Wahai Saya bin Ibu Saya
Wahai SAYA Bin IBU SAYA, wahai SAYA Bin
IBU SAYA, wahai SAYA Bin IBU SAYA. Hendaklah kamu ingat akan janji-janji
Allah, yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini. Sekarang
kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat. Kamu telah mengaku bahawa
tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah dan
bahawasanya Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.
Ingatlah wahai SAYA Bin IBU SAYA.
Apabila datang kepada kamu dua malaikat yang serupa dengan kamu iaitu
Munkar dan Nankir, maka janganlah berasa gentar dan takut. Janganlah
kamu berduka cita dan risau serta janganlah kamu bersusah hati dan
terkejut. Ketahuilah wahai SAYA Bin IBU SAYA bahawasanya Mungkar dan
Nankir itu hamba Allah Ta’ala, sebagaimana kamu juga hamba Allah Ta’ala.
Apabila mereka menyuruh kamu duduk, mereka juga akan menyoal kamu.
Mereka berkata:
- Siapakah Tuhan kamu?
- Siapakah Nabi kamu?
- Apakah agama kamu?
- Apakah kiblat kamu?
- Siapakah saudara kamu?
- Apakah pegangan iktikad kamu?
- Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?
Di masa itu hendaklah kamu menjawab
soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan
betul. Janganlah berasa gementar, janganlah cuak dan janganlah
bergopoh-gapah. Biarlah tenang dan berhati-hati.
Hendaklah kamu jawab begini:
- Allah Ta’ala Tuhanku.
- Muhammad Nabiku.
- Islam agamaku.
- Baitullah itu kiblatku.
- Semua orang Islam dan orang beriman adalah saudara aku.
- Kitab suci Al-Quran ikutanku, malahan solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku.
- Dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap, “La ila ha illallah Muhammaddur Rasulullah”.
Wahai SAYA Bin IBU SAYA tetapkanlah
hatimu. Inilah dia suatu dugaan yang paling besar. Ingatlah bahawa kamu
sekarang sedang tinggal di alam Barzakh sehingga sampai satu masa kelak.
Kamu akan dibangunkan semula untuk berkumpul di Padang Mahsyar.
Insaflah wahai SAYA Bin IBU SAYA.
Bahawasanya mati ini adalah benar. Soalan malaikat Munkar dan Nankir di
dalam kubur ini adalah benar. Bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan
semula adalah benar. Berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah
benar. Dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar. Minum di
kolam air Nabi adalah benar. Ada Syurga dan Neraka adalah benar.
Bahawasanya Hari Kiamat tetap akan adanya, begitu juga Tuhan yang Maha
Berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur.
Di akhirnya kami ucapkan selamat
berpisah dan selamat tinggal pada kamu di sisi Allah Ta’ala. Semoga
Tuhan akan memberi kesejahteraan kepada kamu. Tuhan jua yang menetapkan
hati kamu. Kami sekalian berdoa mudah-mudahan Allah Ta’ala menjinakkan
hati kamu yang liar dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu yang
berdagang seorang diri di dalam kubur ini. Mudah-mudahan Tuhan akan
memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala
amal kebajikan kamu.
“Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan
bermohon kepada Mu supaya tidak diseksa mayat ini dengan kemegahan
penghulu kami Muhammad SAW. Subhana rabbika rabbil izzati amma ya sifun
wassalum alalmursalin walhamdulillahi rabbil alamin”.
Setiap yang bernafas, pasti akan merasai mati – “Kullu nafsin zaa iqatul maut”.
Firman Allah SWT: “Demi masa,
sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali
orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang ingat-mengingati supaya
mentaati kebenaran, dan yang ingat-mengingati dengan kesabaran.” –
Surah Al-A’sr
Nota: Selepas mati, seorang yang beragama Islam akan disebut namanya dan di’bin’kan kepada nama ibunya, yakni yang melahirkannya.
No comments:
Post a Comment