BOLEHKAH ROH SUAMI KEMBALI MENIDURI
ISTERINYA YANG MASIH HIDUP?
Soalan:
Ustaz, suami saya telah kembali ke
rahmatullah kira-kira tiga bulan yang lalu. Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini
ada sesuatu yang pelik berlaku pada diri saya, iaitu pada setiap malam arwah
mendatangi dan bergaul dengan saya. Kemusykilan saya ;
i) Bolehkah suami yang telah kembali
ke rahmatullah, mendatangi semula dan bergaul, sepertimana mereka hidup pada
malam-malam hari sebelum kematiannya?
ii) Bolehkah ruh suami saya
menziarahi anggota keluarganya, menziarahi rumah atau kampung halamannya?
iii) Apakah benar ruh orang yang
sudah meninggal, boleh balik memasuki tubuh anggota keluarganya, seolah-olahnya
boleh berinteraksi dengan orang hidup.
Hamimah Abdullah
Banting, Selangor.
Jawapan:
Puan,
Menjawab soalan pertama, di sini ada
dua episod daripada soalan ini, pertamanya, mendatangi isteri setelah suaminya
meninggal iaitu ‘tidur bersama’, mungkin berlaku sebagai suatu mimpi indah atau
keduanya, benar-benar berlaku dalam keadaan sedar dan yakin bahawa itu adalah
suaminya yang terdahulu.
Kalau berlaku itu atas nama mimpi,
memanglah ia sesuatu yang mungkin, lebih-lebih lagi berlaku kepada isteri yang
amat menyayangi suaminya yang telah pergi menemui Allah lebih dahulu
daripadanya.
Adapun mendatangi isteri dalam
maksud ia benar-benar sedar dan yakin bahawa itu adalah suaminya maka ini
adalah tidak mungkin dan tidak boleh berlaku kerana orang yang telah meninggal
telah berpindah ke alam baqa’ – alamul khulud – yang bermula daripada kubur.
Hadis Nabi s.a.w menyebut (yang
bermaksud),”Alam kubur itu adalah suatu tempat tinggal sementara, tempat
berhenti daripada tempat-tempat yang akan dilalui, menuju ke alam Akhirat, alam
kubur adalah sebahagian daripada alam barzakh, maka yang telah dimasukkan ke
alam kubur akan berada di dalamnya sehingga hari Kiamat yang tidak mungkin
boleh kembali ke alam dunia.”
Adapun yang berlaku setelah yang
didakwa oleh banyak orang, khasnya kepada saya, puan mesti yakin bahawa itu
bukanlah suami yang sebenar.
Kalaupun berlaku sungguh, ia akan
berlaku, tetapi bukan daripada suami. Tetapi ia dilakukan oleh makhluk lain
yang bernama Qareen. Qareen ini memang wujud, dalam al-Qurannul Karim, terdapat
istilah Qareen ini sebanyak 12 kali. Misalnya kita merujuk kepada Surah
as-Shaffaat, ayat 51 yang bermaksud, salah seorang daripada yang telah meninggal
yang menghadapi balasan Allah S.W.T, mengakui dengan mengatakan bahawasanya,
adalah pada diri saya dahulunya ada Qareen.
Qareen dalam tafsir seperti
al-Qurtubi dan al-Maraghi, disebut sebagai kawan atau teman yang begitu rapat.
Ertinya, insan yang menjadikan Qareen sebagai teman rapatnya maka dia telah
mendapat sejahat-jahat teman. Qareen adalah satu jenis daripada jenis-jenis Jin
ataupun Syaitan.
Pada umumnya, apabila manusia
bersahabat dengan syaitan serta meminta tolong daripadanya dan berbagai-bagai
lagi, maka jadilah dia Qareen. Oleh itu, selepas daripada kematian manusia,
Qareen ini akan melakukan berbagai-bagai perkara yang tidak baik termasuklah
dia boleh menganggu keluarga si mati dan mendatangi isterinya sebagaimana rupa
suami terdahulu.
Oleh sebab itu puan tidak seharusnya
mempercayai bahawa ‘dia’ adalah suami puan, kerana suami puan yang sebenarnya
telah kembali ke rahmatullah.
Mengenai soalan kedua, orang yang
telah meninggal dunia, ruhnya kembali kepada Allah S.W.T yang diistilahkan
berada dalam alam Barzakh, ianya adalah alam Akhirat. Justeru insan yang telah
pergi kepada-Nya tidak mungkin dan tidak boleh kembali ke alam dunia kerana
Barzakh itu bermaksud pemisah atau penghalang. Ia seumpama sebuah tembok yang
kukuh memisahkan di antara dua alam.
Maka orang yang telah kembali
kerahmatullah atau kembali ke alam Barzakh ini, dia tidak boleh kembali. Dalam
Surah az-Zumar, ayat 42 yang bermaksud, “Allahlah yang memisahkan nyawa dengan
mati daripada makhluk-Nya dan memegang yang telah pasti mati ini dengan tidak
membenarkannya kembali ke dunia.”
Ayat al-Quran lain ada menyebut,
“Bahawa selepas kematian, mereka
akan kembali ke alam Barzakh sehinggalah kepada hari Kiamat.”
Banyak ayat al-Quran dan al-Hadis
yang menunjukkan bahawa ruh si mati berada dalam suatu kepungan Barzakh yang
tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia. Sebagaimana kita ke alam dunia tidak
boleh masuk ke alam Barzakh (tanpa ada sebab).
Logiknya kita lihat, kalaulah ruh
orang yang telah mati itu boleh kembali ke dunia, boleh melakukan
berbagai-bagai perkara, sudah tentu orang-orang yang telah meninggal itu
seolah-olahnya tiada seksa kubur, tiada balasan dan seolah-olahnya mereka bebas
ke sana ke mari.
Oleh itu, kita harus yakin bahawa
ruh si mati tidak boleh kembali untuk menziarahi keluarganya, rumahnya atau
sebagainya.
Kepada soalan ketiga, pada saya
orang yang telah meninggal tidak boleh kembali ke dunia. Peninggalannya adalah
peninggalan yang terakhir, sebab itu ia disebut kembali ke rahmatullah. Sama
ada dia (si mati) berada dalam keadaan penuh dengan nikmat alam Barzakh yang
bermula dari alam kubur, atau bermula dengan seksa kubur seperti yang sabit
dalam nas-nas al-Quran dan as-Sunnah yang wajib diimani adanya azab kubur.
Dalam kedua-dua keadaan ini, si mati
sudah tidak mungkin akan kembali ke dunia ini kerana dia berada dalam alam
Barzakh.
Akan tetapi berlaku dalam dunia ini,
orang mengatakan ruh orang mati, kembali ke dunia dan meminjam jasad-jasad yang
tertentu yang jadi seperti orang kehilangan akal, bercakap dengan nada, irama
dan kelakuan orang yang telah mati.
Daripada pengalaman saya, ada juga
yang medakwa dirinya Nabi Khidir, Sheikh Abdul Qadir Jailani, Wali Songo dan
sebagainya. Ada juga pihak tertentu yang mengubat orang, yang mengajar
ilmu-ilmu yang didakwa kununnya diambil daripada orang yang telah mati.
Semuanya ini adalah tidak benar dan
ditolak oleh Islam.
Seolah-olah wujudnya fahaman
mengembalikan ruh, dalam istilah Arabnya disebut tanasuthil arwah –
reincarnation -. Fahaman ini ada dalam fahaman Buddha, Hindu dan fahaman purba.
Islam bersih daripada semua fahaman ini.
Umat Islam mesti beriman bahawa ruh
adalah untuk dirinya sahaja dan tidak boleh masuk dalam diri orang lain. Satu
jasad satu ruh, apabila dipisahkan, jasad akan tinggal di alam dunia, ruh
kembali ke alam Barzakh.
Apabila tibanya nanti di hari
Qiamat, jasad akan dijadikan semula dan ruh akan mencarinya untuk dihisabkan
oleh Allah S.W.T. Alam Barzakh adalah suatu alam yang ditutup rapat.
Oleh kerana itu pada pandangan saya
tidak timbul sama sekali manusia yang telah mati, ruhnya boleh menganggu atau
menyakiti manusia.
Wallahu a’lam.
Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din
Dipetik dari kitab: “Menjawab
Persoalan Makhluk Halus: Kaitannya Dengan Penyakit Dan Pengubatan – Bersama
Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din”.
No comments:
Post a Comment