Nabi Isa a.s adalah
nabi yang dilahirkan tanpa ayah dengan izin Allah dan Maryam adalah ibu yang
telah melahirkan, manjaga dan mendidik Nabi Isa dengan penuh kasih sayang.
Suatu hari Nabi Isa telah berkata kepada ibunya, “Sesungguhnya dunia ini adalah
kampung yang akan musnah dan sesungguhnya akhirat itu adalah kampung yang
kekal, oleh itu, marilah ibu bersama saya.”
Setelah berkata
demikian, maka berangkatlah mereka menuju ke gunung Lebnon. Apabila sampai di
gunung tersebut, maka Nabi Isa a.s dan ibunya berpuasa di siang hari dan
mendirikan solat di malam hari. Makanan mereka terdiri daripada dedaun kayu dan
meminum air hujan sahaja.
Setelah sekian lama
Nabi Isa a.s dan ibunya tinggal di gunung tersebut, maka suatu hari Nabi Isa
turun dari gunung tersebut untuk mencari daun kayu untuk mereka berdua berbuka
puasa. Setelah Nabi Isa turun ke bawah, datanglah malaikat menghampiri Maryam
dan berkata, “ Assalamualaiki ya Maryam, orang yang sangat patuh mengerjakan
puasa di siang hari dan mengerjakan solat pada malam hari.”
Sebaik sahaja Maryam melihat orang yang
memberi salam itu, maka Maryam berkata, “Siapakah kamu ini? Badan dan seluruh
anggotaku menggeletar dan merasa takut mendengar suaramu.” Malaikat tersebut
menjawab, “Aku adalah malaikat yang tidak mempunyai belas kasihan kepada
sesiapa pun baik anak kecil, orang tua atau sebagainya sebab aku adalah
malaikat pencabut nyawa (Izrail).”
Mendengar penjelasan
malaikat maut, maka Maryam bertanya, “Wahai malaikat maut, apakah tujuan kamu
ke sini? Adakah kamu mahu menziarahi aku atau pun mencabut nyawaku?”
Izrail menjawab,
“Wahai Maryam, kedatanganku adalah untuk menacabut rohmu”. Maryam yang
mengetahui ajalnya sudah hampir berkata lagi, “Wahai malaikat maut, apakah kamu
tidak mahu memberikan peluang sehingga anakku yang menjadi penawar mengubati
kerisauan hatiku pulang?”
Malaikat maut menjelaskan perintah Allah yang
memerintahkannya untuk menjemput roh Maryam dan beliau tidak dapat
mensia-siakan walaupun sesaat. Mendengar penjelasan Izrail, dengan hati yang
ikhlas, Maryam berkata, “Wahai malaikat maut, kamu telah menerima perintah
Allah, oleh itu laksanakanlah perintah itu dengan segera.” Izrail segera
mendekati Maryam dan mencabut rohnya.
Selesai waktu Isyak yang akhir, Nabi Isa
pulang dengan mendaki gunung tersebut dan membawa bekalan berbuka puasa. Beliau
melihat ibunya sedang berada di tempat solat dan menyangka bahawa ibunya sedang
sembahyang. Beliau meletakkan bekalan makanan untuk berbuka dekat dengan ibunya
lalu beliau berdiri menghadap kiblat. Setelah sekian lama, beliau memanggil
ibunya untuk berbuka puasa dan mengerjakan ibadah tanda syukur keada Allah,
namun beliau melihat tak sedikit pun makanan terusik oleh ibunya walau dua
pertiga malam telah berlalu.
Nabi Isa memanggil
lagi ibunya, “Assalamualaiki ya Ummahu”. Oleh kerana fajar telah menjelma dan
ibunya tidak lagi bangun, maka beliau menghampiri ibunya dan meletakkan pipinya
pada pipi ibunya lalu menciumnya sambil menangis dan berkata, “Assalamualaiki ya
Ummahu. Malam telah berlalu dan fajar telah menjelma, ini adalah masa untuk
menunaikan fardhu yang telah diwajibkan oleh Allah”.
Setelah Nabi Isa
berkata demikian, maka menangislah para malaikat dan para jin yang berada di
sekitarnya dan bergoncanglah gunung di bawahnya. Kemudian Allah mewahyukan
kepada para malaikat, “Apakah yang menyebabkan kamu semua menangis?”
Para malaikat
berkata. “Tuhan kami, Engkau Maha Mengetahui”. Setelah itu tiba-tiba kedengaran
satu suara berbunyi, “ Wahai Isa, angkatlah kepalamu itu, sesungguhnya ibumu
telah meninggal dunia dan Allah telah melipatgandakan pahalamu”.
Sebaik sahaja Nabi
Isa mendengar suara tersebut, maka beliau menangis sambil berkata, “Siapakah
yang akan menjadi temanku tatkala aku sunyi dan dikala aku menangis? Siapakah
yang dapat aku ajak berkata-kata dan siapakah yang dapt membantu aku dalam
ibadahku?” Kemudian Allah mewahyukan kepada gunung yang bermaksud, “Wahai
gunung, nasihatilah Ruh-Ku (Isa A.S).
Berkata-katalah
gunung tersebut dengan izin Allah, “Wahai Ruh Allah, apakah erti kesusahanmu
itu, ataukah kamu mahu Allah sebagai pendampingmu yang menggembirakan?” Setelah
mendengar nasihat gunug, lalu Nabi Isa turun ke sebuah desa tempat tinggal Bani
Israil dan meminta pertolongan mereka untuk menguruskan jenazah ibunya. Namun,
mereka tidak mahu menolong Nabi Isa kerana takut pada ular-ular besar yang ada
gunung tersebut.
Nabi Isa dengan
perasaan hampa naik kembali ke gunung dan beliau melihat dua orang pemuda yang
sangat kacak rupa parasnya lalu beliau memberi salam dan meminta pertolongan
mereka untuk memakamkan jenazah ibunya. Lalu berkata salah seorang daripada
pemuda itu, “Aku ini sebenarnya adalah malaikat Mikail dan sahabatku ini adalah
malaikat Jibrail. Aku ada membawa ubat tubuh dan kain kafan dari Tuhanmu dan
para bidadari jelita sekarang sedang turun dari syurga untuk memandikan dan
mengkafankan ibumu”.
Setelah itu, malaikat
Jibrail pun menggali kubur di atas gunung. Selesai sahaja kerja memandi dan
mengkafankan dilakukan oleh para bidadari syurga, mereka menyembahyangkan
jenazah Maryam dan mengebumikannya.
Lalu Nabi Isa berdoa
kepada Allah, “Ya Allah, sesungguhnya
Engkau mengetahui tempatku dan Engkau mendengar kata-kataku dan tidak
sedikitpun urusanku yang tersembunyi dariMU. Ibuku telah meninggal dunia sedang
aku tidak menyaksikannya sewaktu dia wafat. Oleh itu izinkanlah dia berkata
sesuatu kepadaku.”
Kemudian Allah
menwahyukan kepada Nabi Isa, “sesungguhnya aku telah memberi izin kepadanya”.
Nabi Isa lalu pergi ke kubur ibunya dan berkata, “ Asslamualaiki ya ibu,
bagaimanakah dengan tempat pembaringanmu dan tempat kembalimu dan bagaimanakah
pula kedatangan Tuhanmu?” Dengan izin Allah, Maryam berkata, “Tempat
pembaringanku dan tempat kembaliku adalah sebaik-baik tempat, sedang aku menghadap
kepada Tuhanku, aku tahu bahawa Dia telah menerimaku dengan rela.”
Berkata Nabi Isa lagi, “Wahai ibu,
bagaimanakah rasa sakitnya mati?” Ibunya menjawab, “Demi Allah yang telah
mengutuskanmu sebagai nabi dengan sebenar-benarnya, belum hilang lagi rasa pedihnya
mati, demikian juga dengan rupa malaikat maut yang datang belum hilang dari
pandangan mataku. Alaikassalam wahai kasih sayangku sampai hari kiamat.
Rujukan : Himpunan
kisah-kisah nabi dan teladan.
No comments:
Post a Comment