Allah, maka semakin tunjuk hatinya kepada Allah. Seperti yang dikatakan oleh Al
Allama Syeikh Muhammad Sayyid Ramadhan Al Buti, Rasulullah SAW dipilih oleh
Allah untuk bertemu denganNya di dalam peristiwa Isra Mikraj disebabkan sifat
kehambaan yang terlalu tinggi berada dalam diri Rasulullah SAW. Ini dibuktikan
dengan firman Allah di dalam surah Al Isra ayat pertama yang menyebut diri
baginda sebagai 'hamba' bukannya sebagai 'rasul'.
Kedua : Menjaga Mata,
Telinga dan Mulut Tiga
pancaindera ini merupakan pancaindera utama yang membentuk peribadi seseorang
manusia. Dengan mata, kita dapat melihat alam ini dan mempelajari pelbagai
perkara yang dapat kita lihat. Dengan bantuan telinga, manusia dapat mendengar
dan memberikan respon terhadap apa yang disuarakan dan dimaklumkan kepada kita.
Dengan mulut pula, kita dapat berinteraksi sesama manusia dan dapat menzahirkan
segala keinginan dengan cara melafazakannya melalui mulut. Kata Habib Ali Al
Jurfi, hendaklah kita menjaga tiga perkara ini daripada melakukan kemungkaran
kepada Allah. Mata yang dikurnaikan Allah ini janganlah digunakan untuk melihat
kepada perkara yang haram. Begitu juga dengan telinga, janganlah mendengar
kepada perkara yang haram, perkara yang keji, atau mendengar keburukan orang
lain. Mulut yang dikurniakan Allah hendaklah dipelihara dari bercakap perkara
yang sia-sia, menyakiti hati orang lain, berbohong, mengumpat, memfitnah dan
bercakap perkara yang melalaikan. Manusia yang dapat menjaga tiga pancaindera
ini daripada perkara mungkar yang tidak disukai Allah, maka hatinya akan
diberihkan, seterusnya dia akan dipermudahkan untuk melakukan ketaatan kepada
Allah. Sesunggunya, hati yang kotor kerana perbuatan tiga anggota ini merupakan
antara asbab utama kita tidak mampu istiqamah di dalam ketaatan. Hati yang
kotor lebih mudah untuk cenderung kepada maksiat dan sangat berat untuk
melakukan ketaatan kerana tiada nur iman yang menyinarinya.
Ketiga : Hati Sentiasa
Hadir Bersama Allah Ketika Beribadah
Kebanyakan di kalangan
kita menjadikan ibadah itu sebagai adat dan kebiasaan, melakukannya kerana
sudah dirutinkan dan diprogram di dalam aktiviti harian kita. Ini menyebabkan
kita beribadah sekadar untuk melepaskan diri daripada kewajipan,seterusnya
ibadah itu berlalu tanpa memberikan kesan ke dalam hati kita. Ibadah demi
ibadah dilakukan, tetapi hati tetap jauh dari Allah SWT. Kita selalunya
menunaikan solat sekadar mana yang boleh melepaskan diri kita dari
kefardhuannya. Maka, solat yang dilakukan tidak sempurna, fikiran jauh melayang
entah ke mana, semua masalah datang di dalam fikiran di dalam solat, difikirkan
masalah tersebut hingga tamat solat dalam keadaan kita tidak sedar langsung
apakah perbuatan yang kita lakukan sepanjang solat sebentar tadi. Adakah
sempurna rukun dan syaratnya? Apatah lagi perkara sunat di dalam solat,
langsung tidak dilakukan, berpada dengan perkara wajib sahaja. Hendaklah kita
melakukan solat itu seperti para sahabat dan tabiin, bukan sekadar melaksanakan
rakaat demi rakaat. Malah, setiap rakaat itu memberikan bekas ke dalam hati
kita dan meningkatkan iman kita. Kita perlu menghadirkan ke dalam hati kita
bahawa kita sedang menyembah Allah, Tuhan sekelian alam, Raja segala raja.
Berdirinya kita sebagai hamba yang pandangan sentiasa tunduk ke bawah, tanda
akur dengan kebesaran dan kekuasaan Allah. Rukuk kita dengan perasaan takzim
kepada Allah, Tuhan yang Maha Agung. Sujud kita dengan perasaan penuh kehambaan
dan kehinaan di hadapan Allah Yang Maha Tinggi. Membaca Al Quran itu bukan
sekadar membaca huruf demi huruf dan ayat demi ayat. Malah menghayati setiap
bacaan itu dengan penuh teliti. Jika seseorang itu memahami Bahasa Arab, maka
hendaklah membaca Al Quran itu dengan penghayatan kepada maknanya dan apa yang
diceritakan di dalamnya. Jika tidak memahami Bahasa Arab, lafazkan bacaan Quran
itu dengan tartil, sempurna tajwid dan makhrajnya. Jika boleh membuat bacaan
berlagu, maka lagukan bacaan Al Quran dengan baik. Setiap bacaan kita itu kita
sedari bahawa kita sedang membaca kalam-kalam Allah, iaitu kalam yang teragung
di seluruh alam semesta. Diceritakan bahawa Saidina Ikrimah RA ketika ingin
membaca Al Quran, selepas membukanya, terus masuk kebesaran dan keagungan Allah
ke dalam hatinya. Lantas berkata "Ini kalam Tuhanku. Ini kalam Tuhanku.
Ini kalam TuhanKu." Lantas beliau menangis lantaran rasa ketakutan dan
bergetar hatinya terhadap kebesaran Allah walaupun belum membacanya lagi,
kerana beliau dpaat merasakan bahawa kalam Allah berada di hadapanya dan ianya
teramat agung. Begitulah dengan ibadah lain, hendaklah dilakukan dengan
menghadirkan hati kita bersama Allah. Benar, ianya bukan syarat sah ibadah,
namun di situlah kesempurnaan ibadah. Ibadah yang sempurna sahaja yang dapat
membina ikatan kukuh antara hamba dan Penciptanya. Manakala ibadah yang tiada
penghayatan, umpama baju buruk yang bertampal sana sini. Cukup sekadar menutup
aurat, namun kelihatan hodoh sekali Menghadirkan hati bersama Allah di dalam
ibadah sememangnya sukar dilakukan. Ia memerlukan mujahadah dan kesungguhan
kita sebagai hamba Allah. Kemungkinan besar ianya tidak akan hadir semasa kita
ingin membacanya pada hari ini, esok, lusa dan minggu hadapan. Namun, berkat
usaha kita yang berterusan, Allah yang Maha Pemurah pasti akan memberikan
nikmat ini kepada kita selepas kita berusaha bersungguh-sungguh untuk
mendapatkannya. Ianya berbeza kepada mereka yang malu kepada Allah tidak
bertempat dan putus asa dengan rahmatNya, dengan tidak berusaha untuk
mendapatkan nikmat ini, pastinya nikmat ini tidak akan hadir selamanya.
Keempat : Meletakkan Had
Minima Ibadah Harian
No comments:
Post a Comment