Wednesday, February 10, 2016

4 Cara Untuk Istiqamah Dalam Ketaatan




Al Allama Habib Ali Al Jufri menggariskan 4 perkara yang mengandungi cara untuk kita mengekalkan ketaatan kita kepada Allah SWT. Manusia sememangnya terkenal dengan sifat putus asa dan futur, terutama di dalam perihal ibadah kepada Allah SWT. Perkataan 'An Nas' itu sendiri berasal dari 'nasiya' bermaksud lupa. Maka, kita selaku umat Islam yang masih lagi bertatih di dalam usaha mendapatkan kekuatan iman dari Allah SWT amat memerlukan panduan dari para ulama yang telah melalui pengalaman mujahadah yang penuh liku lebih awal dari kita. Menjadi sifat mereka mengamalkan setiap apa yang dilafazkan, dan apa yang dikeluar dari mulut mereka itu pastinya merupakan antara cara terbaik yang boleh kita amalkan dalam usaha merebut redha Allah SWT.

Pertama : Berdoa Kepada Allah

Tiada ketaatan yang dapat dibina melainkan dengan ketentuan dan izin Allah SWT. Dengan kata lain, kita tidak mampu untuk melakukan walau satu ketaatan melainkan dengan izin Allah dan tidak mampu untuk kita meninggalkan walau satu maksiat melainkan dengan kekuatan dari Allah dan izinNya. Maka, kita hendaklah sentiasa berdoa mengharapkan Allah mempermudahkan urusan ketaatan kita, memberikan khusyuk dalam ibadah, memberikan kekuatan untuk beramal dan memberikan kekuatan untuk bermujahadah melawan nafsu dan syaitan. Al Allama Habib memberikan contoh berkenaan wasita yang Rasulullah SAW berikan kepada Saidina Muaz bin Jabal di dalam hadith yang bermaksud : Mu’az bin Jabal ra menceritakan bahawa suatu hari Rasulullah saw memegang tangannya seraya mengucapkan, “Hai Mu’az, demi Allah sesungguhnya aku benar-benar mencintaimu. Demi Allah, aku benar-benar mencintaimu.” Lalu beliau bersabda, “Aku wasiatkan kepadamu hai Mu’az, jangan kamu tinggalkan bacaan setiap kali di akhir solat hendaknya kamu berdoa, ‘Allahumma a’in ni ‘ala zikrika wa syukrika wa husni ‘ibadatik’ (Ya Allah, bantulah aku untuk mengingatMu, bersyukur kepadaMu, dan beribadah dengan baik kepadaMu).” (HR Abu Daud) Doa ini adalah doa yang mustajab bagi memohon kepada Allah untuk memimpin kita di dalam melakukan ketaatan. Sikap yang ditunjukkan Rasulullah SAW ini jelas mengajar kita untuk menghayati hakikat kehambaan yang ada dalam diri manusia. Baginda sendiri sebagai rasul utusan Allah, pastinya tidak mempunyai masalah di dalam kekuatan beramal, di mana Allah sentiasa melimpahkan rahmat dan kekuatan kepada baginda. Namun, ini langsung tidak menyebabkan Rasulullah SAW berhenti daripada mengharap kepada Allah, malah baginda menjadi hambaNya yang paling banyak berdoa dan mengharap kepadaNya. Ini teladan yang ditunjukkan Rasulullah SAW, semakin tinggi darjatnya di sisi Allah, maka semakin tunjuk hatinya kepada Allah. Seperti yang dikatakan oleh Al Allama Syeikh Muhammad Sayyid Ramadhan Al Buti, Rasulullah SAW dipilih oleh Allah untuk bertemu denganNya di dalam peristiwa Isra Mikraj disebabkan sifat kehambaan yang terlalu tinggi berada dalam diri Rasulullah SAW. Ini dibuktikan dengan firman Allah di dalam surah Al Isra ayat pertama yang menyebut diri baginda sebagai 'hamba' bukannya sebagai 'rasul'.

Kedua : Menjaga Mata,

Telinga dan Mulut Tiga pancaindera ini merupakan pancaindera utama yang membentuk peribadi seseorang manusia. Dengan mata, kita dapat melihat alam ini dan mempelajari pelbagai perkara yang dapat kita lihat. Dengan bantuan telinga, manusia dapat mendengar dan memberikan respon terhadap apa yang disuarakan dan dimaklumkan kepada kita. Dengan mulut pula, kita dapat berinteraksi sesama manusia dan dapat menzahirkan segala keinginan dengan cara melafazakannya melalui mulut. Kata Habib Ali Al Jurfi, hendaklah kita menjaga tiga perkara ini daripada melakukan kemungkaran kepada Allah. Mata yang dikurnaikan Allah ini janganlah digunakan untuk melihat kepada perkara yang haram. Begitu juga dengan telinga, janganlah mendengar kepada perkara yang haram, perkara yang keji, atau mendengar keburukan orang lain. Mulut yang dikurniakan Allah hendaklah dipelihara dari bercakap perkara yang sia-sia, menyakiti hati orang lain, berbohong, mengumpat, memfitnah dan bercakap perkara yang melalaikan. Manusia yang dapat menjaga tiga pancaindera ini daripada perkara mungkar yang tidak disukai Allah, maka hatinya akan diberihkan, seterusnya dia akan dipermudahkan untuk melakukan ketaatan kepada Allah. Sesunggunya, hati yang kotor kerana perbuatan tiga anggota ini merupakan antara asbab utama kita tidak mampu istiqamah di dalam ketaatan. Hati yang kotor lebih mudah untuk cenderung kepada maksiat dan sangat berat untuk melakukan ketaatan kerana tiada nur iman yang menyinarinya.

Ketiga : Hati Sentiasa Hadir Bersama Allah Ketika Beribadah

Kebanyakan di kalangan kita menjadikan ibadah itu sebagai adat dan kebiasaan, melakukannya kerana sudah dirutinkan dan diprogram di dalam aktiviti harian kita. Ini menyebabkan kita beribadah sekadar untuk melepaskan diri daripada kewajipan,seterusnya ibadah itu berlalu tanpa memberikan kesan ke dalam hati kita. Ibadah demi ibadah dilakukan, tetapi hati tetap jauh dari Allah SWT. Kita selalunya menunaikan solat sekadar mana yang boleh melepaskan diri kita dari kefardhuannya. Maka, solat yang dilakukan tidak sempurna, fikiran jauh melayang entah ke mana, semua masalah datang di dalam fikiran di dalam solat, difikirkan masalah tersebut hingga tamat solat dalam keadaan kita tidak sedar langsung apakah perbuatan yang kita lakukan sepanjang solat sebentar tadi. Adakah sempurna rukun dan syaratnya? Apatah lagi perkara sunat di dalam solat, langsung tidak dilakukan, berpada dengan perkara wajib sahaja. Hendaklah kita melakukan solat itu seperti para sahabat dan tabiin, bukan sekadar melaksanakan rakaat demi rakaat. Malah, setiap rakaat itu memberikan bekas ke dalam hati kita dan meningkatkan iman kita. Kita perlu menghadirkan ke dalam hati kita bahawa kita sedang menyembah Allah, Tuhan sekelian alam, Raja segala raja. Berdirinya kita sebagai hamba yang pandangan sentiasa tunduk ke bawah, tanda akur dengan kebesaran dan kekuasaan Allah. Rukuk kita dengan perasaan takzim kepada Allah, Tuhan yang Maha Agung. Sujud kita dengan perasaan penuh kehambaan dan kehinaan di hadapan Allah Yang Maha Tinggi. Membaca Al Quran itu bukan sekadar membaca huruf demi huruf dan ayat demi ayat. Malah menghayati setiap bacaan itu dengan penuh teliti. Jika seseorang itu memahami Bahasa Arab, maka hendaklah membaca Al Quran itu dengan penghayatan kepada maknanya dan apa yang diceritakan di dalamnya. Jika tidak memahami Bahasa Arab, lafazkan bacaan Quran itu dengan tartil, sempurna tajwid dan makhrajnya. Jika boleh membuat bacaan berlagu, maka lagukan bacaan Al Quran dengan baik. Setiap bacaan kita itu kita sedari bahawa kita sedang membaca kalam-kalam Allah, iaitu kalam yang teragung di seluruh alam semesta. Diceritakan bahawa Saidina Ikrimah RA ketika ingin membaca Al Quran, selepas membukanya, terus masuk kebesaran dan keagungan Allah ke dalam hatinya. Lantas berkata "Ini kalam Tuhanku. Ini kalam Tuhanku. Ini kalam TuhanKu." Lantas beliau menangis lantaran rasa ketakutan dan bergetar hatinya terhadap kebesaran Allah walaupun belum membacanya lagi, kerana beliau dpaat merasakan bahawa kalam Allah berada di hadapanya dan ianya teramat agung. Begitulah dengan ibadah lain, hendaklah dilakukan dengan menghadirkan hati kita bersama Allah. Benar, ianya bukan syarat sah ibadah, namun di situlah kesempurnaan ibadah. Ibadah yang sempurna sahaja yang dapat membina ikatan kukuh antara hamba dan Penciptanya. Manakala ibadah yang tiada penghayatan, umpama baju buruk yang bertampal sana sini. Cukup sekadar menutup aurat, namun kelihatan hodoh sekali Menghadirkan hati bersama Allah di dalam ibadah sememangnya sukar dilakukan. Ia memerlukan mujahadah dan kesungguhan kita sebagai hamba Allah. Kemungkinan besar ianya tidak akan hadir semasa kita ingin membacanya pada hari ini, esok, lusa dan minggu hadapan. Namun, berkat usaha kita yang berterusan, Allah yang Maha Pemurah pasti akan memberikan nikmat ini kepada kita selepas kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Ianya berbeza kepada mereka yang malu kepada Allah tidak bertempat dan putus asa dengan rahmatNya, dengan tidak berusaha untuk mendapatkan nikmat ini, pastinya nikmat ini tidak akan hadir selamanya.

Keempat : Meletakkan Had Minima Ibadah Harian

Cara keempat yang ditambah oleh Habib Ali Al Jufri adalah meletakkan kadar minimum untuk setiap ibadah harian kita supaya ianya tidak berkurang dari had tersebut dan mengelakkan diri kita dari meninggalkannya terus. Ini merupakan salah satu cara yang berkesan untuk mendapatkan istiqamah. Ini adalah kerana di dalam konsep istiqamah, bukan kuantiti ibadah menjadi keutamaan, tetapi penerusan di dalam pengamalan walaupun sedikit. Hendaklah kita meletakkan had pada ibadah kita seperti tidak akan meninggalkan sama sekali solat fardhu secara berjemaah. Lewat mana sekali pun kita solat, mungkin disebabkan urusan yang tidak dapat dilewatkan, maka hendaklah kita mengusahakan agar solat itu dilakukan secara berjemaah. Kita boleh meletakkan had bahawa wajib untuk kita membaca Al Quran paling sedikit satu muka surat dalam sehari. Maka, apa jua perkara yang berlaku, pastinya kita membaca Al Quran setiap hari dan tidak melanggar had minima ini, dalam keadaan kita hendaklah sentiasa mencari peluang untuk memperbanyakkan bacaan Al Quran dan tidak berpada dengan satu muka surat setiap hari. Demikian perkongsian Al Habib Ali Al Jufri berkenaan cara untuk mengekalkan ketaatan dan istiqamah di dalam amalan. Semoga kita dapat mengamalkannya, seterusnya mengekalkan ketaatan kita kepada Allah hingga hujung nyawa kita. * Tazkirah Habib Ali Al Jufri ini adalah mengkhususkan cara istiqamah amalan semasa bulan Ramadhan. Namun saya luaskan skopnya kepada amalan harian kita sepanjang tahun. Artikel di atas adalah bercampur-campur antara isi yang disampaikan oleh Al Fadhil Habib dan juga huraian saya sendiri. Untuk tazkirah asal Al Fadhil Habib, boleh ikuti di sini. Jazakumullah. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.