Tuesday, March 25, 2014

Dato' Bahaman

 
Dato' Bahaman Pahlawan Pahang:

  • Beliau dianugerahi gelaran Orang Kaya Dato' Setia Perkasa Pahlawan Semantan. Anugerah itu diberikan kerana kegagahan dan keberanian yang ditunjukkan oleh beliau dalam perang saudara di Pahang dan Perang Klang di Selangor.
  • Beliau dilantik sebagai pembesar Temerloh setelah kematian Orang Kaya Indera Segara. Sejak awal lagi Dato' Bahaman tidak mengiktiraf pemerintahan British di Pahang.
FAKTOR PENENTANGAN DATO' BAHAMAN
  1. HILANG HAK MENGUTIP CUKAI
Dato' Bahaman menentang tindakan British melantik E.A. Wise sebagai Pegawai Majistret dan Pemungut Hasil di daerah Temerloh. Berikutan itu, beliau dilarang mengutip cukai di daerah kekuasaannya.

     2. PEMBINAAN BALAI POLIS 

Konflik antara Dato' Bahaman dengan British menjadi lebih serius apabila E.A. Wise mendirikan balai polis di Lubuk Tertua tanpa berunding terlebih dahulu Dato' Bahaman menganggap tindakan British itu sebagai menceroboh kawasan serta mengancam kedudukannya.

     3. PERLUCUTAN GELARAN
Keengganan Dato' Bahaman mematuhi arahan menyebabkan Hugh Clifford menganggapnya sebagai penderhaka. British memaksa Sultan Ahmad melucutkan gelaran Dato' Setia Perkasa Pahlawan Semantan. Tindakan British itu telah memalukannya dan beliau bersumpah akan menghalau British keluar dari Pahang.

PADA 16 DISEMBER 1891, British menangkap tiga orang pengikut Dato' Bahaman kerana mengutip hasil hutan tanpa kebenaran. Tindakan British itu menyebabkan Dato' Bahaman dan pengikutnya menyerang Balai Polis Lubuk Terua. Peristiwa ini mencetuskan perang.
PADA 26 DESEMBER 1891, Hugh Clifford mengetuai pasukan yang terdiri daripada 200 anggota tentera untuk menawan semula Lebuk Terua tetapi beliau tewas dalam pertempuran di Kelubi. Clifford berundur dan meminta bantuan dari Singapura.

PADA JANUARI 1892, British memaksa Sultan Wan Ahmad menamatkan kebangkitan rakyat Pahang.  Pasukan Tentera yang dinamakan Gerakan Sultan ditubuhkan. Sultan Wan Ahmad dilantik mengetuai gerakan ini. 'Gerakan Sultan' telah menawan 11 buah kubu  Dato' Bahaman di Bentong.

PADA MAC 1892, Dato' Bahaman menawan semula Lubuk Terua. Perjuangan Dato' Bahaman menjadi lebih hebat kerana mendapat sokongan Tok Gajah dan anaknya, Mat Kilau.

PADA 8 MEI 1892, British sekali lagi menyerang Lubuk Terua. Pejuang Pahang berundur ke Kelantan dan Terengganu. Di terengganu, Ulama Tok Ku Paloh menyemarakkan semangat pejuang Pahang berjihad menentang British.

PADA 14 JUN 1894, Dato' Bahaman dan 100 orang pengikutnya telah menawan Kuala Tembeling dan Jeram Ampai. British bertindak balas menghantar Kolonel Walker untuk menawan semula Jeram Ampai. Dato' Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau berundur ke Kelantan. Peristiwa itu telah menandakan berakhirnya perang menentang British di Pahang.

KESIMPULAN: Walaupun Perjuangan Dato' Bahaman dan pengikutnya gagal, mereka telah memperlihatkan keberanian menentang British. Semangat patriotisme yang ada pada jiwa mereka telah berjaya menggugat kedudukan British di Pahang. Kebangkitan selama empat tahun (1891-1894) telah menyebabkan British menaggung hutang yang banyak. Sultan Ahmad juga dipaksa membayar 7200 dolar setahun bagi menyelesaikan hutang tersebut.




DATO’ BAHAMAN [ORANG KAYA SEMANTAN]
Kaitannya dengan Kerabat Reman

Pada tahun 1892, Dato' Bahaman atau Orang Kaya Semantan, menyerang dan menawan semula Lubuk Terua (satu tempat yang termasuk di dalam wilayahnya) dari kekuasaan Inggeris.

Meletusnya penentangan Dato' Bahaman secara aktif terhadap Inggeris adalah akibat dari tindakan gegabah C. E. B. Desborough (Pemangku Pemungut Hasil Semantan) menangkap tiga orang pengikut Dato' Bahaman dengan tuduhan mengumpulkan hasil hutan tanpa izin. Penangkapan itu dilakukan ketika Desborough dan Townson (Merinyu Lombong) mengiringi satu pasukan Polis untuk memperkuatkan balai Polis di Lubuk Terua, dan membawa ketiga-tiga tawanan itu untuk diadili di Lubuk Terua juga. Menyedari tentang hal itu, Dato' Bahaman yang memang menentang keras pembinaan balai Polis di kawasannya itu dan percaya bahawa pasukan itu datang untuk menangkap beliau, telah menyerang pasukan Desborough itu, membunuh tiga orang, melukakan beberapa orang yang lain Ialu, membebaskan orang-orangnya. Selepas itu Dato' Bahaman dan pengikut-pengikutnya menawan Balai Polis Lubuk Terua dan memusnahkan gudang-gudang bekalan makanan dan barangan kepunyaan Syarikat Lombong bijih Bentong dan Raub.

Sebelumnya, Dato' Bahaman memang memusuhi Inggeris kerana menyekat dan menuduh beliau (dalam tahun 1889) memungut cukai secara haram dan memberi amaran, . bahawa penerusan memungut cukai secara tradisi adalah terlarang,sedangkan itu adalah hak tradisi beliau sebagai pembesar di daerahnya. Inggeris juga menuduh beliau (pada tahun 1890) menulis surat kepada Residen Selangor, W. E. Maxwell meminta supaya Semantan dipersatukan dengan Selangor. Walaupun beliau menyangkal tuduhan itu Sultan telah memerintahkan Orang Kaya itu mengadap baginda di Pekan. Orang Kaya itu enggan Ialu menghilangkan diri di dalam hutan di tengah-tengah masyarakat orang-orang asli yang memang bersahabat baik dengan beliau, tetapi keluar apabila mengetahui orang-orangnya ditangkap oleh pasukan Desborough, menyerang pasukan itu dan membebaskan orang-orangnya.

Berikutan daripada itu pada 24hb Disember, 1891, Tengku Mahmud (Tengku Besar) bersama-sama dengan 200 orang pengikutnya, dan Hugh Clifford bersama-sama dengan 60 orang Sikh di bawah pimpinan Kapten Summer telah mengaturkan gerakan untuk menyerang dan menangkap Dato' Bahaman dan orang-orangnya. Bagaimanapun gerakan ini menemui kegagalan setibanya di Kelubi kerana keengganan pasukan Melayu bekerjasama dengan pasukan polis Sikh.

Berpunca dari kegagalan itu "Gerakan Sultan" dilancarkan pada 22hb .Januari, 1892 dengan kekuatan 800 orang (140 daripadanya mempunyai senjatapi) yang dipimpin oleh Tengku Ali, Rodger (Residen Pahang), Panglima Garang Yusof, Saiyid Ali Badoh dan Abdullah dari Bera. Gerakan ini juga menemui kegagalan kerana selain daripada hanya dapat memusnahkan 11 buah kubu kecil termasuk Kubu Batu Ampar, jejak Dato' Bahaman tidak dapat dikesan dan tidak ada tanda-tanda yang memungkinkan Orang Kaya Semantan itu dan pengikut-pengikutnya yang terdekat akan tertangkap. Pada awal bulan Februari, 1892, keadaan tegang dianggap telah berakhir. Tidak terdapat sebarang aktiviti pihak Dato' Bahaman di sepanjang bulan Februari itu. Untuk sementara daerah Semantan diletakkan di bawah jagaan Abdullah Bera. Tiba-tiba, pada suatu hari dalam tahun 1892 Dato' Bahaman menyerang lagi dan berjaya menawan semula Lubuk Terua. Dalam serangan itu Abdullah Bera balik ke Bera dan Kubu Lubuk Terua dikawal oleh orang-orang dari Cempaka dan Buluh. Ternyata mereka bersimpati dengan gerakan penentangan Dato' Bahaman terhadap Inggeris.

Bagaimanapun, kejayaan Dato' Bahaman itu hanya sementara kerana tidak lama kemudian pihak Inggeris mengambil tindakan balas dengan menghantar satu pasukan seramai 300 orang yang diketuai oleh Tengku Ali, Clifford dan Wise (Majistret di Temerloh). Dato' Bahaman dan pengikut-pengikutnya terpaksa mengundurkan diri sebagai satu strategi untuk melanjutkan penentangannya. Penentangan beliau itu ternyata telah merebak ke seluruh Pahang dengan melibatkan banyak lagi tokoh yang seperjuangan dengan beliau seperti Mat Kilau, Panglima Muda Jempul, Tok Gajah, Tok Jelai, Mat Kelubi dan lain-lain.

Dato’ Bahaman berundur sehingga ke Kelantan dan menemui salah seorang sahabatnya Tengku Ahmad ibni Tengku Long Seri ibni Long Gaffar [putera Raja Reman, Patani dan Raja Kelantan berpusat pemerintahannya di Limbat]. Beliau tinggal beberapa ketika di rumah Tengku Ahmad di Kangkong, Pasir Mas. Beliau kemudiannya ke Patani dan meninggal di sana. Tengku Ahmad punya ramai ahli keluarga di Patani.

Long Mansor [Tengku Selia II] ibni Long Seri (1851-1890) Pusat pemerintahannya ialah di Machang. Tahun 1890 adalah merupakan tahun berakhirnya pemerintahan baginda kerana pada tahun itu baginda telah dihantar ke Siam bersama adindanya Tengku Ahmad ibni Long Seri [penguasa dan hakim di daerah sekitar Kangkong sehingga ke Pasir Mas pada zaman itu] sebagai ganti kepada Datuk Bahaman [Dato' Kaya Semantan, Pahang] juga merupakan sahabat baik kepada Tengku Ahmad.


Peristiwa ini berlaku kerana penguasa Inggeris di Pahang tidak berjaya menangkap Dato’ Bahaman, atas dasar setiakawan; Tengku Ahmad sanggup mengganti tempatnya dan dibawa ke Bangkok. Pada masa itu Kelantan dibawah kuasa kerajaan Siam. Kerajaan Siam sangat berminat kepada kerabat Raja Reman. Tengku Ahamad adalah salah seorang darinya. Pengaruh keturunan Reman perlu di hapuskan.

Allahyarhamah Tengku Mariam 

Menurut cerita anakndanya Tengku Mariam [ketika itu masih kanak-kanak], sebelum berangkat ke Siam, ayahanda saudaranya Long Mansor [Tengku Selia II] memberi tahu kepada keluarganya bahawa baginda tidak akan kembali lagi ke Kelantan tetapi ayahandanya [Tengku Ahmad] sebaliknya, beliau mengatakan akan balik dan menghabiskan sisa hidupnya di tempat kelahirannya. Dengan izin Allah kata-kata mereka itu menjadi kenyataan.

Long Mansor [Tengku Selia II] dipercayai mangkat dibunuh 3 tahun kemudian semasa di dalam tahanan Siam. Maka berakhirlah kerabat Reman memerintah di Machang. Peristiwa sama juga berlaku di Reman sendiri, Raja terakhir,  Tuan Lebeh juga dikenali dengan Luang Raya Prakdi (1899-1902) menerima nasib yang sama.  Adinda Long Mansor, Tengku Ahmad berjaya pulang ke Kelantan dan tinggal di kampung Kangkong, Pasir Mas hingga ke akhir hayatnya. Beliau juga dikenali dengan panggilan Ku Binjai kerana pernah tinggal di kampung Binjai bersebelahan kampung Kangkong.Tengku Ahmad dan isterinya Tengku To’ [dari keturunan Long Yunus] mempunyai beberapa orang anak iaitu Tengku Besar, Tengku Mariam, Tengku Kelthum dan Tengku Ibrahim. Tengku Mariam [meninggal 1970, dalam usia melebihi 85 tahun] telah menceritakan yang beliau masih ingat lagi, Dato' Bahaman pernah datang dan tinggal dirumahnya.


Almarhum Tuan Lebeh

Dato' Bahaman memiliki ilmu batin yang tinggi dan seorang pendekar yang handal. Hanya ayahandanya [Tengku Ahmad] sahaja yang mampu bermain senjata dengannya pada ketika itu. Tengku Mariam berkahwin dengan sepupunya bernama Tengku Zainal [meninggal 1959] dan mempunyai tiga orang anak Tengku Muhamad Amin [meninggal 01.07.1996], Tengku Hamid [meninggal 27.10.1995] dan Tengku Aminah [meninggal 27.01.2005]. Sehingga ke hari ini hanya beberapa keluarga sahaja dari keturunan Tengku Mariam yang masih tinggal di kampung ini, kebanyakan yang lainnya tinggal di Kota Bharu, Pasir Mas, Kuala Lumpur, Terengganu, Pahang, Selangor dan di negeri-negeri lain.
Keturunan Reman terakhir berkuasa di Kelantan ialah Engku Besar Jeram, Tengku Besar Tuan Ahmad ibni Tengku Chik Pandak ibni Engku Long Demor ibni Engku Long Seri [Tengku Seri Maharaja Jeram] ibni Long Gaffar [Raja Muda Reman] yang memerintah Jeram, Pasir Puteh pada zaman itu. Pemerintahan baginda berakhir ketika kebangkitan Tok Janggut menentang penjajah Inggeris.
Nama sebenar Tok Janggut ialah Haji Mat Hassan bin Panglima Munas. Lahir pada tahun 1850 di Kampung Saring dalam jajahan Jeram. Beliau dibesarkan di istana Tengku Seri Maharaja Jeram kerana ayahnya ialah panglima kepada Tengku Long Seri. Pernah belajar agama di mekah dengan ulama terkenal  berketurunan Melayu iaitu Sheikh Ahmad al-Fatani, murid kepada Sheikh Daud Abdullah al-Fatani. Sheikh Daud pernah turun berperang ketika Siam menyerang Kedah dan Patani.  Ketika Patani jatuh ke tangan siam (1902), Haji Mat Hassan berada di Mekah.
Saya hanya ingin menceritakan kaitan kerabat Reman terakhir yang berkuasa di Kelantan bukannya kisah Tok Janggut. Setelah kekalahan Tok Janggut yang disokong kuat oleh Tengku Besar Tuan Ahmad maka berakhirlah pemerintahan keturunan kerabat Reman di Kelantan. Tengku Besar Tuan Ahmad telah berhijrah ke Reman dan mangkat di sana.

Almarhum Tengku Abdul Kadir

Perlu disebut di sini bahawa Raja Melayu terakhir di negeri Patani ialah Tengku Abdul Kadir ibni  Tengku Sulaiman Syarifalludin  (Phraya Patani V)  . Baginda juga menerima nasib yang sama; ditahan oleh kerajaan Siam, baginda akhirnya berhijrah ke Kelantan dan mangkat di Kota Bharu pada tahun 1933. 
Di antara putera dan puteri baginda adalah seperti berikut:
Tengku Ahmad Zainal Abidin (Tengku Sri Akar Raja,  Kelantan)
Tengku Besar Zubaidah berkahwin dengan Tengku Ismail
Tengku Yusuf Shamsaladdin
Tengku Todzah, berkahwin dengan Raja Haji Ahmad Perak 

Tengku Kamariah  
Tengku Mahmud Mahyiddin [berpangkat mejar dalam pasukan Force 136 peperangan dunia II],
berkahwin dengan Tengku Zainab ibni Sultan Muhammad IV Kelantan.
Almarhum Mejar Tengku Mahmud Mahyiddin

Maka berakhirlah pemerintahan raja-raja Melayu di negeri-negeri Patani Besar. Kerajaan Siam telah berkuasa sepenuhnya di Selatan Thai.

No comments: