Diantara jenis-jenis amalan khurafat orang Melayu adalah seprti
berikut;
1. Anggapan sial atau membawa malapetaka kepada seseorang
ataupun masyarakat dengan kehadirannya dan amalan buang sial: tepung tawar,
Lenggang perut, Mandi bunga/Sintok limau dan Mandi Safar.
Islam menganggap setiap orang itu ada qadar baiknya dan ada qadar
buruknya dan sama sekali tidak ada kesialan pada diri seseorang. Begitu juga
cara untuk menghindari sesuatu musibah adalah memohon kepada Allah yang
menciptakan segala-galanya bukannya dengan amalan-amalan buang sial.
2. Kepercayaan kepada hantu dengan alasan untuk tinggal selamat
di suatu tempat atau memberi makan kepada hantu peliharaannya ataupun
konon-kononnya untuk membayar niat tertentu.
Sesungguhnya Islam dengan aqidah dan tauhid yang amat kental
mengajak manusia agar beriktikad bahawa segala sesuatu yang memberi bekas
adalah Allah SWT saja yang tidak ada sekutu dengannya. Oleh itu tidak perlu
menjamu kepada sesiapa kerana segalanya adalah makhluk ciptaan Allah SWT yang
amat lemah.
3. Ilmu seru gerak yang kebiasaannya diamalkan oleh kumpulan
silat yang mengamalkan jurus kebatinan.
Islam itu lengkap dan amat sempurna dari unsur-unsur luar yang
bercadang untuk menyempurnakan Islam. Ilmu mempertahankan diri adalah amat baik
dan Islam amat menggalakkan umatnya mempersiapkan kelengkapan dan segala
kekuatan bagi mempertahankan kesucian Islam tetapi bukan dengan sesuatu yang
tidak ada asalnya dari Islam seperti : ilmu seru gerak dan jurus kebatinan.
4. Jampi serapah yang ada unsur-unsur syirik atau menghina Islam
atau tidak difahami maksudnya.
Para ulama berbeza pendapat dalam masalah membaca jampi serapah
yang bukan bersumber dari al-Qur’an dan hadits kepada beberapa pandangan.
Sebahagian mereka tidak mengharuskan sama sekali sebarang jenis bacaan jampi
jika bukan dari al-Qur’an mahupun hadits. Tetapi sebahagian yang lain
mengharuskan dengan syarat difahami maknanya dan tidak ada unsur-unsur yang
dilarang dalam agama di dalam bacaan jampi tersebut. Seperti : seruan kepada
sesuatu, menghina Allah, Nabi Muhammad SAW, ajaran Islam, memohon sesuatu
kepada selain Allah SWT, termasuk meminta keapad batu atau kayu dan sebagainya.
5. Mempercayai percakapan, ramalan dan tilikan dukun samada
terhadap perkara yang telah lalu atau di masa akan datang.
Sebahagian daripada perkara yang haram,
berdosa besar bahkan syirik di dalam Islam ialah mempercayai tilikan dukun.
6. Memohon dengan percakapan atau ungkapan yang tidak ada asal
usul suruhan dalam Islam seperti kata-kata “Tabik Tok Nenek” ketika melalui
sesuatu tempat atau “Minta simpang Malaikat 44” ketika mengharapkan sesuatu
yang tidak diingini.
7. Penggunaan tangkal di rumah atau dipakai di badan yang
bukannya dari sesuatu yang tsabit dalam agama serta tidak dijaga dari dibawa ke
tempat-tempat yang bukan suci.
Pada kebiasaannya penggunaan tangkal akan menyebabkan seseorang
bertumpu kepada tangkal dan merasakan dirinya selamat selama tangkal itu berada
dengannya. Maka sebab itulah Baginda Nabi SAW melarang penggunaan tangkal.
8. Meletakkan Ladam Kuda dipintu rumah dengan alas an boleh
menghindari dari gangguan makhluk halus.
9. Mengantung isim yang dipahat di logam tertentu dengan
berbagai-bagai rajah dan tulisan yang bukannya ayat al-Qur’an atau sesuatu yang
warid dalam agama.
10. Bersahabat dan meminta pertolongan kepada Jin/Khadam/Masuk
Tok Nenek dalam badan (menurun).
Islam amat melarang umatnya bersahabat, meminta pertolongan dan
apatah lagi berkahwin dengan golongan jin yang kejadiannya, seleranya dan
kehidupannya amat berbeza sama sekali dengan manusia.
11. Mengamalkan ilmu pengasih
Ilmu pengasih atau ilmu yang didakwa dapat menawan hati
seseorang samada dengan tujuan baik, iaitu ingin bernikah, ataupun dengan
tujuan yang jahat, iaitu ingin memperdaya seseorang adalah haram di sisi agama.
Ia termasuk dalam kelompok ilmu sihir, walaupun dengan menggunakan ayat
al-Qur’an yang ditokok tambahkan dengan kalimah-kalimah tertentu.
12. Perasapan kemenyan dengan tujuan supaya menghalau jin dan
hantu di dalam rumah dan menjemput malaikat datang ke rumah.
Amalan yang terdapat dalam masyarakat Melayu ialah perasapan
kemenyan pada malam Jumaat. Dengan alasan, agar rumahnya didatangi oleh para
malaikat ataupun untuk menghindari rumahnya dari dimasuki oleh iblis syaitan
ataupun untuk menyepuh keris-keris atau sebarang jenis senjata warisan dan
sebagainya. Sebenarnya amalan-amalan seumpama ini adalah amalan yang
bersumberkan kepada ajaran agama Hindu dan jelas bercanggah dengan ajaran Islam
bahkan dapat mengundang kemudharatan kepada pelakunya.
13. Meletakkan air di dalam bekas untuk dijamukan kepada para
malaikat “Air Malaikat”.
Sesungguhnya Malaikat merupakan makhluk ciptaan Allah SWT
daripada Nur atau cahaya yang tidak pernah menderhakai Allah SWT walaupun
mereka tidak mempunyai nafsu, tidak makan, minum, tidur, berkahwin, beranak
ataupun melakukan sesuatu yang disebabkan nafsu. Maka bagaimana mungkin air
boleh disediakan untuk minuman para malaikat? Ini adalah disebabkan kejahilan
tentang perkara agama.
14. Menganiaya atau menzalimi orang melalui sihir, santau dan
pukau.
Tujuan mereka untuk menguji ilmu mereka, membantu orang lain
yang bermusuhan dengan seseorang, memintas perniagaan seseorang, mencuri atau
ingin mengambil hak milik seseorang bukan dengan secara hak. Kesemua itu zalim
namanya yang sangat layak diancam dengan azab yang amat pedih oleh Allah SWT.
15. Pemakaian susuk untuk mencantikkan muka dan badan atau
lainnya.
Merubah sesuatu yang telah dijadikan oleh Allah SWT kepada
manusia adalah haram. Seperti firman Allah dalam Surah at-Tin, ayat 4 :-
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia Dalam bentuk Yang
sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai Dengan keadaannya)”.
16. Pemakaian raksa atau apa-apa logam untuk menguatkan tubuh
badan atau untuk kuatkan rangsangan seks.
Pemakaian raksa boleh mengkategorikan sebagai merubah ciptaan
Allah SWT dan amaln sihir, kerana pemakaian raksa akan menyebabkan seseorang
itu menjadi kuat, kebal, tidak penat bekerja berat. Jampi serapah serta amalan
tertentu diperlukan untuk memasukkannya seperti pemakaian susuk.
17. Menggunakan objek untuk menakuti jin.
Menggunakan sesuatu objek dengan alasan golongan jin akan takut
kepada benda tersebut ataupun bermain dengannya, seperti menabur beras kunyit
di dalam rumah, menabur kacang hijau atau lada hitam, menyembur air garam ataupun
cuka di rumah, meletakkan sesuatu benda yang berduri di dalam rumah.
18. Kepercayaan kepada kebolehan benda memberi mudharat dan
manfaat.
Mempercayai sesuatu objek boleh memberi mudharat dan manfaat
seperti batu zamrud, kayu koka, kemuning hitam, raja kayu, teras kilo dan buluh
tumpat.
19. Kepercayaan kepada tuah keranda.
Lari dibawah keranda seseorang yang kita terlalu kasih supaya
tidak teringat kepadanya.
Sebahagian dari fahaman khurafat yang masih lagi menyelubungi
umat Islam dalam masyarakat kita ialah fahaman-fahaman seperti :-
Jangan makan nasi di dalam periuk atau belanga nanti jadi fakir.
Jangan main batu baling (batu tujuh) dalam rumah nanti sempit rezeki.
Jangan sapu rumah atau buang sampah pada waktu malam nanti sempit rezeki.
Rebus batu atau panah matahari dengan cili kering atau sambung baju pengantin sampai ke atas bumbung yang kesemuanya itu supaya tidak turun hujan.
Jangan main batu baling (batu tujuh) dalam rumah nanti sempit rezeki.
Jangan sapu rumah atau buang sampah pada waktu malam nanti sempit rezeki.
Rebus batu atau panah matahari dengan cili kering atau sambung baju pengantin sampai ke atas bumbung yang kesemuanya itu supaya tidak turun hujan.
20. Menzalimi binatang seperti amalan memindahkan penyakit
kepada binatang atau menyihir seseorang dengan menggunakan katak atau binatang
lain.
Tindakan menzalimi binatang dengan alasan untuk menyelamatkan
manusia tidak dapat diterima akal dan syarak, bahkan termasuk dalam amalan
sihir yang dilaknati Allah SWT.
21. Kepercayaan kepada kebolehan seseorang mendatangkan mudharat
atau manfaat.
Mempercayai seseorang wali, keramat atau seseorang seperti bomoh
dan dukun boleh mendatangkan kemudharatan ataupun manfaat.
22. Kepercayaan kepada kejadian alam sebagai isyarat masa depan.
Mempercayai sesuatu perkara atau bunyi yang berlaku ada kaitan
dengan apa-apa perkara atau kaitan dengan orang tertentu, seperti bunyi cicak
atau burung, kucing atau biawak melintas dalam perjalanan akan membawa
malapetaka.
23. Membaca ayat al-Qur’an secara songsang ataupun dihentikan
pada tempat yang salah dari segi tajwid dengan alasan tertentu yang bercanggah
dengan syarak.
Umpamanya membaca surah al-Fatihah atau surah al-Ikhlas terbalik
kononnya dengan tujuan perubatan atau untuk menghantar balik sihir yang dibuat
oleh orang lain. Amalan ini jelas bercanggah dengan ajaran Islam berdasarkan
firman Allah SWT, yang mencela sikap golongan Yahudi yang mengubah-ubah
ayat-ayat Allah di dalam kitab-kitab terdahulu sehingga mereka menjadi sesat.
“Di antara orang-orang Yahudi ada Yang mengubah (atau menukar
ganti) Kalamullah (isi Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya Yang sebenar,
dan berkata (kepada Nabi Muhammad): “Kami dengar”, (sedang mereka berkata Dalam
hati): “Kami tidak akan menurut”. (Surah an-Nisa, ayat 46)
24. Kepercayaan kepada kebolehan wafaq.
Mempercayai wafaq atau huruf Hija’iyah yang tertentu, yang
tertulis sama ada secara rajah ataupun tidak dan juga yang tidak dapat difahami
maksudnya, dapat mendatangkan sesuatu manfaat ataupun mudharat. Ini adalah
sebahagian dari amalan sihir yang menyesatkan. Apatah lagi jika dikaitkan
dengan sesuatu fahaman dan iktikad umpamanya boleh melariskan perniagaan,
mendekatkan jodoh dan menghindarkan penyakit.
25. Pengubatan yang bercanggah dengan Islam.
Berubat dengan kaedah yang salah dan haram disisi agama seperti
menyembelih ayam jantan/hitam, makan bara api, menilik di dalam air atau asap,
menitik lilin di dalam air untuk mengetahui sesuatu, mandi air najis, membuka,
melihat dan menyentuh aurat pesakit tanpa hajat, berdua-duaan dengan pesakit.
26. Pengubatan dengan bahan harum.
Berubat dengan menggunakan bahan-bahan yang haram. Misalnya
najis, darah, nanah, air longkang, kain lampin, tuala/modes wanita yang
mengandungi kesan darah, sesuatu dari cebisan tubuh badan manusia, seperti
rambut, kuku, gigi dan tulang manusia.
27. Upacara memanggil roh.
Mengadakan upacara Tahdhirul Arwah, kononnya untuk memanggil
roh-roh tertentu masuk kedalam badan seseorang, seperti : memanggil roh Syeikh
‘Abdul Qadir al-Jailani dan sebagainya.
28. Pengubatan tanpa sumber agama.
Berubat dengan kaedah yang tidak ada asal usul dalam ugama
seperti ilmu cungkil urat dengan digaris-garis di hadapan jari kaki dan tangan
yang diurut di atas sebuah papan dengan menggunakan pisau tumpul, menggunakan
pahat atau penukul. Kononnya sebagai isyarat untuk memulihkan sendi atau uray
yang sakit. Juga memaku paku di tiang rumah untuk menghilangkan sakit gigi,
menggunakan keris, pisau, pedang dan gambar.
29. Pengubatan oleh bomoh bukan Muslim.
Berubat dengan bomoh bukan Islam, seperti : sami Hindu, sami Buddha,
paderi Kristian dan tok batin Orang Asli yang menggunakan kaedah kepercayaan
terhadap agamanya ataupun jampi serapah agamanya.
30. Mendakwa diri sebagai seorang kasysyaf.
Mendakwa diri sebagai seorang wali yang kasysyaf dan boleh
melihat jin dan sebarang makhluk halus dan boleh menyembuhkan sebarang
penyakit.
31. Mensyaratkan pengeras yang pelik-pelik.
Seperti mesti memberi benda tajam, atau bayaran yang berjumlah
suku seperti dua ringgit suku dan membawa pulut kuning dan telur berwarna.
Rujukan :
Menjana Masyarakat Beraqidah – Himpunan Kertas Kerja Seminar
Motivasi Masyarakat Beraqidah Majlis Ilmu 2007, Cetakan Pertama : 2008,
Diterbitkan oleh : Jabatan Perdana Mentiri, NBD.
KESAN-KESAN NEGATIF
DARIPADA KEPERCAYAAN KHURAFAT
Kepercayaan khurafat boleh membawa kepada kesan negatif kepada
seseorang manusia. Khurafat boleh menjadikan seseorang itu berlaku syirik
kepada Allah swt kerana mempercayai sesuatu atau ada kuasa yang lain daripada
Allah Taala yang mampu memberi pertolongan kepada mereka. Ini menyebabkan
seseorang itu terkongkong kerana pantang larang yang diamalkan serta menyekat
kebebasan berfikir yang mengakibatkan seseorang itu lemah dan mundur dalam
segala hal.
Bahkan mereka sanggup menghabiskan wang, tenaga dan membuang
masa mereka dengan sia-sia. Akhirnya perkara tersebut menyebabkan berlakunya
huru hara dan perpecahan dalam masyarakat kita.
CARA-CARA MENGATASI ATAU
MENGHAPUSKAN KEPERCAYAAN KHURAFAT
Untuk membenteras dan menghalang dari berlakunya kepercayaan
khurafat di kalangan masyarakat hari ini usaha-usaha da’wah dan penerangan
kepada semua peringkat umat Islam perlu dilaksanakan dengan lebih meluas lagi.
Pihak yang bertanggungjawab hendaklah mengambil tindakan tegas terhadap
golongan yang melakukan perkara khurafat iaitu dengan mengenakan hukuman yang
berat serta menghapuskan tempat-tempat yang menjadi tempat pemujaan mereka
seperti bina-binaan di atas kubur yang dianggap keramat.
No comments:
Post a Comment