JUTAAN TERIMA KASIH SAYA UCAPKAN KEPADA SEMUA YANG SUDI MELAWAT BLOG INI,SANTAPAN ZAHIR BATIN JUGA DISEDIAKAN DISAMPING PELUANG BERNIAGA YG MUNGKIN SESUAI BUAT ANDA...HAKIKATNYA TAK KIRA SIAPAPUN ANDA. INGATLAH, ORANG YANG BERUSAHA & MENGHARGAI MASA ADALAH ORANG-ORANG YANG BERJAYA..INSYAALLAH..
Wednesday, September 11, 2013
ANTARA BERSEBAB DAN TANPA SEBAB
Firman ALLAH: Kamu tidak akan mendapati yang Sunnatullah itu bertukar ganti. (Al Ahzab: 62)
Dan di dalam ayat lain ALLAH berfirman: Sekali-kali kamu tidak akan mendapati yang Sunnatullah itu berubah-ubah. (Al Fatir: 43)
Ertinya, kalau memang sudah ALLAH tetapkan satu- satu peraturan itu akan berlaku sedemikian rupa, seperti tiap-tiap sebab itu membawa akibat, maka peraturan itu tetap tidak akan berubah. Misalnya, perkahwinanlah yang mengakibatkan adanya zuriat, atau makanlah yang mengakibatkan kenyang, atau belajar bersungguh- sungguhlah yang mengakibatkan pandai. Maka peraturan itu tetap akan terjadi demikian kerana memang ALLAH yang menghendaki terjadinya demikian. Tidak ada siapa yang boleh mengubah peraturan itu.
Sebab itu umat Islam perlulah memerhatikan Sunnah atau peraturan ini untuk memandu hidupnya kerana setiap apa yang diusahakan dan diikhtiarkan oleh umat Islam ada kaitannya dengan Sunnatullah. Umpamanya, kalau umat Islam mahukan kejayaan, umat Islam perlu lah melahirkan sebabsebabnya. Atau dalam ertikata yang lain, umat Islam mesti menempuh sebab-sebab untuk menjamin kejayaan mereka. Kalau tidak, umat Islam tetap tidak akan berjaya, sebaliknya akan terus mundur, tertindas dan terhina.
Bukanlah ALLAH tidak boleh memberikan kejayaan kepada umat Islam tanpa sebab-sebab, tetapi memang sudah ALLAH buat peraturan demikian, maka umat Islam mestilah mengikut peraturan itu. Misalnya, kalau hendak menjadi satu bangsa yang pandai, umat Islam mestilah belajar bersungguh-sungguh serta melakukan usaha ikhtiar yang lebih giat. Demikian peraturan yang telah ALLAH tetapkan dan mesti kita ikuti. Cuma yang malangnya, umat Islam hari ini tidak mahu mengikut peraturan ALLAH tetapi hendak mengikut peraturan- peraturan yang direka oleh otak manusia.
Sebab itulah umat Islam hari ini tidak dapat mencapai sebarang kejayaan walau dalam bidang apa sekali pun kerana banyak peraturan ALLAH yang dilanggar, dan mereka lebih mengutamakan peraturan ciptaan manusia. Peraturan-peraturan yang telah ALLAH Sunnahkan itu dinamakan syariat Allah. Setiap usaha ikhtiar kita mesti berlandas kepada syariat ALLAH atau peraturan ALLAH, dan bukannya berlandas kepada peraturan ciptaan manusia.
Umpamanya, ALLAH telah menetapkan berbagai- bagai peraturan atau syariat untuk menyuluh makan minum kita, rumahtangga kita, pergaulan kita, masyarakat kita, pendidikan kita, dan lain-lainnya.
Maka hendaklah kita ikuti sungguh-sungguh peraturan itu.
Di samping kita berusaha dan berikhtiar, sebagai melahirkan sebab-sebab untuk mecapai kejayaan dan kemajuan, peraturan-peraturan yang telah Allah tetapkan dalam aspek-aspek yang lain mesti juga kita jadikan landasan dan panduan. Misalnya, apabila kita belajar sungguh- sungguh untuk menjadi umat yang pandai, jangan kita tinggalkan sembahyang, puasa, dan sebagainya. Jangan kita terlibat dengan pergaulan bebas serta pendedahan aurat. Dan jangan kita langgar peraturan- peraturan lain yang telah disyariatkan oleh ALLAH. Dengan demikian sajalah, baru usaha ikhtiar kita itu akan membawa kejayaan.
Tetapi umat Islam hari ini tidak berbuat demikian. Mungkin dalam usaha ikhtiar untuk melahirkan satu bangsa yang pandai, mereka akan belajar sungguh- sungguh. Tetapi dalam aspek-aspek yang lain, mereka tidak mengikut peraturan ALLAH, seperti tidak sembah- yang, tidak berpuasa, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, mendedah aurat, dan sebagainya. Yang tepat mengikut Sunnatullah ialah dengan belajar sungguh- sungguh; itu saja. Kemudian kita dapati umat Islam ini akan menyerah diri dan bertawakkal kepada ALLAH, mengharapkan agar ALLAH memberikan kejayaan.
Manakala kalau dia tidak berjaya, dia akan berkata, “Apa boleh buat, sudah kehendak ALLAH begini!” Kata- kata demikian seolah-olah memberi maksud, “ALLAH punya pasal yang menyebabkan aku tidak berjaya!” Ertinya, dia sudah menyalahkan ALLAH SWT disebabkan dia tidak berjaya.
Orang yang bertawakkal begini dinamakan ‘tawakkal tidak berbekal’. Di sinilah salahnya umat Islam hari ini yang belajar Islam sedikit-sedikit hingga menyebabkan mereka faham Islam itu sedikit-sedikit juga.
Sebenarnya ALLAH suruh ktia bertawakkal setelah semua sebab yang ALLAH jadikan itu kita tempuh. Kesemua peraturan atau Sunnatullah yang telah ALLAH syariatkan di dalam kehidupan kita mesti dilaksanakan. Ini, baru dua atau tiga sebab saja yang kita lahirkan, tiba-tiba kita pun bertawakkal kepada ALLAH. Dan apabila kita tidak berjaya, kita terus menyalahkan Tuhan, walaupun secara tidak langsung.
Tawakkal seperti ini samalah seperti memelihara lembu tanpa diikat atau ditambat, dan tidak pula memagar kawasan pemeliharaannya, lalu berserah bulat-bulat kepada ALLAH dengan harapan lembu itu tidak akan masuk ke dalam kebun orang lain. Masakan boleh jadi demikian. Sudah tentunya lembu itu akan bebas merayau ke sana sini hingga masuk ke kebun orang lain. Kemudian, apabila tuan punya kebun itu mengamuk, kita pun mengeluh. Ini ertinya kita menyalahkan ALLAH SWT (secara tidak langsung).
Sepatutnya, sebelum kita bertawakkal atau menyerah diri kepada ALLAH SWT, lahirkanlah semua sebabnya seperti lembu itu kita ikat kuat-kuat, kemudian kita kandang ia, dan kita beri dia makan kenyang-kenyang. Kemudian, barulah kita bertawakkal dengan keyakinan bahawa semua sebab telah dilaksanakan untuk mengelakkan lembu itu memasuki kebun orang lain.
Namun bukan sebab-sebab itu yang akan memberi bekas tetapi
ALLAH SWT jua. Demikianlah tawakkal yang sebenarnya. Cuma oleh kerana telah ditikam tadi bahawa umat Islam hari ini hanya mempelajari Islam itu sedikit-sedikit, mereka pun mengamalkan Islam sedikit-sedikit (dalam aspek-aspek tertentu saja). Misalnya dalam soal tawakkal kepada ALLAH, tempat-tempatnya seseorang itu akan bertawakkal, dan ada tempat-tempatnya dia tidak bertawakkal. Katalah dalam soal menjamah hidangan yang penuh dengan lauk-pauk. Tidak, pula dia bertawakkal. Kadang-kadang belum dipelawa dia sudah mula.
Kalaulah umat Islam dapat bertawakkal dalam semua aspek, ini yang paling baik kerana bertawakkal kepada ALLAH akan menggerakkan fikiran. Katalah dalam soal memelihara lembu tadi, setelah dia bertawakkal, lembu itu lepas juga ke kebun orang lain. Dari situ, tentu akan tergerak akal fikirannnya supaya melahirkan beberapa sebab lagi.
Rupa-rupanya, kita perlu berikhtiar sungguh-sungguh melahirkan sebab-sebab sebelum bertawakkal. Dan kalau setiap orang Islam dapat mencorakkan akalnya demikian, akan berjayalah kita. Kalaulah dalam hendak menjamah hidangan, kita perlu lahirkan sebabsebab, ertinya dalam semua perkara kita mesti berikhtiar. Kalau umat Islam sedar hakikat ini, sudah tentulah satu pengalaman baru akan lahir di dalam pemikiran kita. Inilah yang dapat kita fahami daripada Sunnatullah yang telah menetapkan bahawa tiap-tiap sebab itu akan membawa akibat. Dan kerana itu, sebagai umat Islam yang sememangnya diberikan petunjuk dan peraturan oleh ALLAH, hendaklah kita meluaskan ilmu pengetahuan kita agar kita dapat melahirkan semua sebab yang ada dalam setiap aspek kehidupan kita.
Umpamanya, kalau kita mahu masyarakat kita kuat, hendaklah kita lahirkan semua sebabnya. Janganlah kerana kita telah lahirkan satu atau dua sebab saja, kita sudah mengharap agar ALLAH menjadikan masyarakat kita kuat. Begitu juga, kalau kita mahu masyarakat kita berjaya dalam bidang pendidikan dan ilmu pengetahuan, hendaklah kita lahirkan sebabsebabnya dalam semua aspek. Dan kalau kita mahu umat kita maju jaya dalam bidang ekonomi pula, hendaklah kita cari semua sebab nya dan kemudian kita lahirkan. Apabila kita telah usahakan semua sebab itu, barulah kita bertawakkal kepada ALLAH. Nescaya umat Islam akan berjaya dan tidak akan diperbodoh-bodohkan serta diperkotak-katikkan oleh orang lain.
Kini fahamlah kita bahawa setiap kejadian itu ada sebab sebabnya. Ia merupakan Sunnatullah. Dan kita juga telah faham bahawa setiap sebab itu akan membawa akibat, tetapi hakikat yang sebenarnya bukanlah sebab itu yang membawa akibat, sebaliknya yang memberi akibat kepada sebab-sebab itu adalah ALLAH SWT Sebab-sebab itu tidak boleh membawa akibat dengan sendirinya. Apabila ALLAH SWT menghendaki yang tiap-tiap sebab itu membawa akibat, inilah tanda-tanda rahmat dan kasih sayang ALLAH kepada makhluk-Nya. Ertinya, apa saja yang diusahakan oleh makhluk untuk melahir- kan sebabsebab, maka akan terjadi akibat daripada sebab itu.
Namun, atas rahmat dan kasih sayang ALLAH yang menjadikan tiap-tiap sebab itu mendatangkan akibatnya, kelak akan ada orang yang berkata bahawa ALLAH SWT sebenarnya tidak boleh menjadikan sesuatu tanpa sebab. Kalau ada orang yang mengatakan demikian, akan terpesonglah aqidah umat Islam. Sebab itu, untuk menye lamatkan aqidah umat, sekali-sekala Allah jadikan juga sesuatu perkara itu tanpa sebab.
Misalnya, dalam soal kita hendakkan zuriat, kita mestilah menempuh sebabsebabnya iaitu melalui perkahwinan. Dengan sebab perkahwinan, akan lahirlah anak. Tetapi telah berlaku dalam sejarah, Nabi Adam a.s. dijadikan tanpa ayah dan ibu, Siti Hawa, isteri kepada Nabi Adam a.s., dijadikan tanpa ibu, dan Nabi Isa, a.s. dijadikan oleh ALLAH SWT tanpa ayah. Kejadian-kejadian ini menunjukkan kepada kita, walaupun memang Sunnatullah bahawa untuk mendapatkan anak mesti melalui perkahwinan, tetapi ALLAH boleh menjadikan ia berlaku tanpa sebab. Ini juga satu hikmah dan nikmat ALLAH kepada hamba-Nya yang amat besar dan tidak terhingga, dan ALLAH tidak mahu hamba-hamba-Nya tersesat.
Kuasa ALLAH itu mutlak, dan kerana itulah ALLAH berkuasa melakukan apa saja termasuklah melakukan sesuatu kejadian itu tanpa sebab-sebab. Dengan ini tidak ada siapa yang nanti boleh mengatakan bahawa ALLAH tidak berkuasa melakukan sesuatu itu tanpa sebab. Seandainya ada orang yang mengatakan demikian, dia jatuh syirik.
Dengan ALLAH menjadikan sesuatu itu sekali-sekala tanpa melalui sebab-sebab, ini juga menunjukkan bahawa sebab-sebab itu sendiri tidak boleh memberi bekas.Yang memberi bekas ialah kuasa ALLAH SWT. Dengan itu yang memberi bekas kepada kenyang bukan makan, yang memberi bekas kepada zuriat bukan perkahwinan, yang memberi bekas kepada terbakar bukan api, yang memberi bekas kepada pandai bukan rajin belajar, dan begitulah seterusnya. Cuma, memang ALLAH hendak jadikan itu sebagai peraturan, maka dalam kehidupan kita ini, tiap-tiap sebab akan membawa akibat.
Namun, hendaklah kita yakin benar-benar bahawa hakikatnya bukan sebab itu yang membawa akibat. Ini dapat kita perhatikan sekali lagi dalam satu kejadian yang lain. Kita tentu faham bahawa setiap api itu pasti membakar, tetapi ALLAH telah menjadikan api tidak membakar dalam perisitiwa Raja Namrud hendak membakar Nabi Ibrahim a.s. hidup-hidup. Walaupun Raja Namrud mengerahkan seluruh rakyatnya mengumpulkan kayu api hingga bertimbun, namun apinya yang begitu besar tidak membakar Nabi Ibrahim as. setelah baginda dilontarkan ke dalamnya.
Demikianlah ALLAH memperlihatkan kuasa-Nya dalam membatalkan peraturan sesuatu kejadian itu. Walaupun tiap-tiap kejadian itu sebab-sebabnya membawa akibat tetapi ALLAH boleh merubah peraturan itu. Ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa tiap-tiap sebab itu tidak membawa akibat. Yang membawakan akibat atau yang memberi bekas kepada sebab-sebab adalah ALLAH SWT sendiri.
http://goo.gl/BK90EY
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment