Daripada Abu Qatadah al-Ansari berkata: Rasulullah SAW
ditanya oleh sahabat tentang kelazimannya berpuasa pada setiap hari Isnin. Maka
baginda bersabda: “Padanya aku dilahirkan dan padanya wahyu pertama diturunkan
kepada ku”.
(Muslim)
Huraian:
Merayakan maulid rasul termasuk dalam rangka memuliakan
Rasulullah SAW dan sesiapa yang meraikannya diberikan pahala oleh Allah SWT.
Begitu juga menyambut hari-hari kebesaran Islam yang lain seperti Maal Hijrah,
Nuzul al-Quran, Hari Raya Puasa dan Haji, Nisfu Syaaban dan sebagainya.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Haj ayat 32 yang
maksudnya : “..dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah, maka
(dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu adalah satu
kesan daripada sifat-sifat hati yang bertaqwa kepada Allah”
Rasulullah SAW adalah merupakan syiar atau tanda kebesaran
Allah SWT kerana dengan kelahiran Rasulullah SAW, dunia mengetahui tentang
keesaan Allah SWT. Sesungguhnya Allah menyuruh kita mengambil pengajaran di
atas peristiwa keputeraan Rasulullah SAW ini kerana ia akan memperkukuhkan
keimanan dan kecintaan kita terhadap diri baginda dan meneruskan perjuangannya
serta tidak melupakan ajaran dan sunahnya.
Mengucapkan selawat ke atas Nabi SAW seperti dalam majlis
maulidurrasul adalah amalan yang amat digalakkan dalam Islam kerana Allah
sendiri telah berfirman yang maksudnya “Sesungguhnya Allah dan para malaikat
berselawat ke atas Nabi. Wahai orang beriman, hendaklah kalian berselawat
baginya dan mengucapkan salam penghormatan kepadanya.” (Al-Ahzab:56)
Ulama telah sepakat memandang baik amalan menyambut
maulidurrasul SAW. Di Malaysia, era 50an hingga 80an sambutan ini dilakukan
dengan cara tradisional seperti berzanji, tilawah al-Quran, tahlil dan
sebagainya. Namun perkembangan semasa telah mempengaruhi acara sambutan
tersebut kepada bentuk baru seperti dengan mengadakan nasyid, forum, ceramah,
perarakan dan sebagainya. Tujuannya tidak lain melainkan untuk memperingati,
mengagungkan, dan memuliakan Rasulullah SAW.
No comments:
Post a Comment