Thursday, October 24, 2013

2 Oktober 1187 Pembebasan Al-Aqsa oleh Salahuddin Al-Ayubi



Keadilan Salahuddin Al-Ayubi, pembebas Masjidil Aqsa

Pencerobohan Palestin oleh Tentera Salib benar-benar mencabar Salahuddin al-Ayubi, apatah lagi setelah khabar mengenai kekejaman Tentera Salib terhadap Muslim telah tersebar. Ia membakar semangat jihad Salahuddin untuk membebaskan bumi Palestin daripada tangan Tentera Salib. Pembebasan bumi Palestin daripada kuasa penjajahan menjadi keutamaan kepadanya memandangkan bumi tersebut sebagai salah satu daripada tempat suci bagi umat Islam.

Bahā’ al-Dīn ibn Shaddād, seorang penulis biografi mencatatkan kata-kata Salahuddin bahawa, 

“Ketika Tuhan mengizinkan saya untuk menakluki Mesir, saya menyedari bahawa Dia juga menginginkan saya menakluki kawasan pantai Syria, kerana Dia telah meletakkan ilham ini dalam fikiran saya.”

Realitinya, ungkapan tersebut bukanlah suatu perkara yang baru, kerana kebanyakan Muslim berhasrat sama seperti beliau. Namun dalam keadaan ini Salahuddin kelihatan lebih bertanggungjawab berbanding Muslim lain dalam membebaskan Palestin dan kawasan sekitarnya. Matlamat beliau akhirnya dapat direalisasikan setelah beliau berpeluang menjadi pengganti kepada Nūr al-Dīn Zangī yang telah meninggal dunia di Damsyik pada 569H/1174. Penggantian itu berlaku setelah beliau mendapat banyak persetujuan daripada para panglima, pemimpin agama dan juga para pemikir Islam.

Misi Salahuddin dan tenteranya melawan Perang Salib dalam membebaskan Palestin daripada cengkaman pihak musuh telah menghasilkan satu kemenangan yang besar. Sebelum menakluki Palestin, Salahuddin telah berjaya membebaskan pelbagai wilayah sekitarnya. Perang Hittin jelas mencerminkan budi pekerti Salahuddin yang mulia terhadap para panglima Tentera Salib yang berjaya ditangkapnya. Antaranya ialah Raja Guy dari Lusignan. Suatu ketika, Salahuddin meminta Raja Guy dan Raynald dari Chatillon, kedua- duanya di bawa ke khemah menghadapnya dan meminta Raja Guy duduk di sebelahnya. Melihat tetamunya yang kehausan, Salahuddin menghulurkan minuman kepada Raja Guy. Serentak itu, Salahuddin berkata, “Kami tidak memberikan kepadanya air untuk menyelamatkannya.” Walaupun begitu, mengikut tradisi Arab, sikap ramah kepada tetamu dengan memberikan minuman kepada mereka adalah sebagai tanda nyawanya dalam keadaan selamat.
Salahuddin kemudian bergerak ke arah Raynald lalu membunuhnya dengan pedang bagi memenuhi janjinya disebabkan oleh tindakan Raynald yang bertindak menyerang kumpulan kafilah yang tidak bersenjata sewaktu dalam tempoh gencatan senjata. Lebih buruk lagi, penghinaan Raynald terhadap Nabi Muhammad s.a.w. benar-benar menguji kesabaran Salahuddin, menyebabkan dia berjanji tidak akan memaafkan serta akan membunuh Raynald jika berjaya ditangkap. Guy yang menyaksikan kejadian tersebut berasa gementar kerana merasakan saat pembunuhannya bakal tiba selepas Raynald dibunuh Salahuddin, namun ditenangkan oleh Salahuddin dengan berkata, “Bukan suatu kebiasaan bagi raja-raja membunuh raja-raja yang lain, tetapi dia telah melampaui batas.” 
Salahuddin akhirnya mengeluarkan perintah kepada para tenteranya supaya melayan para tetamunya dengan baik, malah Raja Guy dihantar pulang ke Damsyik dengan rasa hormat.

Layanan yang berbeza antara Raja Guy dan Raynald secara tidak langsung telah membentuk pola yang berbeza dalam mengurus berdasarkan kepada keadaan. Hanya yang melampaui batas sahaja akan diambil tindakan, sebaliknya musuh yang tidak melampaui batas akan dimaafkan oleh Salahuddin dan layak menerima layanan yang mulia daripada beliau. Ini boleh dikatakan sama dengan tindakan Umar al-Khattab ketika beliau memberikan jaminan kepada non- Muslim di Islamicjerusalem, melalui perjanjian yang dikenali sebagai al-‘Uhdah al-‘Umariyyah.

Dalam misi menakluki Palestin, Salahuddin tidak menyerang Tentera Salib secara membabi buta bagi menjaga hubungan kedua- dua belah pihak, lebih-lebih lagi bagi memelihara kesucian al-Aqsa. Ini juga demi mengelak daripada mana-mana bahagian bangunan rosak. Beliau mengambil inisiatif mencontohi cara Umar al-Khattab ketika beliau berusaha menakluki kawasan tersebut pada zaman awal Islam. Justeru, Salahuddin bertindak menghantar utusan kepada pihak Tentera Salib agar menyerah kalah, namun permintaan Salahuddin ditolak. Setelah dikepung 40 hari oleh tentera Salahuddin, akhirnya kemenangan berpihak kepada Salahuddin. 

‘Imād al-Dīn al-Ifahānī melaporkan seramai lebih daripada 100,000 orang Kristian termasuk lelaki, perempuan dan kanak-kanak telah ditawan oleh tentera Islam. Sikap pemaaf Salahuddin terhadap masyarakat Kristian telah menyebabkan beliau tidak menghukum bunuh mereka berbanding yang dilakukan oleh Tentera Salib terhadap umat Islam sebelum ini. Bahkan mereka semua dibebaskan dengan syarat membayar wang tebusan diri. 10 dinar untuk lelaki, 5 dinar untuk perempuan, dan 2 dinar untuk kanak-kanak. 7000 daripada orang-orang miskin juga dibebaskan dengan jumlah pembayaran sebanyak 30,000 dinar sekaligus. Namun, sekiranya ada antara mereka tidak mampu membayar wang tebusan diri tersebut, secara automatik mereka akan terus berada dalam tahanan.

Pendekatan Salahuddin tersebut secara tidak langsung dapat mengelak pertentangan di Islamicjerusalem tanpa berlakunya pertempuran atau pertumpahan darah yang lebih dahsyat. Ia sekaligus mencerminkan kebaikan Islam itu sendiri di mata pihak musuh. Sesungguhnya diri Salahuddin itu dihiasi dengan akhlak Islam yang indah. Pada pendapat penulis, cara beliau melayan tawanan Kristian itu sendiri cukup menggambarkan perwatakannya sebagai seorang yang pemaaf dan bersikap belas kasihan, sekalipun dengan musuh Islam itu sendiri. Dari sudut teori dan praktikalnya, layanan yang baik terhadap golongan bukan Islam dan bersikap belas kasihan terhadap mereka adalah semata-mata bagi menunjukkan kebaikan dan sikap pemaaf Islam itu, yang mana kebaikan itu mengatasi segala keburukan dan perkara-perkara negatif yang lain. Matlamatnya adalah untuk menyedarkan masyarakat Kristian khasnya serta penganut agama lain umumnya, mengenai Islam sebagai agama yang mengasihi manusia yang lain serta bersifat kemanusiaan.

Maher Y. Abu Munshar dalam bukunya Islamic Jerusalem and Its Christians mengulas bahawa dalam menentukan bentuk layananterhadap masyarakat Kristian, Salahuddin telah membuat pembahagian kepada dua kelompok utama. 

Pertama, pihak Tentera Salib yang telah membuat pelbagai kekejaman ke atas masyarakat Arab serta Yahudi. Kedua, penduduk peribumi Kristian di Palestin yang terdiri daripada kaum Arab dan bukan Arab yang mengikut aliran gereja Greek Ortodoks. 

Selaku penduduk peribumi Palestin, mereka meminta hak untuk terus mendiami bumi Palestin. Namun, Salahuddin telah mengenakan syarat supaya mereka membayar wang tebusan diri dulu kemudian barulah dibenarkan untuk tinggal di Palestin dengan menerima pemerintahan Islam serta dikehendaki membayar jizyah.

Secara umum, sistem jizyah diwujudkan sebagai pulangan kepada keamanan dan perlindungan yang diberikan kepada golongan bukan Muslim. Sehubungan itu, sistem jizyah bukan satu bebanan kepada bukan Muslim, malah merupakan satu keringanan yang besar berbanding sistem cukai yang dilaksanakan oleh pemerintahan Rom Timur sebelumnya. Walaupun demikian, golongan yang tidak berkemampuan diberi pertimbangan dan mereka boleh dibebaskan tanpa syarat. Justeru, masyarakat bukan Islam, seperti Kristian Ortodoks dan sebagainya, yang mahu tinggal di bawah pemerintahan Islam terus dibiarkan kekal mendiami bumi Palestin. Mereka diberikan ruang pilihan yang bebas untuk mengamalkan ritual keagamaan masing-masing yang selama ini telah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.

Cerminan akhlak mulia Salahuddin itu dapat dibuktikan lagi dengan layanannya terhadap masyarakat Kristian yang telah menebus diri mereka untuk bebas. Ini berlaku apabila beliau telah membekalkan sejumlah wang serta haiwan tunggangan setelah melihat para tebusan membawa ibu bapa dan tetangga mereka yang sudah berumur. Salahuddin juga memerintahkan tenteranya supaya mengiringi mereka bagi memastikan mereka ini selamat tiba ke destinasi yang diingini. Dalam hal ini, Geoffrey Regan mengatakan bahawa,
Para pekerja Salahuddin yang tidak mampu melihat penderitaan para pelarian itu telah meminta para pekerja yang lain turun dari haiwan tunggangan, lantas menetapkan bahawa rombongan Kristian yang sudah berumur supayamenaiki tunggangan mereka, malah tentera Salahuddin sendiri yang memegang anak-anak Kristian dengan tangan mereka.

Ibn al-Athīr dan al-Ifahānī adalah dua daripada ahli sejarah yang merekodkan sikap ramah serta belas kasihan Salahuddin terhadap perempuan yang mulia, dengan membenarkan mereka meninggalkan Palestin tanpa sebarang wang tebusan. 

Sebagai contoh, Permaisuri Sybil, seorang permaisuri Byzantine, yang telah menjadi ahli agama dan menubuhkan sebuah tempat peribadatan dan mempunyai ramai pengikut di bawahnya, telah diberikan jaminan keselamatan oleh Salahuddin. Bahkan permintaannya untuk meninggalkan tempat tersebut bersama para pengikutnya telah diterima oleh Salahuddun dengan belas kasihannya tanpa sebarang syarat. Malah, beliau telah membawa Permaisuri Sybil bertemu dengan suaminya yang dipenjarakan di Nablus dan membenarkannya berada di sisi suaminya.

Runciman dalam bukunya A History of the Crusades menyatakan bahawa ramai daripada kaum perempuan Kristian yang menebus diri mereka datang menghadap Salahuddin sebelum mereka keluar meninggalkan kota tersebut dalam keadaan dukacita. Ada di antara mereka berkata,

Wahai Sultan, sebagaimana kamu lihat, kami akan pergi meninggalkan tempat ini sekarang. Kami sebagai para isteri, ibu-ibu, anak-anak perempuan kepada para tahanan. Kami akan meninggalkan tempat ini selama-lamanya dan meninggalkan para tahanan yang menjadi pelindung kepada kami. Jika kamu membunuh mereka, kehidupan kami akan musnah. Jika kamu membebaskan mereka, kamu telah mengurangkan kesakitan dan kesusahan kami kerana kami tidak dapat hidup tanpa adanya penjaga.

Mendengar masalah tersebut, Salahuddin bertindak membebaskan anak remaja kepada ibunya, suami kepada isterinya dan bapa kepada anaknya. Malah mereka diberikan sejumlah wang daripada perbendaharaan sesuai dengan keperluan mereka. Sementara, para tahanan yang masih berbaki pula dijamin oleh beliau bahawa mereka akan dilayan sebaik mungkin dan penuh belas kasihan. Menurut Runciman, layanan Salahuddin kepada masyarakat Kristianbegitu bertentangan dengan perbuatan Tentera Salib semasa penaklukan Perang Salib Pertama.

Selain itu, ‘Abdullah Nasih ‘Ulwan dalam bukunya Salah al- Din al-Ayyubi (Saladin), turut menyatakan pendapat daripada William B. Stevenson bahawa ramai daripada masyarakat Kristian yang meninggalkan Palestin tanpa membayar terlebih dahulu wang tebusan. Pendapat ini turut disokong oleh Stanley Lane Poole yang turut menyatakan hal yang sama, bahkan menyatakan bahawa Salahuddin membenarkan para pendeta dan masyarakat Kristian yang berharta membawa bersama-sama harta peribadi ketika meninggalkan Palestin. Al-Ifahānī menyatakan bahawa Heraclius dan para paderinya dikatakan meninggalkan kota tersebut dengan perhiasan emas dan perak yang penuh sarat, selain daripada satu gerabak perhiasan dan barang-barang berharga daripada Gereja Suci Sepulchre. Sebaliknya, orang Muslim akan membeli barangan yang mereka tidak ingini. Jelas di sini bahawa Salahuddin tidak membenarkan Muslim yang lain melanggar hak asasi manusia dengan cara tidak membenarkan mereka merampas barangan hak milik peribadi bukan Muslim, namun dikehendaki membelinya sekiranya berkeinginan.

Di samping itu, permintaan saudaranya, al-Mālik al-‘Ādil supaya membebaskan 1,000 orang masyarakat Kristian yang terdiri daripada orang-orang yang kurang upaya serta miskin turut dipenuhi oleh Salahuddin. Bahkan, beliau bukan sekadar membebaskan sejumlah 1,000 orang, tetapi sebanyak 10,000 orang kesemuanya, termasuk tahanan yang sudah berusia. Tindakan ini jelas menggambarkan sikap dan layanan baiknya terhadap masyarakat Kristian.
Apabila diamati dari sudut keagamaan, kelihatannya Salahuddin mengamalkan toleransi yang tinggi terhadap masyarakat Kristian. Beliau sesekali tidak menghalang penganut Kristian daripada melaksanakan ritual keagamaan mereka, bahkan tidak mengubah aspek demografi mereka. Atas fakta ini, Karen Amstrongberpendapat bahawa, 

“Islam tidak berusaha untuk membina masjid di mana-mana bahagian Kristian di Baitulmuqaddis.”

Dapat dilihat di sini bahawa pemerintah Islam sesekali tidak masuk campur dalam hal keagamaan orang yang bukan beragama Islam. Di bawah pemerintahan Islam jugalah menyaksikan penganut Kristian terus melakukan penziarahan tempat suci mereka di Palestin. John Wilkinson menguatkan lagi pandangan ini apabila beliau mengatakan bahawa ziarah orang-orang Kristian ke Baitulmuqaddis pada waktu tersebut “tidak terganggu.” Bahkan, gereja atau sinagoga iaitu rumah ibadat penganut Yahudi terus kekal terpelihara. Dengan kata lain, tempat peribadatan mereka dijamin tidak akan dicerobohi. 

Keadaan ini telah menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang tidak berusaha untuk menghentikan hak penganut bukan Islam.

Semasa berlaku pengepungan ke atas Acre, seorang ibu daripada Tentera Salib mengadu kehilangan anaknya apabila seorang Muslim dikatakan memasuki khemahnya dan menculik anaknya yang berusia 3 bulan. Kemudian, beliau mengambil keputusan berjumpa dengan Salahuddin atas saranan daripada putera raja yang menyatakan bahawa Salahuddin sememangnya memiliki hati budi yang baik. Beliau berkata, “Pergi dan beliau akan membawa anak kamu kembali.”

Mendengar aduan perempuan Kristian tersebut, Salahuddin memerintahkan agar anaknya segera dicari. Akhirnya setelah pencarian dilakukan, didapati anak kecil tersebut telah dijual di pasar. Justeru, Salahuddin memerintahkan supaya sejumlah wang diberikan kepada pembeli terbabit agar anak tersebut dapat diserahkan kembali kepada ibunya. Salahuddin dikatakan tidak berganjak selagi anak tersebut tidak dibawa kepada ibunya. Setelah bayi tersebut diserahkan kembali kepada ibunya, perempuan Kristian itu berdoa, lalu dibawa pulang ke khemahnya dengan menaiki kuda. Berdasarkan kisah ini, dapatlah dikatakan bahawa Salahuddin sememangnya seorang kesateria yangmemiliki hati yang begitu baik dan mengambil berat terhadap segala masalah rakyatnya, sekalipun dia itu seorang yang beragama Kristian.

Hubungan antara Muslim dan Kristian jelas kelihatan setelah berlakunya Perang Salib Ketiga (1189-1892). Kejatuhan Palestin ke tangan umat Islam membuatkan penganut Kristian tidak berpuas hati kerana bagi mereka, Palestin adalah hak milik mereka yang tidak boleh dikongsi sama sekali dengan umat agama lain seperti yang telah dijelaskan di atas. Walaupun Raja Richard memenangi sebahagian daripada wilayah di Palestin, namun beliau gagal mendapatkan kembali kota Baitulmuqaddis. Kemuncak peperangan ini akhirnya berakhir dengan Perjanjian Damai Ramallah yang ditandatangani pada 2 September 1192. Perjanjian tersebut secara tidak langsung menandakan berlakunya komunikasi antara dua pemimpin. Namun demikian, perjanjian tersebut terpaksa ditangguhkan buat seketika kerana Raja Richard telah jatuh sakit secara tiba-tiba.

Secara tersiratnya, terdapat perilaku yang mulia oleh Salahuddin terhadap musuhnya yang beragama Kristian iaitu Raja Richard apabila beliau telah memberikan layanan baik yang semaksimum mungkin kepada Raja Richard setelah mengetahui musuhnya itu jatuh sakit ketika di Jaffa. Raja Richard telah mendapat bantuan perubatan dan sekaligus mendapat makanan yang diidamkannya daripada Salahuddin. Kesinambungan daripada peristiwa terbabit, ternyata budi pekerti Salahuddin telah memberi kesan yang mendalam kepada Raja Richard sehingga beliau berkata kepada salah seorang pengikut Salahuddin,
Tolong sampaikan salamku kepada sultan dan katakan kepadanya, 

“Demi Tuhan! hendaklah dia mengabulkan permintaanku untuk berdamai kerana semua ini harus segera berakhir. Negeriku di seberang lautan sudah hancur. Justeru,peperangan ini sesekali tidak akan mendatangkan kebaikan, baik untuk kami, mahupun untuk kalian!”
Berdasarkan kepada pernyataan Raja Richard tersebut dapat difahami bahawa layanan baik Salahuddin terhadap musuhnya telah menguatkan lagi tekad musuhnya untuk berdamai seperti yang telah dinyatakan di atas.
Menariknya, selepas sahaja perjanjian tersebut ditandatangani kedua belah pihak, Salahuddin telah membuat satu pengisytiharan,

Dengar semua! Keamanan telah diatur. Sesiapa dari tempatnya berhasrat untuk mengunjungi tempat kami, maka dia boleh berbuat demikian. Barang siapa dari tempat kami berkeinginan mahu mengunjungi tempat kalian, maka kami boleh melakukannya juga. Laluan rombongan ziarah dari Syria juga telah dibuka sekarang.

Daripada jaminan keamanan tersebut, dapat dibuat kesimpulan bahawa penganut Kristian terus diberi kebebasan oleh Salahuddin, iaitu dalam bentuk kebebasan untuk bergerak sebebas kaum Muslim. Salahuddin sendiri telah menghulurkan bantuan dalam bentuk pengawalan untuk mengawal para rombongan ziarah sehingga mereka kembali semula ke Jaffa, bahkan memerintahkan tenteranya supaya menyediakan makanan dan melayani mereka dengan penuh kebaikan.

Di samping itu, masyarakat Kristian yang menetap di Palestin juga mempunyai hak untuk memiliki rumah, kedai dan tanah. Pintu turut terbuka untuk orang Kristian memasuki lapangan pekerjaan tanpa sebarang bentuk diskriminasi. Matlamat daripada tindakan Salahuddin tersebut, tidak lain dan tidak bukan, adalah semata-mata bagi menjaga keamanan bumi Palestin kerana ia bukan sahaja hak milik umat Islam, namun dikongsi bersama antara dua lagi kepercayaan yang lain iaitu Kristian dan Yahudi. Seperti yang telah ditegaskan oleh Salahuddin dalam sesi perundingan bersama orang-orang yang terkemuka ketika membincangkan usaha-usaha perdamaian di antara dua pihak, 

Palestin [Islamicjerusalem] adalah milik kami, sama juga milik kamu. Bagi kami, ia lebih bermakna berbanding kamu kerana di sana Nabi kami melakukan Israk Mikraj. Janganlah berharap bahawa kami akan menyerahkan tempat ini kepada kamu. Penaklukan ke atasnya suatu ketika dahulu adalah suatu perkara yang tidak terduga, berpunca daripada kelemahan umat Islam ketika itu...”

Perjanjian perdamaian ini juga dapatlah dikatakan sebagai tanda pengiktirafan Raja Richard kepada keseluruhan kepimpinan dan kedaulatan Salahuddin. Justeru seiring dengan perjanjian damai tersebut, Raja Richard telah menyerahkan anak saudara lelakinya untuk dijaga oleh Salahuddin. Beliau juga menaruh kepercayaan yang cukup tinggi terhadap Salahuddin bagi menjaga gereja di Palestin, lantaran keyakinannya yang cukup tinggi bahawa Salahuddin adalah seorang yang berpegang teguh terhadap perjanjian yang telah dimeterai.

Jelas, penganut Kristian di Palestin sememangnya berada dalam keadaan yang selesa semasa di bawah pemerintahan Salahuddin. Pembukaan kembali Palestin oleh Muslim di bawah Salahuddin ini telah memperlihatkan satu dimensi baru yang menyegarkan apabila layanan istimewa dalam segenap aspek tidak hanya terhenti sekadar umat Islam sahaja, malah termasuk kalangan yang bukan Islam. Ia seperti yang pernah dilakukan oleh Umar al-Khattab yang pernah memberi jaminan keselamatan kepada golongan bukan Islam di Islamicjerusalem. Oleh itu, pendapat yang diutarakan oleh Stanley Lane Poole harus disokong kerana ada kewajaran dalam pendapat beliau yang memuji Salahuddin. Pandangan beliau adalah berdasarkan kepada layanan Salahuddin terhadap masyarakat Kristian seperti dibincangkan di atas. Menurutnya,
Rahsia di sebalik kehebatan Salahuddin terpancar pada kecintaan rakyatnya. Sedangkan pihak lain cuba menggapainya dengan menakut-nakutkan, melalui kekerasan dan kedudukan, beliau menyempurnakan hasratnya dengan kebaikan.

Seharusnya, nasihat Salahuddin kepada anaknya mengenai sumber kekuatan yang terdapat pada diri beliau, harus dijadikan pegangan oleh pemerintah Muslim era kini mahupun akan datang. Ini terutama dalam misi menubuhkan sebuah kerajaan dan pemerintahan yang benar-benar berdaulat dan diterima ramai. Kata Salahuddin,
Cuba memenangi hati rakyat, dan meneliti kemakmuran mereka, lantaran itu menjamin kegembiraan mereka... Saya menjadi hebat seumpama ini kerana saya telah berjaya memenangi hati rakyat dengan kelembutan dan kebaikan.”
Oleh yang demikian, sikap yang ditunjukkan oleh Salahuddin terhadap masyarakat Islam dan bukan Islam, terutamanya masyarakat Kristian, boleh digambarkan sebagai suatu tindakan yang matang. Ia sekaligus menjadi faktor wujudnya keamanan di Palestin pada waktu tersebut seperti yang telah digambarkan di atas.

Kesimpulan:

Salahuddin al-Ayubi telah memberi ruang yang terbuka kepada golongan Kristian dan jaminan keselamatan kepada mereka. Jelas, ia menunjukkan bahawa kewujudan pelbagai latar agama di kalangan rakyat tidak menjadi penghalang kepada pemerintahan Islam untuk membangunkan wilayahnya. Golongan Kristian di Islamicjerusalem dan kota Baitulmuqaddis telah mendapat layanan yang baik dari seorang pemimpin Muslim yang telah berjaya membebaskan wilayah tersebut buat kali yang kedua. Keadilan yang diberikan itu sungguh berharga dalam hal hubungan antara Muslim dan Kristian. Keadilan harus mewarnai kehidupan seharian, tanpa mengira agama dan bangsa. Justeru, dalam hal ini, Salahuddin sesekali tidak mengamalkan dasar mengecualikan orang lain, namun menangani mereka dengan keadilan. Ini patut menjadi contoh teladan kepada pemimpin, ilmuwan dan masyarakat Islam seluruhnya.

Misteri Haikal Nabi Sulaiman
Alhamdulillah, ini adalah antara artikel yang sempat saya kirimkan dan kiriman yang ulung kali dalam tahun ini (2013) dalam merungkai sebuah misteri lama di zaman nabi Allah Sulaiman as. Isu Haikal Nabi Sulaiman pernah saya kupaskan sebelum ini dalam sebuah artikel saya yang bertajuk “Keruntuhan Al Aqsa Petanda Awal Kiamat“, saya tergerak untuk mengkaji sejarah misterinya sebagai satu bahan ilmiah yang mungkin boleh dikongsikan bersama kepada semua pembaca. Sesungguhnya Sejarah Haikal Sulaiman bermula di  Baitulmaqdis dan merupakan sebuah kota yang terletak di dalam wilayah Palestin dan diiktiraf sebagai kota ketiga paling suci bagi umat Islam selepas Mekah dan Madinah. Dalam kalangan masyarakat antarabangsa, kota ini lebih dikenali dengan nama Jerusalem yang bermaksud ‘tempat yang aman untuk didiami’.

Catatan sejarah menunjukkan kota ini telah diduduki manusia selama sekitar 5,000 tahun sekaligus merupakan antara kota yang tertua di dunia dan masih dihuni sehingga sekarang. Kota ini merupakan tempat pertembungan antara tiga agama samawi iaitu Islam, Yahudi, dan Kristian bahkan setiap agama mempunyai kawasan masing-masing di sekitar kota lama yang mengelilingi sebuah tanah tinggi yang terkepung dengan tembok yang tinggi lagi kukuh.

Masyarakat dunia menamakan kawasan tanah tinggi ini sebagai ‘Mount Temple’ disebabkan sejarahnya yang pernah menempatkan kuil Yahudi kuno iaitu dipanggil juga sebagai Haikal Sulaiman sebelum ia dimusnahkan, dibina semula dan sekali lagi dimusnahkan selepas kota ini dijajah oleh kerajaan-kerajaan yang berbeza.

Mengikut catatan sejarah, umat Islam pada era awal Islam dahulu menggelarkan kawasan di mana terletaknya ‘Mount Temple’ sebagai Madinah Baitulmaqdis yang membawa erti ‘City of the Temple’ yang mengambilkira akan kewujudan Haikal Nabi Sulaiman A.S yang menjadi tempat ibadat pertama kaum Yahudi sebelum dimusnahkan oleh orang Babylon pada tahun 586 sebelum Masihi.

Selepas kemusnahan pertama itu, Haikal ini dibina semula kira-kira selepas 70 tahun kemusnahan pertamanya apabila orang Babylon berjaya diusir, namun ia diruntuhkan kembali pada tahun 70 Masihi oleh Empayar Roman. Manakala kawasan kota yang wujud di sekeliling ‘Mount Temple’ ini dipanggil Iliya, berasal daripada nama ‘Aelia Capitolina’ yang diberikan semasa penjajahan orang Roman. Kawasan ‘Mount Temple’ pada asalnya agak tinggi dengan keadaan yang tidak rata tetapi pada tahun 19 sebelum Masihi, pemerintah ketika itu iaitu Herod the Great telah membina tembok tinggi mengelilingi kawasan ini lalu meratakan permukaannya di dalam kawasan tembok sepertimana keadaan sekarang.

Selepas pengislaman Kota Baitulmaqdis yang bermula ketika zaman khalifah Umar al-Khattab,  nama ‘Mount Temple’ telah ditukarkan kepada Haram al-Sharif yang menggambarkan kedudukan kawasan suci ini yang mendapat tempat yang mulia di dalam Islam sementara kota disekitarnya inilah dinamakan Baitulmaqdis.

Pada Zaman Khalifah Sulaiman iaitu salah seorang khalifah di dalam era Turki Uthmaniyyah, beliau telah membina semula dinding seakan-akan sebuah tembok di sekeliling kota Baitulmaqdis. Sekarang ini Baitulmaqdis yang asal dirujuk sebagai kota lama Baitulmaqdis iaitu kawasan yang dikepungi tembok tadi. Di kota inilah terletaknya Masjid al-Aqsa  yang telah disebut di dalam kitab suci al-Quran dan al-Hadis yang mana beribadat di dalamnya mendapat seribu ganda pahala berbanding di tempat-tempat lain.

Masjid al-Aqsa di dalam bahasa Arab bermaksud ‘masjid yang jauh’, merujuk pada jaraknya yang berjauhan daripada bumi Mekah yang menempatkan Masjid al-Haram. Di sini juga menjadi tapak kepada salah satu peristiwa terpenting di dalam Islam iaitu Isra’ dan Mikraj yang mana ketika itu, Nabi Muhammad S.A.W telah dinaikkan ke langit untuk menghadap Allah S.W.T. Baitulmaqdis juga menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah ke Mekah, iaitu kira-kira selama enam belas bulan. Kedua-dua peristiwa besar Islam ini iaitu pembinaan Masjid al-Aqsa dan peristiwa Isra’ Mikraj ini berlaku di atas tapak Haram al-Sharif.

Selain itu, Masjid Kubah Batu turut dibina berdekatan dengan Masjid al-Aqsa dan telah dibina pada zaman pemerintahan Khalifah Abdul Malik semasa era Bani Umayyah. Diriwayatkan senibina masjid ini yang begitu indah dengan kubah berwarna keemasannya yang menonjol adalah untuk menyaingi kehebatan senibina gereja-gereja di sekitar Baitulmaqdis yang menjadi tumpuan ramai pelawat. Kini Masjid Kubah Batu menjadi antara monumen tertua orang Islam yang sangat dikenali.

Masjid ini mendapat namanya berikutan dipercayai didirikan di atas tapak batu terapung yang terjadi ketika peristiwa Isra’ dan Mikraj. Ironinya batu ini juga dianggap suci oleh penganut Yahudi disebabkan kepercayaan bahawa ia merupakan pusat bagi ‘Mount Temple’ dan dianggap sebagai asas untuk pembinaan kuil mereka satu masa nanti.

Tetapi menurut catatan sejarah ketika Khalifah Umar al-Khattab r.a yang bertanggungjawab menjadikan Baitulmaqdis sebagai salah sebuah wilayah Islam, setibanya di kota ini beliau lalu bertanyakan mengenai batu yang menjadi tempatnya Baginda Rasul dinaikkan ke langit, lalu ditunjukkan oleh penduduk kota pada sebuah batu terbiar di atas tanah tinggi yang dikepungi oleh tembok. Lebih malang apabila kaum Yahudi mengotorkan kawasan itu dengan najis dan sampah sarap sebagai tanda penghinaan kepada lokasi peristiwa Isra’ Mikraj itu. Khalifah Umar membersihkan kawasan itu bersama-sama dengan orang Mukmin yang lain dan membina Masjid al-Aqsa buat kali pertamanya di bumi Baitulmaqdis itu

Masyarakat Yahudi menganggap Haikal ketiga dan sepatutnya menjadi yang terakhir seharusnya dibangunkan di atas lokasi yang sama iaitu Haram al-Sharif  bahkan perkara yang sama turut dicatatkan di dalam kitab Injil. Perebutan tapak suci inilah yang menjadi teras konflik antara Islam dan Yahudi selanjutnya menjadikan kawasan suci ini sebagai tempat krisis yang masih belum selesai sehingga sekarang.

Salah satu tembok yang mengelilingi Haram al-Sharif ini, iaitu tembok di bahagian barat ataupun ‘Western Wall’ ini menjadi tempat suci bagi penganut Yahudi. Tembok yang dibina lebih daripada 2,000 tahun yang lampau ini merupakan satu-satunya  bahagian Haikal kedua mereka yang masih wujud. Mereka menganggap Tuhan mereka berada di sebalik tembok itu dan pandangan mereka terhalang disebabkan dosa-dosa yang telah mereka lakukan. Oleh kerana itu lokasi ini menjadi tempat mereka beribadat dan meratap di atas dosa-dosa yang mereka lakukan dan amalan ini masalah berlangsung sehingga sekarang ini, susulan dengan itu kadang-kadang tembok ini juga dirujuk sebagai ‘Wailing Wall’ ataupun tembok ratapan.

Mengikut agama Kristian pula, Baitulmaqdis juga mendapat kedudukan yang mulia dan dianggap sebagai tanah suci mereka. Nabi Isa A.S yang dilahirkan di Baitullaham iaitu sebuah bandar yang berhampiran dengan Baitulmaqdis terus dibawa ke Baitulmaqdis sebaik sahaja dilahirkan. Semasa remajanya, penganut Kristian percaya bahawa  Nabi Isa A.S pernah berkhidmat untuk mencuci Haikal kedua yang pada ketika itu masih tertegak utuh di Baitulmaqdis. Selain itu juga, peristiwa penyaliban dipercayai berlaku di dalam kawasan Baitulmaqdis tetapi lokasi yang tepat masih lagi menjadi pertikaian sarjana-sarjana Kristian.

Pendapat yang paling diterima ramai adalah peristiwa itu berlaku pada tapak di mana tertegaknya sebuah gereja yang dianggap paling suci oleh penganut Kristian iaitu Gereja ‘Holy Sepulchre’, salah sebuah gereja di dalam kawasan kota lama. Di sini juga dianggap sebagai lokasi orang yang mereka percayai sebagai Nabi Isa A.S dimakamkan. Kota Baitulmaqdis sehingga kini masih menerima pengunjung Kristian yang ramai dari seluruh dunia terutamanya menjelang musim Easter.

Perang Salib yang berlaku pada 1099 Masihi juga menunjukkan keazaman penganut Kristian untuk menawan tanah suci ini daripada penguasaan orang Islam dan mereka telah berjaya menduduki kota ini selama kira-kira 200 tahun sehinggahlah kota ini dibebaskan oleh panglima Islam yang unggul iaitu Salahuddin al-Ayubbi pada tahun 1187 Masihi. Diriwayatkan bahawa ketika tentera salib dihalau sepenuhnya dari kota, Salahuddin al-Ayubbi sendiri yang membersihkan Masjid al-Aqsa yang dijadikan kandang kuda oleh tentera salib, manakala Masjid Kubah Batu yang dijadikan sebagai gereja dikembalikan fungsinya sebagai sebuah masjid.

Penguasaan orang Islam berterusan sehinggalah ke akhir zaman Khalifah Uthmaniyyah yang menyaksikan Baitulmaqdis dikuasai oleh British sehinggalah mandat penguasaan itu tamat. Kewujudan negara Israel pada tahun 1948 menyaksikan peperangan antara Arab dan Yahudi berlaku untuk menguasai wilayah Palestin yang ketika itu dibahagikan secara berat sebelah oleh badan dunia PBB.

Penduduk Arab yang mewakili dua pertiga diperuntukkan hanya sepertiga kawasan sementara sepertiga Yahudi mendapat selebihnya tanah Palestin. Ketika itu PBB mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai wilayah antarabangsa tetapi pertempuran tentera Israel dan Arab menyebabkan bahagian barat kota jatuh ke tangan Yahudi dan diisytiharkan sebagai ibu kota negara Israel tetapi tidak diiktiraf oleh dunia.

Bahagian timur Baitulmaqdis dikuasai oleh negara Jordan, termasuklah kawasan kota lama Baitulmaqdis ini. Sehingga waktu ini, Haram al-Sharif merangkumi keluasan hampir seperlima daripada keluasan kota lama Baitulmaqdis masih dikuasai oleh orang Islam.

Kota lama Baitulmaqdis terbahagi kepada empat bahagian. Bahagian pertama adalah bahagian orang Islam iaitu bahagian yang terbesar antara kesemua bahagian, Kompleks Haram al-Sharif adalah sebahagian daripada kawasan orang Islam. Bahagian kedua adalah bahagian Yahudi dan selebihnya merupakan bahagian Kristian dan bahagian Kristian Armenia, iaitu bahagian yang paling kecil antara semua. Walaupun Orang Armenia juga merupakan penganut Kristian, tetapi mereka mendapat kawasan mereka sendiri di dalam kota dan bilangan mereka juga hanya kecil jika dibandingkan dengan kumpulan-kumpulan lain. Ketika Jordan menguasai kota lama, penganut Yahudi tidak dibenarkan beribadat di sekitar ‘Western Wall’ ataupun tembok ratapan itu dan kebanyakan tempat ibadat Yahudi ditutup dan sebahagian bahagian orang Yahudi di kota lama turut menempatkan penduduk Arab yang menjadi pelarian akibat wilayah mereka dirampas oleh Israel.
 

Tetapi perang pada tahun 1967 merubah lanskap kota ini sampai sekarang. Penglibatan Jordan di dalam perang negara-negara Arab dengan Israel menyebabkan bahagian timur kota ini jatuh ke tangan Yahudi, lebih teruk apabila wilayah Palestin yang selebihnya turut jatuh bersama sehinggalah ke Tebing Barat Sungai Jordan. Mesir pula kehilangan Semenanjung Sinai dan Genting Gaza sementara Syria terlepas Tanah Tinggi Golan.

Bermulanya kejatuhan Baitulmaqdis ini menyaksikan banyak pencabulan dilakukan oleh bangsa Yahudi ke atas Baitulmaqdis. Antaranya menjadikan kawasan ‘Western Wall’ sebagai tapak ibadat mereka selain pembinaan penempatan haram Yahudi yang mengelilingi kejiranan Arab di dalam usaha memastikan kota ini didominasi secara penuh oleh Yahudi. Penempatan masyarakat Yahudi turut dibina di dalam bahagian orang Islam.

Rumah-rumah penduduk Palestin dirampas dan digantikan dengan perumahan Yahudi. Lebih teruk lagi apabila kerajaan Israel meluluskan akta yang menggabungkan timur dan barat Baitulmaqdis sebagai satu kota dan menjadi ibu kota Israel yang rasmi menggantikan Tel Avivyang sebelum ini menempatkan kedutaan-kedutaan asing. Pejabat Presiden dan Perdana Menteri, kediaman Presiden dan Perdana Menteri, bangunan Parlimen, Mahkamah Agung dan kementerian-kementerian Israel semuanya dipindahkan ke Baitulmaqdis secara beransur-ansur.

Masjid al-Aqsa juga beberapa kali telah dicabuli termasuklah dibakar oleh fanatik Yahudi sehingga membawa kemusnahan mimbarnya. Paling diingati adalah peristiwa yang berlaku pada tahun 2000, lawatan penuh  provokasi Perdana Menteri Israel ketika itu iaitu Ariel Sharon ke kompleks Haram al-Sharif. Untuk rekod, Ariel Sharon terlantar koma akibat serangan strok semasa masih bertugas sebagai Perdana Menteri pada tahun 2006 dan masih tidak sedarkan diri.

Perlu diingatkan bahawa walaupun Israel menguasai kota ini secara total namun pengawalan kompleks Haram al-Sharif diberikan kepada badan Islam sebagai kawasan wakaf dan juga Raja Jordan dianggap sebagai penjaga Masjid al-Aqsa. Bendera negara Israel juga tidak dibenarkan dikibarkan di sekitar Haram al-Sharif. Penganut agama lain juga dilarang memasuki kompleks suci ini dan askar-askar serta polis Israel berkawal di pintu masuk dan pengunjung mesti membuktikan mereka ini adalah Islam sebelum memasuki kompleks untuk beribadat. Langkah ini diambil bagi mengelakkan terjadinya pertikaian seterusnya membawa kepada pertumpahan darah memandangkan lokasi ini amat sensitif bagi semua penganut agama samawi.
Namun sampai bilakah langkah ini berterusan menjadi tanda tanya memandangkan sikap kerajaan zionis Israel sendiri yang suka melakukan provokasi ke atas penduduk Palestin dan pengyahudian Baitulmaqdis bukan lagi sesuatu agenda yang rahsia.

Hari ini, Kota Baitulmaqdis masih berada di bawah kekuasaan bangsa Yahudi yang menyimpan impian untuk meruntuhkan Masjid al-Aqsa yang mahu digantikan dengan Haikal ketiga mereka yang dipercayai menjadi Haikal terakhir mereka, malahan mereka bertungkus lumus melakukan aktiviti carigali di sekitar kompleks Haram al-Sharif untuk menguatkan dakwaan pemilikan mereka ke atas kawasan suci itu sebelum terbinanya masjid-masjid di atasnya.

Mengikut berita yang tersebar luas, mereka melakukan penggalian di bawah tapak masjid sehingga meletakkan Masjid al-Aqsa dan Masjid Kubah Batu di dalam risiko keruntuhan akibat aktiviti yang kononnya berlandaskan kerja-kerja arkeologi itu. Kaum Yahudi kelihatan begitu teruja untuk merealisasikan pembinaan Haikal Sulaiman mereka itu, bagi mereka pembinaan itu adalah sesuatu yang menjadi tuntutan agama mereka dan perlu dilaksanakan, yang menjadi persoalan hanyalah bila Haikal Sulaiman itu akan dibangunkan?

*Sumber dari johneox.wordpress.com


No comments: