Tuesday, September 30, 2014

Kelibat hitam mengekori bot

Sehingga hari ini, tidak pernah berlaku sebarang insiden kecederaan serius disebabkan ikan besar arapaima di Tasik Kenyir. Isu yang lebih membimbangkan adalah tentang ancaman keseimbangan populasi ikan tempatan.




MADZIAH MOHD. LADA, 39, tidak sekali-kali berdendam kepada ‘naga’ yang dikaitkan dengan insiden suaminya, Allahyarham Aladi Hassan, anggota bomba yang mati lemas semasa operasi mencari dan menyelamat di Tasik Kenyir, Terengganu baru-baru ini.

Dia yakin pada ketentuan takdir dan juga hasil siasatan mengenai punca kematian suaminya itu. Laporan menunjukkan bahawa tangki oksigen yang digunakan suaminya tercabut apabila tali pengikat pada badan tersangkut pada tunggul kayu di dalam tasik tersebut.

ARAPAIMA ini boleh disaksikan di Aquaria KLCC, Kuala Lumpur.



















Namun, peristiwa itu sedikit sebanyak membuka mata terhadap ‘yang tertuduh’ iaitu ikan naga atau arapaima. Spesies ikan air tawar terbesar yang berasal dari Sungai Amazon itu dilabelkan sebagai ‘pendatang’ yang memberi ancaman.

MEREKA yang sering berurusan di Tasik Kenyir percaya bahawa terdapat ikan sepanjang saiz bot yang sudah lama menghuni dasarnya.












Bukan sahaja ditakuti mengancam keselamatan manusia, malah ikan yang boleh membesar sehingga 4.5 meter panjang dan 200 kilogram berat itu mampu menjejaskan rantaian ekologi dan pembiakan spesies ikan tempatan di Tasik Kenyir.
“Kita bimbang kehadiran arapaima memberi kesan terhadap keseimbangan populasi spesies ikan lain. Mungkin ia belum mula membiak buat masa ini.



“Namun, kalau ada seekor dua yang semakin membesar, keperluan pemakanannya juga bertambah,” kata Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Munir Mohd. Nawi.
Menurut Munir, semua usaha jabatannya bermula daripada aduan dan maklumat yang diterima daripada orang ramai khususnya pengusaha-pengusaha calet di Tasik Kenyir yang mendakwa ada ternampak kelibat arapaima.
“Berikutan aduan itu, kami telah menjalankan usaha memantau keadaan dan memikirkan kaedah ideal untuk menangkap ikan itu.
“Bagaimanapun, selepas hari kesembilan pemantauan (sehingga Rabu lalu), masih belum ada sebarang petanda mengenai kewujudan arapaima. Alat-alat tangkapan seperti pukat dan kail juga belum berhasil,” jelasnya sambil menambah, walaupun usaha itu menemui jalan buntu, operasi pemantauan tetap diteruskan.

RUMAH bot seperti ini menjadi kegemaran para pemancing tegar.


Habuan RM10,000
Munir juga ditanya sama ada terdapat kemungkinan kelibat ikan besar seperti yang didakwa pengusaha calet itu spesies ikan lain.

ANTARA pemancing tegar yang mencuba nasib di Tasik Kenyir pada 5 Julai lalu.


“Kalau bukan arapaima, kemungkinan ikan tempatan terbesar di Tasik Kenyir yang menghampiri saiznya adalah ikan tapah. Ia juga mempunyai ciri pemangsa karnivor yang suka menyambar makanannya.
“Toman pula, walaupun mempunyai reputasi ikan ganas di kalangan pengail, ia tidak sampai ke saiz itu,” terang Munir.

IKAN tapah (Wallago attu) yang juga bersifat karnivor dikatakan mempunyai saiz yang menyaingi arapaima yang berusia dua tahun. - Gambar hiasan


Sejak kerajaan negeri mengumumkan hadiah bernilai RM10,000 bagi sesiapa yang dapat menangkap hidup-hidup arapaima di Tasik Kenyir, ia telah mencetus semangat pemburu di kalangan mereka yang tertarik dengan ganjaran tersebut.

KETENANGAN permukaan air di Tasik Kenyir menyimpan pelbagai rahsia yang belum berjaya dibongkar.





Misalnya, pada 5 Julai lalu, sekumpulan pengail tegar telah ke tasik buatan terbesar Asia Tenggara itu untuk mencuba nasib. Namun, sehingga lewat petang, pencarian itu tidak membuahkan hasil.
Kekecewaan itu turut dirasakan seorang pemandu bot pelancong, Azman Mohd, 30, yang mendakwa sebelum ini pernah melihat kelibat ikan sebesar pemeluk dan sepanjang kira-kira 2.4 meter ketika memancing di Sungai Beruas.
“Saya menggunakan tali setebal 22 milimeter dan dawai elektrik sebagai mata kail serta anak ikan haruan sebagai umpan bagi menangkap dan mengikatnya di sebatang pokok. Tapi ikan itu berjaya melepaskan diri selepas pokok itu patah,” katanya.
Entah benar atau tidak tentang kewujudannya. Namun, bagi sejumlah penduduk kampung dan pengunjung yang sering berulang-alik ke tiga kuala sungai di Tasik Kenyir, iaitu Sungai Petuang, Sungai Tembat dan Lata Terap, mereka bertegas ikan naga yang disebut-sebut itu memang wujud.
“Ia aktif kelihatan sejak dua hingga tiga tahun lalu. Ia timbul di permukaan di satu-satu tempat untuk beberapa tempoh,” kata seorang lagi pemancing, Sabri, yang nyata tertarik dengan tawaran itu.
Boleh sentuh dengan kayu
Dia mendakwa pernah ternampak kelibat arapaima beberapa kali di kuala Sungai Petuang.
“Dari jauh nampak hitam saja. Tapi dari dekat nampak sisiknya yang hijau keemasan itu. Beratnya kira-kira 50 kilogram,” katanya.
Tambah Sabri, kawannya pernah terserempak dengan ikan itu di Lata Terap. Dalam sebulan juga dia timbul di situ. Beratnya di antara 100 hingga 180 kilogram!
“Walaupun saiznya begitu, tak mungkin ia makan atau bunuh orang. Ia jinak. Kawan saya cuba sentuh dengan kayu, ia diam saja. Yang kami nampak, ikan itu bermain-main dengan ikan kecil yang lain. Macam ikan lumba-lumba.
Sabri mengaku bahawa keterujaan terhadap ikan naga itu bermula dengan rujukan melalui pembacaan, penceritaan orang kampung dan sumber daripada Universiti Terengganu Malaysia.
Tambahnya, dia dan teman-teman kini dalam usaha untuk merakam kelibat ikan itu.
“Tak ramai berani bawa kamera di atas bot. Mereka bimbang terjatuh ke dalam air. Jadi kami sekarang sedang bekerja keras untuk mendapatkan rakaman itu untuk membuktikan ikan itu benar-benar wujud di tasik ini. Cuma sehingga sekarang, rezeki belum menyebelahi kami,” kata Sabri.
Kru Jurnal yang mengunjungi Tasik Kenyir minggu lalu turut diberitahu seorang pemandu bot tentang khabar kelibat hitam dalam air yang suka mengekori bot.
“Mungkin itulah arapaima yang ‘mesra’. Saya sudah lama mengendali bot di sini, tetapi belum berpeluang terserempak dengan pengalaman seperti itu.
“Baik dipantau dari atas bot atau tanah tinggi pada waktu pagi atau petang, ia langsung tidak kelihatan,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad.
Ahmad berpendapat, kalau pun benar arapaima dilepaskan ke Tasik Kenyir oleh pemilik asal yang tidak mampu lagi menampung saiznya di akuarium, ikan itu tentu tidak liar kerana sudah biasa didampingi manusia yang memberikannya makanan selain sifat semula jadi ikan itu yang lembut.
“Sepanjang saya bertugas di sini, belum ada lagi kes ikan besar yang menyerang, mencederakan atau membunuh manusia.
“Bomba itu (Aladi) pun kita sudah tahu tentang punca kematiannya. Arapaima bukan penyebabnya,” kata Ahmad.
Sebuah rahsia
Kedatangan Jurnal ke Tasik Kenyir disedari seorang pemuda yang kemudiannya mendekati dan mahu memberitahu sesuatu. Enggan mendedahkan namanya, dia membisikkan sebuah rahsia.
“Beberapa tahun lalu terdapat pengusaha resort di tasik ini yang memelihara ikan naga di dalam sangkar untuk dijadikan hiasan dan tarikan penginapan.
“Tetapi, apabila resort itu tidak lagi beroperasi dan ikan itu pula semakin membesar, ia dilepaskan saja ke tasik ini,” ujarnya.
Kalau kata-kata pemuda itu bukan suatu pembohongan, mungkin itulah antara sedikit penjelasan yang logik tentang bagaimana spesies asing itu boleh berada dalam Tasik Kenyir.
Sama ada kewujudannya diragui, atau memang terdapat arapaima yang sedang ‘gembira’ berenang-renang di dasar Tasik Kenyir, banyak pihak kini memerhatikan perkembangannya.
Walau apa pun keburukan yang dikaitkan dengannya, cerita ikan naga tidak akan menjauhkan para pelancong daripada mengunjungi tasik tersebut seperti yang dikhuatiri sesetengah pihak.
Hakikatnya cerita tentang arapaima, tapah mahupun naga, akan menjadi sebahagian daripada nilai misteri dan tarikan kejadian alam di Tasik Kenyir.
Sehingga kisah ini disiarkan, tawaran ganjaran RM10,000 itu masih menunggu pemenangnya.

No comments: