Monday, December 21, 2015

Malaikat menolong dalam Perang Badar

Assalamualaikum
Janji Allah swt sentiasa benar. Melalui ayat 9 sehingga 10 surah Al-Anfaal, Allah swt telah menjanjikan bantuan para Malaikat untuk kaum muslimin semasa Perang Badar. Ia ternyata benar apabila beberapa hadis menyatakan terdapat para sahabat membicarakan perihal ini dengan terperinci. Antara para sahabat yang pernah membicarakannya adalah Ibnu Abbas ra, Umar al-Khattab ra, Ali bin Abi Talib ra dan Rifa’ah bin Rafi’ az Zuraqi ra.
Bagaimana Malaikat menolong tentera Perang Badar?
Para tentera Allah iaitu para Malaikat menolong para tentera muslimin dengan bantuan 1000 malaikat yang berturut-turut. Jumlahnya telah mampu mengerunkan tentera musyrikin yang pada awalnya beranggapan mereka mampu menewaskan tentera muslimin dengan mudah.
Daripada 1000 Malaikat tersebut, mereka berpecah kepada dua menjadikan masing-masing adalah 500 malaikat. Setiap pecahan tersebut diketuai oleh malaikat Jibrail as dan malaikat Mikail as. Malaikat Jibrail as mengetuai bahagian kanan manakala malaikat Mikail as mengetuai bahagian kiri. Ia bersesuaian dengan riwayat daripada Ibnu Abbas ra.
Ali bin Abi Thalhah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas ra bahawa beliau berkata,
“Allah swt menolong Nabi dan orang-orang yang beriman dengan seribu Malaikat, dan Jibrail as termasuk di dalam golongan kelompok lima ratus pertama yang menyerbu musuh daripada sebelah kanan mereka, manakala Mikail as termasuk di dalam lima ratus kedua yang menyerang dari arah kiri mereka.”
Jibrail as juga diriwayatkan menunggang kudanya iaitu Haizum semasa Perang Badar. Malaikat Jibrail as langsung tidak memberi muka kepada tentera kafir musyrikin sehinggakan terdapat tentera musyrikin diriwayatkan terbelah wajah mereka akibat pukulan cambuk.
Imam Abu Jaafar ath-Tabari dan Imam Muslim telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas dari Umar al-Khattab. Dalam riwayat tersebut disebutkan,
“Tatkala seorang bersungguh-sungguh melawan orang musyrik yang ada di hadapannya, tiba-tiba dia mendengar suara lecutan cambuk di atasnya dan suara penunggang kuda yang berkata, “Majulah Haizum(nama kuda Jibrail as). Tiba-tiba ia melihat si musyrik telah mati terkapar di hadapannya. Kemudian ia melihatnya dari dekat, ternyata hidungnya telah terpukul dan wajahnya terbelah seperti pukulan cambuk. Mukanya menjadi lebam(akibat pukulan cambuk). Lalu orang Ansar tadi mendatangi Rasulullah saw dan menceritakan kepada  beliau. Rasulullah saw bersabda. “Engkau benar, itu adalah bantuan daripada langit ketiga.” Pada kejadian tersebut, yang terbunu dari orang-orang musyrik sebanyak tujuh puluh orang dan yang ditawan sebanyak tujuh puluh orang”

Tanda pengenalan Tentera Allah
Dalam satu ayat yang lain dalam surah Ali Imran ayat 123 sehingga 124, Allah berfirman,
123. (Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): “Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?,” 124. Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertaqwa, dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing.
Turunnya para Malaikat untuk bergabung dengan tentera muslimin telah memakai beberapa tanda pengenalan. Bala tentera bantuan Allah swt ini adalah kekuatan sebenar tentera mukmin semasa Perang Badar. Para Malaikat menunjukkan semangat juang yang bergitu tinggi.
Ia diperakui sendiri oleh Malaikat Jibrail as sewaktu datang menanyakan Rasulullah perihal pendapat peribadi Rasulullah berkenaan umatnya yang berperang di Badar. Rasulullah saw lantas menjawab, “Mereka adalah dikalangan yang terbaik”. Jibrail terus menjawab bagi pihaknya, “Bergitu juga yang ikut berperang bagi pihak Malaikat”.
Dalam kekacauan perang tersebut, ramai juga sahabat menyedari kehadiran tentera misteri yang mana mereka langsung tidak mengenalinya sebelum ini. Akibat sibuk membasmi musuh yang menerkam, mereka terpaksa mendiam diri sehingga perang tamat.
Sebaik perang tamat dan mereka telah pun berada di Madinah, timbul beberapa cerita misteri sehingga diriwayatkan dalam beberapa hadis Shahih.
Antaranya adalah sahabat besar Rasulullah saw dan sepupu baginda, Ali bin Abi Talib ra. Abu Ishaq as-Suddi meriwayatkan dari Haritsah bin Mudhrib, Ali bin Abi Talib ra berkata,“Tanda mereka pada perang Badar adalah bulu putih. Juga ada tanda pada ubun-ubun kuda mereka.”
Mak-hul mengatakan, “Bertanda imamah(berserban yang dililitkan di kepala). Tanda para Malaikat pada Perang Badar adalah serban berwarna hitam manakala pada Perang Hunain adalah serban berwarna merah”
Ibnu Abi Hatim meriwayatkan dari Yahya bin Abbad bahawa Zubair ra pada Perag Badar mengenakan serban kuning dengan melipatnya, lalu turunlah para Malaikat, juga menggunakan serban kuning.
 Dengan saiz kekuatan musuh yang bergitu, amat wajar Rasulullah saw berasa risau kemungkinan kekalahan tentera Islam semasa Perang Badar. Disebabkan itu, Rasulullah saw kelihatan sugul dan bimbang. Namun, Allah swt sudah merancanakan semuanya. Dengan kekuasaan-Nya, diturunkan para gerombolan Malaikat memberi bantuan kudrat kepada Rasulullah saw dan tentera muslimin.

No comments: