Monday, January 26, 2015

Hukum Al Quran dalam Handphone, Komputer dan CD

Quran handphone
Dr. Husam Affanah, Prof Fiqh dan Usul Universiti al-Quds, Palestin telah membuat kajian mengenai persoalan di atas.
Merujuk kepada soalan di atas dan kajian yang dibuat oleh Dr Husam, secara ringkasnya adalah seperti berikut:
Tidak syak lagi al-Quran yang kita dengar dari CD merupakan al-Quran yang diturunkan oleh Allah swt. Namun ia tidak mengambil hukum mashaf al-Quran dari sudut tidak boleh disentuh kecuali dalam keadaan berwudhu’ menurut pandangan kebanyakan ahli ilmu. Adalah harus menyentuh CD kerana al-quran yang terdapat di dalamnya tidak disimpan dalam bentuk huruf-huruf al-Quran tetapi ia disimpan dalam bentuk sistem binari. Iaitu satu sistem yang menggunakan kod tertentu dan setiap kod mengandungi 8 digit…. rujuk huraian pakar dalam bidang ini.
Walaupun CD tidak boleh disamakan dengan mashaf al-quran, tetapi aku berpandangan tidak harus merendah-rendahkannya dengan dibuang ke dalam tong sampah, khususnya apabila ditulis pada CD tersebut perkataan yang menyatakan ia adalah CD al-Quran.
Begitu juga dengan al-Quran yang terdapat dalam handphone, ia tidak mengambil hukum mashaf al-Quran yang memerlukan wudhu’ untuk menyentuhnya seperti mazhab kebanyakan ahli ilmu.
Walaubagaimanapun aku berpandangan tidak harus membawa handphone ke dalam tandas dalam keadaan ayat-ayat al-Quran tertera di paparan skrin handphone tersebut kerana ia dikira menghina al-Quran. Namun tidak mengapa membawa masuk handphone tersebut ke dalam tandas dalam keadaan paparan skrin tidak mengandungi ayat-ayat al-Quran (setelah ditutup program al-Quran).
Ini ialah kerana tidak terdapat huruf-huruf al-Quran di dalam handphone tersebut kerana ia disimpan dalam bentuk sistem binari yang menggunakan kod-kod tertentu dan setiap kod mengandungi 8 digit….dan begitulah seterusnya seperti huraian pakar dalam bidang ini. Perkara ini adalah seumpama seorang yang hafaz al-Quran memasuki tandas dalam keadaan al-Quran berada dalam jiwanya.
Lujnah Daimah untuk Kajian Ilmiah dan Fatwa Arab Saudi telah mengeluarkan fatwa seperti yang dinyatakan oleh Dr Umar bin Muhamad as-Sabil rahimahullah: Apabila dirakam al-quran ke atas kaset dengan segala jenisnya seperti tali keset, video dan CD yang digunakan di dalam komputer atau seumpamanya, maka adalah harus bagi seorang yang berhadas kecil atau hadas besar menyentuhnya. Ini ialah kerana kaset dan yang seumpama dengannya tidak dinamakan mashaf (al-Quran) kerana al-Quran tidak boleh dibaca secara terus (direct) daripadanya. Adapun al-Quran yang didengari atau dibaca daripadanya adalah dengan bantuan alat-alat khusus yang lain. Oleh itu kaset-kaset ini tidak terpakai padanya seperti hukum menyentuh mashaf al-quran yang mesti berada dalam keadaan suci. Begitu juga fatwa yang telah dikeluarkan oleh Ahli-Ahli Lujnah Daimah untuk Kajian Ilmiah dan
Fatwa Arab Saudi yang diketuai oleh Syeikh Abdul Aziz bin Baz.
Teks fatwanya ialah; “Tidak mengapa membawa atau menyentuh kaset yang dirakam di dalamnya al-Quran bagi orang yang sedang berjunub dan seumpamanya, sekian Wabillahi at-Taufiq”.
Kesimpulannya, CD yang dimasukkan al-Quran di dalamnya tidak dikira sebagai mashaf al-Quran. Begitu juga dengan handphone yang dimasukkan al-Quran di dalamnya tidak dikira sebagai mashaf al-Quran. Wallahu A’lam. (tamat nukilan dengan adaptasi kajian Dr. Husam Affanah, Prof Fiqh dan Usul Universiti al-Quds, Palestin).
Sebagai kesimpulan, tidak mengapa bagi seseorang yang berada dalam keadaan berhadas samada hadas kecil atau hadas besar menyentuh atau membawa CD, PDA dan handphone yang dimasukkan ke dalamnya program al-Quran. Juga tidak mengapa membawa peralatan-peralatan tersebut ke dalam tandas dengan syarat ayat-ayat al-Quran tidak terpapar pada skrin. Juga tidak mengapa dan tidak dikira menghina al-Quran apabila seseorang itu meletakkan handphone atau PDA di dalam poket seluarnya setelah program al-Quran dimatikan dan tidak tertera ayat-ayat al-Quran pada skrin peralatan tersebut.
Rujukan
1) Islamonline (kajian Prof Dr. Husam Affanah, Prof Fiqh dan Usul Universiti al-Quds, Palestin)
Disediakan oleh:
Ustaz Ahmad Zainal Abidin
Setiausaha Majlis Ulama Ikatan Muslim Malaysia (MUIS)
Memasukkan ayat Al-Quran ( download) dalam handphone adalah harus tetapi
dengan syarat hendaklah menjaga adab-adab sehingga tidak mencemar
kesuciannya seperti membawa masuk ke tandas ketika ayat Al-Quran terpapar
di screen handphone.

No comments: