Thursday, September 12, 2013

Amalkan Doa Nabi Yunus a.s. Ketika Dalam Kesusahan


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Alhamdulillah, telah digerakkan Allah S.W.T untuk anda membaca posting ini. Telah digerakkan Allah SWT untuk saya membuat Posting ini.  Semoga anda berada di dalam rahmat Ilahi... 

Fadhilat doa/tasbih Nabi Yunus a.s.  semasa terperangkap di dalam perut Ikan Nun.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya :

“Barangsiapa mempunyai apa-apa hajat, hendaklah ia berwuduk, kemudian sujud kepada Allah, sambil membaca tasbih Nabi Yunus sebanyak 40 kali dengan cara jari telunjuknya menghadap ke arah kiblat ketika ia sujud. Sesungguhnya sesiapa yang berbuat demikian akan diperkenankan doa dan permintaannya.”
Sabda Rasulullah SAW maksudnya :
“ Sesungguhnya aku ketahui satu kalimah yang apabila dibaca oleh mereka-mereka yang ditimpa bala atau kesusahan, Allah akan lepaskan si pembacanya dari kesusahan. Kalimah tersebut ialah tasbih saudaraku Nabi Yunus a.s.
“ La ilaha illa anta subhaanaka inni kuntu minazzholimiin.”
(Tidak ada tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sungguh aku termasuk  orang-orang yang zalim.)
Walaubagaimanapun doa hendaklah seiring dengan usaha kerana itu fitrah manusia dan apabila berdoa beserta dengan sedikit usaha insyaallah kita akan terselamat dari sesuatu malapetaka dari menjadi lebih teruk lagi.

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Abu Abdillah bin Abd Rahman bahawa apabila Nabi Yunus a.s. berdoa :
Dalam persyaratan demikian dengan hati yang patah dan terputus dari harapan dari semua tempat baginda a.s berdoa dan mengatakan:
لا إِلهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحانَكَ إِنّى‏ كُنْتُ مِنَ الظَّالِمينَ
“Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim” ketika berada di dalam perut ikan, sampai suaranya ke Arasy Allah.
Malaikat memberitahu Allah SWT tentang doa hamba-Nya yang daif dari tempat yang asing.
Lalu Allah SWT bertanya kepada para malaikat : “Tahukah kamu suara siapa itu?”
Malaikat menjawab : “Tidak ya Allah”
Allah SWT memberitahu, “Itulah suara Yunus hamba-Ku.”
Malaikat mengatakan,”Ya Allah, Engkau Maha Pengampun terhadapnya. Dia sentiasa mengingati-Mu ketika senang, maka ingatlah dia ketika dalam kesusahan.”
Allah menjawab : “Sudah tentu”
Maka Dia memerintahkan agar ikan itu membebaskan Nabi Yunus dari perutnya.
Menurut sebuah hadis sahih riwayat Tirmizi, Nabi SAW menyatakan yang bermaksud : “Sesungguhnya tiada seorang muslim pun memanjatkan doa ini dalam apa keadaan sekali pun, melainkan Allah akan memperkenankannya.” (Hadis Riwayat Tirmizi dalam bab al-Da’awat no. 3505, di anggap sahih oleh al-Albani)
Firman Allah SWT :
وَذَا النُّونِ إِذْ ذَهَبَ مُغَاضِبًا فَظَنَّ أَنْ لَنْ نَقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَى فِي الظُّلُمَاتِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ (87
Maksudnya : “Dan (ingatlah kisah) Dzun Nun (Yunus), ketika ia pergi dalam keadaan marah, lalu ia menyangka bahwa Kami tidak akan mempersempitnya (menyulitkannya), maka ia menyeru dalam tempat yang sangat gelap (dalam perut ikan, di dalam laut dan pada malam hari) : ‘Bahwa tidak ada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim’.” (Surah al-Anbiya’ (21) ayat 87)
Pada ayat ini Allah SWT. mengingatkan Rasul-Nya dan kaum muslimin semuanya, kepada kisah Nabi Yunus a.s, yang pada permulaan ayat ini disebutkan dengan nama “Zun Nun”. Zu bererti “yang mempunyai”, sedang An Nun berarti “ikan paus”. Maka Zun An Nun bererti “Yang empunya ikan paus”. Ia dinamakan demikian, kerana pada suatu ketika ia pernah dijatuhkan ke laut dan ditelan oleh seekor ikan paus. Kemudian, kerana pertolongan Allah, maka ia dapat keluar dari perut ikan tersebut dengan selamat dan dalam keadaan selamat.
Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan ayat di atas dan hadis Nabi SAW doa Nabi Yunus a.s adalah salah satu doa yang sungguh mustajab dibacakan ketika kalian berada dalam keadaan kesusahan ditimpa bala atau musibah.
Allah SWT akan mengkabulkannya sebagaimana Dia mengkabulkan doa Nabi Yunus a.s seperti firmannya yang bermaksud : “Maka Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya daripada kedukaan. Dan demikianlah Kami selamatkan orang-orang yang beriman.”(Surah al-Anbiya (21) ayat 88)
Oleh itu amalkanlah doa ini sebagai wirid harian dan bacalah doa ini sentiasa samaada dalam keadaan senang atau susah kerana betapa besarnya hikmah dan kebaikan doa yang terdapat di dalam al-Quran ini untuk menjadi amalan harian kita.

Berikut adalah RAHSIA disebalik DOA Nabi Yunus :

Rahsia 1:

Rahsia pertama, perhatikan bahawa doa ini dibuka dengan kalimah tauhid “Tiada Tuhan melainkan Allah”. Kalimah tauhid tidak sekadar bermaksud tiada tuhan yang berhak aku sembah melainkan Allah, tetapi dalam konteks ini juga bermaksud tiada tuhan yang patut aku mengadu, mengharapkan keampunan dan menghajatkan keselamatan melainkan Allah. Pembukaan seperti ini membuktikan kemantapan dan ketulenan tauhid Nabi Yunus di mana beliau tidak mengadu, merungut dan berharap kepada sesiapa dan apa jua melainkan kepada Allah sahaja.

Ini merupakan manhaj para Rasul dan Nabi yang mesti kita ikuti. 
Perhatikan – sebagai contoh lain – sikap Nabi Ayyub ketika beliau ditimpa penyakit. Beliau tidak mengadu kepada para doktor atau selainnya, tetapi mengadu kepada Allah sahaja: Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayyub, ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani.” [al-Anbiya 21:83]

Rahsia 2:

Seterusnya Nabi Yunus mengucapkan “Maha Suci Engkau (ya Allah)”, bererti mensucikan Allah dari sebarang bentuk kezaliman atau penganiayaan. Lebih mendalam, Nabi Yunus menyucikan Allah bahawa apa yang menimpanya saat itu (ditelan oleh ikan paus) bukanlah merupakan satu bentuk penganiayaan oleh Allah ke atas dirinya.

Penyucian ini penting ditegaskan kerana kadangkala apabila ditimpa kesusahan, kita marah atau menyalahkan Allah. Malah kita menuduh Allah sebagai konon sengaja menganiaya diri kita. Maha Suci Allah dari menganiaya manusia, tetapi manusialah yang menganiaya diri mereka sendiri: “Dan tiadalah Kami menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.” [al-Nahl 16:118]

Rahsia 3:

Tanpa keberatan, tanpa alasan yang berlapik-lapik, Nabi Yunus terus mengaku kesalahannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” Nabi Yunus tidak terus meminta ampun kepada Allah, sebaliknya memilih cara yang lebih lembut, beradab lagi merendah diri, yakni dengan mengakui kesalahan dirinya sendiri.

Selain itu Nabi Yunus sedar bahawa kesusahan yang menimpanya saat itu, iaitu ditelan oleh ikan paus, merupakan kesan dari kesalahan dirinya sendiri yang melarikan diri dari tugas dakwah yang Allah amanahkan kepadanya. Merupakan sesuatu yang sedia dimaklumi bahawa salah satu faktor seseorang itu ditimpa kesusahan dan kesulitan ialah kerana dosa-dosa hasil dari kesalahan yang pernah dia lakukan sendiri. Allah menyatakan hakikat ini:

“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan, maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.” [al-Shura 42:30]





No comments: