Allah SWT telah menurunkan al-Quran
sebagai satu mukjizat terbesar yang membuktikan kerasulan Nabi Muhammad SAW dan
kewujudan Allah SWT dengan segala sifat-sifat kesempurnaannya. Membaca al-Quran
serta menghayati dan mengamalkannya adalah satu ibadat sunnah.
Maka peristiwa Nuzul al-Quran
memberi makna terlalu besar kepada umat Islam dan kehidupan Nabi SAW khasnya.
Ayat al-Quran diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. melalui
perantaraan Malaikat Jibril secara berperingkat-peringkat hingga menjadi
lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini.
Al-Quran dinukilkan kepada kita
secara mutawatir, pasti dan qat’i serta ditulis mashaf yang hari ini lebih
dikenali sebagai mashaf ‘Uthmani. Adalah wajar bagi umat Islam mengkaji sejarah
al-Quran dan perkara yang berkaitan dengannya.
NUZUL AL QURAN ( 24 RAMADHAN )
Peristiwa agung dan istimewa dalam
sejarah umat ialah malam diturunkan al-Quran (Nuzul al-Quran) yang berlaku pada
24 Ramadhan. Ia juga disebut Allah sebagai malam yang diberkati (lailatin
mubarakah).
Firman Allah SWT.:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan
Al-Quran itu pada malam yang berkat.” (Surah al-Dukhan ayat 3).
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.” (Surah al-Qadr, ayat 1).
“Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.” (Surah al-Qadr, ayat 1).
“Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)
‘Malam yang berkat’ yang dinyatakan
Allah SWT dalam surah al-Dukhan itu adalah malam yang penuh dengan kebaikan dan
rahmat, yang lebih besar keutamaannya dari amalan seribu bulan. Maka Allah SWT
telah memilih tarikh turun kalam-Nya buat pemimpin umat sejagat Nabi Muhammad
SAW yang penuh dengan kemuliaan itu untuk berlaku pada hari yang mulia iaitu
malam al-Qadr itu sendiri.
Ketiga2 ayat ini menunjukkan
penurunan berlaku pada bulan Ramadhan dan secara khususnya ia diturunkan pada
malam al-Qadr yang merupakan suatu anugerah Allah buat mereka yang menghidupkan
malam-malam pada bulan Ramadhan.
MAKNA NUZUL AL QURAN
Nuzul al-Quran bererti penurunan
al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. Perkataan Nuzul dalam
pelbagai wajah sama Ada kata nama, kata perbuatan atau lainnya digunakan dalam
al-Quran sebanyak lebih kurang 290 kali. Sebagai contoh, “Dia yang
telah…..menurunkan hujan.” (al-Baqarah:22), dan “Dialah….yang menurunkan Taurat
Dan Injil.” (Ali Imran:3).
‘Nuzul’ bererti turun atau
berpindah, iaitu berpindah dari atas ke bawah atau turun dari tempat yang
tinggi. ‘Al-Quran’ pula bermaksud bacaan atau himpunan, kerana al-Quran itu
untuk dibaca oleh manusia dan di dalamnya terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan
pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat,
munakahat, sains, teknologi dan sebagainya.
Kelebihan al-Quran tidak ada satu
perkara pun yang terlepas atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain
perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:
وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ
وَلَا طَائِرٍ يَطِيرُ بِجَنَاحَيْهِ إِلَّا أُمَمٌ أَمْثَالُكُم ۚ مَّا
فَرَّطْنَا فِي الْكِتَابِ مِن شَيْءٍ ۚ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِمْ يُحْشَرُونَ ﴿٣٨﴾
Dan tidak seekor pun binatang yang
melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya,
melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di
dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada
Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)
Al-Quran adalah hidayah, rahmat,
syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan
al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang
menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil
dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
TARIKH SEBENAR NUZUL AL-QURAN
Secara tradisinya umat Islam di
Malaysia memperingati dan menyambut peristiwa Nuzul Al-Quran pada 17 Ramadhan,
yang sepatutnya dibuat sambutan pada setiap 24 Ramadhan.
Peristiwa Nuzul Al-Quran yang
dikatakan berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada
keputeraan Nabi Muhammad SAW., bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M, ketika
baginda sedang beribadat di Gua Hira. Namun sesungguhnya pendapat yang lebih
tepat tentang turunnya al-Quran ialah pada malam Isnin, tanggal 24 Ramadhan bersamaan
13 Ogos 610 M.
Pendapat yang mengatakan berlakunya
pada 17 Ramdhan adalah berdasarkan ayat ke 41 dari Surah Al-Anfaal. Surah ini
hanyalah difokuskan kepada perisytiwa perang Badar bukannya al-Quran. Firman
Allah dalam ayat ke 41 surah al-Anfal itu:
إِن كُنتُمْ آمَنتُم بِاللَّـهِ وَمَا
أَنزَلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا يَوْمَ الْفُرْقَانِ يَوْمَ الْتَقَى الْجَمْعَانِ ۗ
وَاللَّـهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿٤١﴾
“…jika kamu beriman kepada Allah dan
apa-apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Nabi Muhammad SAW) pada hari
Furqan, iaitu di hari bertemunya dua pasukan (diperang Badar, antara muslimin
dan kafirin)…” (8 : 41)
Ayat tersebut tidak ada
sangkut-pautnya dengan Nuzul Al-Quran.
Menurut riwayat dari Ibn Abbas, ayat
tersebut hanya penjelasan tentang hukum pembahagian harta rampasan perang
seperti yang terdapat pada awal ayat tersebut.
“ Ketahuilah sesungguhnya apa saja
yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima
untuk Allah, RasulNya, kerabat-kerabat (Rasul), anak-anak yatim, orang-orang
miskin dan ibnussabil (orang yang sedang dalam perjalanan)…”.
Justeru tarikh yang lebih tepat
tentang Nuzul al-Quran adalah pada 24 Ramadhan kerana ia berdasarkan ayat 1
Surah Al-Qadr dan ayat 1-4 Surah Ad-Dukhan yang telah dihuraikan di atas.
PERINGKAT PENURUNAN AL-QURAN
Para ulama menyatakan penurunan
al-Quran berlaku dalam dua bentuk iaitu secara sekaligus, Dan berperingkat.
Walau bagaimanapun mereka berselisih pendapat tentang berapa kali berlakunya
penurunan al-Quran secara sekaligus. Terdapat tiga pandangan mengenai hal ini,
iaitu;
Pertama, Penurunan al-Quran dari
Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz;
Kedua, Dari al-Lauh al-Mahfuz ke
Bait al-‘Izzah di langit dunia; dan
Ketiga, Penurunan kepada Jibril a.s.
dalam tempoh 20 malam.
Al-Suyuti dalam kitabnya ‘al-Itqan
if Ulum al-Quran’ berdasarkan tiga riwayat oleh Ibn ‘Abbas, Hakim Dan
al-Nasa’i, hanya membahagikan kepada dua peringkat sahaja iaitu dari al-Lauh
Mahfuz ke Bait al-‘Izzah Dan dari Bait al-‘Izzah kepada Rasulullah SAW melalui
Jibril a.s.
1. Dari Allah SWT ke al-Lauh
al-Mahfuz.
Penurunan ini berlaku sekaligus
dengan tujuan untuk membuktikan ketinggian Dan kekuasaan Allah SWT. Para
Malaikat menyaksikan bahawa segala perkara yang ditentukan oleh Allah SWT di
Luh Mahfuz ini benar-benar berlaku. Pendapat ini disandarkan kepada ayat 21 dan
22 surah al-Buruj yang berbunyi,
بَلْ هُوَ قُرْآنٌ مجيد فِي لَوْحٍ
مَحْفُوظ .
“(Sebenarnya apa yang engkau
sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang
tertinggi kemuliaannya; (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Luh
Mahfuz.” (al-Buruj:21-22)
2. Dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait
al-‘Izzah di langit dunia
Penurunan kali kedua secara sekali
Gus dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-’Izzah di langit dunia dipercayai berlaku
berpandukan kepada tiga (3) ayat al-Quran sebagaimana yang diriwayatkan oleh
Ibn ‘Abbas;
Allah SWT berfirman, dalam
al-Baqarah, ayat 185:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ
فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ
شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ
فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ
بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا
هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa
itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk
bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan
petunjuk Dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh
itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau
mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit
atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak
Hari yang ditinggalkan itu pada hari-Hari yang lain. (Dengan ketetapan yang
demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak
menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan
puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat
petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.”
Firman Allah SWT, dalam ad-Dukhan,
ayat 3:
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ
مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan
Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana
sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba
Kami ditimpa azab).”
Firman Allah SWT dalam al-Qadr, ayat
1:
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ
الْقَدْرِ
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan
(Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.”
Ibn ‘Abbas juga menyatakan mengikut
apa yang diriwayatkan oleh Said b. Jubayr: “Al-Quran diturunkan sekali gus pada
malam yang penuh berkat.” Ikrimah pula meriwayatkan ‘Abdullah bin ‘Abbas
berkata: “Al-Quran diasingkan daripada al-Dhikr ‘الذكر’ dan ditempatkan di Bait
al-‘Izzah di langit dunia.
Ibn Marduwayh dan al-Baihaqi
mencatatkan perbualan antara ‘Atiyyah bin al-Aswad dan ‘Abdullah bin ‘Abbas
yang mana ‘Atiyyah agak keliru mengenai penurunan ayat-ayat ini, “Pada bulan
Ramadhan al-Quran diturunkan”, dan “Sesungguhnya Kami telah menurunkan
(Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar”, ia juga diturunkan pada bulan
Syawwal, Dhu al-Qaedah, Dhu al-Hijjah, al-Muharram, Safar dan Rabi’ al-Awwal.”
Kemudian Ibn ‘Abbas menjelaskan: “Al-Quran diturunkan pada malam Lailatul-Qadar
sekali gus kemudiannya untuk diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w. secara
beransur-ansur selama beberapa bulan dan hari.”
3. Dari Bait al-’Izzah kepada
Rasulullah SAW
Menurut sebuah riwayat oleh Ibn
Abbas dan pandangan majoriti para mufassirin, Al-Quran diturunkan sekaligus ke
‘Baitul Izzah’di langit ke dunia pada malam ‘Lailatul Qadar’. Sedangkan
Al-Quran yang diturunkan ke bumi dan diterima Rasullullah sebagai wahyu terjadi
secara beransur-ansur selama sekitar 23 tahun.
Al-Quran mula diturunkan kepada
Rasulullah SAW secara beransur-ansur sejak baginda dilantik menjadi Rasulullah
SAW dan selesai apabila baginda hampir wafat, iaitu dalam tempoh masa 22 tahun
2 bulan 22 hari atau 23 tahun, 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah
al-Munawwarah. Ayat-ayat dan surah-surah yang diturunkan sebelum peristiwa
hijrah dikenali sebagai Makkiyah dan yang diturunkan selepas peristiwa hijrah
dikenali sebagai Madaniyyah .
Mengikut pendapat ini, Jibril a.s.
diberi Malam Lailatul-Qadar setiap tahun, dari mula turun wahyu hingga ke
akhirnya sepanjang tempoh kenabian, sebahagian daripada al-Quran disimpan di
Bait al-‘Izzah yang mencukupi baginya untuk disampaikan kepada Rasulullah SAW
dalam masa 20 tahun. Pandangan ini dipegang kuat oleh al-Mawardi.
RasululLah SAW bersabda: “Al-Quran
diturunkan sekali gus oleh Allah ke langit dunia pada malam al-Qadr kemudian ia
diturunkan secara berperingkat dalam masa 20 tahun” (Hadis riwayat Ibn Abbas.)
Sebahagian ulama berpendapat
penurunan al-Quran hanya sekali sahaja iaitu daripada Allah SWT terus kepada
Rasulullah SAW melalui Jibril secara berperingkat dan bukannya tiga kali dari
Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz, ke Bait al-‘Izzah dan kepada Rasulullah SAW.
AYAT PERTAMA DAN TERAKHIR
Ayat al-Quran yang mula-mula
diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril
ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.
”Bacalah (wahai Muhammad) dengan
nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari
sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar
manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak
diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)
Dan peristiwa ini terjadi ketika
Rasulullah SAW sedang bertahannus (menyendiri) di Gua Hira. Sedangkan ayat
Al-Quran yang terakhir sekali diturunkan adalah ayat-ayat riba iaitu ayat 278
sehingga 281 dari surah Al-Baqarah.
CARA-CARA AL-QURAN DIWAHYUKAN
Isteri Rasulullah SAW, Saidatina
Aishah, meriwayatkan sebelum Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul, beliau
bermimpi perkara yang benar lalu beliau menyendiri di gua Hira’ beribadah
kepada Allah SWT untuk selama beberapa tahun. Di gua berkenaanlah baginda
menerima wahyu yang pertama.
Harith bin Hisham, seorang sahabat
Rasulullah SAW, pernah bertanya kepada Baginda bagaimana Wahyu diturunkan
kepadanya. Rasulullah menjawab, ”Kadang-kadang wahyu datang kepada-Ku dengan
gema (desingan) loceng Dan ini amat berat bagi-Ku, Dan sementara bunyi itu
hilang aku mengingati apa yang disampaikan kepada-Ku. Kadang Ia datang dalam
bentuk jelmaan malaikat kepada-Ku merupai lelaki, bercakap dengan-Ku Dan aku
menerima apa saja yang disampaikannya kepada-Ku.”
Nabi Muhammad SAW mengalami
bermacam-macam cara dan keadaan semasa menerima wahyu. Antara cara-cara
Al-Quran diwahyukan adalah:
1. Menerusi mimpi yang benar
(al-Rukya al-Sadiqah) Malaikat memasukkan wahyu itu ke dalam hatinya. Dalam hal
ini, Nabi SAW tidak melihat sesuatu apa pun, hanya beliau merasa bahawa itu
sudah berada di dalam kalbunya. Sebagai contohnya Nabi pernah bersabda
mengatakan: “Ruhul Quddus mewahyukan ke dalam kalbuku bahawa seseorang itu
takkan mati sehingga dia menyempurnakan rezekinya yang telah ditetapkan oleh
Allah“. ( As-Syura: 51)
2. Malaikat menampakkan dirinya
kepada Nabi SAW menyerupai seorang lelaki yang mengucapkan kata-kata kepadanya
sehingga beliau mengetahui dan hafal benar mengenai kata-kata itu.
3. Wahyu datang kepadanya seperti
gemercingnya loceng. Cara inilah yang amat berat dirasakan Nabi SAW. Kadang-kadang
pada keningnya terdapat peluh, meskipun turunnya wahyu itu di musim yang sangat
dingin. Ada ketikanya, unta beliau terpaksa berhenti dan duduk kerana merasa
amat berat.
Diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit: ”
Aku adalah penulis wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah. Aku lihat
Rasulullah ketika turunnya wahyu itu seakan-akan diserang demam yang kuat dan
peluhnya bercucuran seperti permata. Kemudian setelah selesai turunnya wahyu,
barulah beliau kembali seperti biasa”.
4. Malaikat menampakkan dirinya
kepada Nabi SAW. dalam rupanya yang benar-benar asli sebagaimana yang terdapat
di dalam surah An- Najm ayat 13 & 14 : “Sesungguhnya Muhammad telah
melihatnya pada kali yang lain (kedua). Ketika (ia berada) di Sidratulmuntaha”
5. Malaikat mewahyukan kepada Nabi
SAW dari atas langit seperti yang berlaku dalam peristiwa al-Isra` wal Mikraj .
Sesetengah ulamak berpendapat baginda SAW juga pernah berbicara secara langsung
dengan Allah dan menerima wahyu seperti yang berlaku pada Nabi Musa.Perkara ini
merupakan suatu khilaf di kalangan para ulamak.
TUJUAN AL-QURAN DITURUNKAN
BERPERINGKAT
Tujuan Allah menurunkan secara
beransur-ansur adalah bagi memenuhi objektif-objektif berikut :
Agar lebih mudah difahami dan
dilaksanakan. Orang akan enggan melaksanakan suruhan dan larangan sekiranya
suruhan dan larangan itu diturunkan sekaligus dalam kadar yang banyak. Hal ini
disebut oleh Bukhari dari riwayat ‘Aisyah r.a.
Di antara ayat-ayat itu ada yang
nasikh dan ada yang mansukh, sesuai dengan kamaslahatan. Ini tidak dapat dilakukan
sekiranya Al Quran diturunkan sekaligus. (Ini menurut pendapat yang mengatakan
adanya nasikh dan mansukh)
Turunnya sesuatu ayat sesuai dengan
peristiwa-peristiwa yang terjadi akan lebih berkesan dan lebih berpengaruh di
hati.
Memudahkan penghafalan. Orang-orang
musyrik yang telah menanyakan mengapa Al Quran tidak diturunkan sekaligus,
sebagaimana disebut dalam Al Quran surah Al Furqaan ayat 32:
“……mengapakah Al Quran tidak
diturunkan kepadanya sekaligus….?”
Kemudian dijawab di dalam ayat itu
sendiri:
“….Demikianlah, dengan (cara) begitu
Kami hendak menetapkan hatimu..”.
FUNGSI AL-QURAN
Al-Quran mempunyai beberapa fungsi
penting, diantaranya ialah:
1. Sebagai Mukjizat Nabi Muhammad
SAW.
Al-Quran merupakan bukti kenabian
dan kerasulan Nabi Muhammad SAW, sekaligus ianya menjadi bukti bahawa Al-Quran
merupakan firman Allah SWT, bukannya ucapan atau ciptaan Nabi Muhammad SAW
sendiri. Rasullulah SAW telah menjadikan Al-Quran sebagai senjata bagi
menentang orang-orang kafir Quraisy. Didapati bahawa mereka sememangnya tidak
mampu menghadapinya, padahal mereka mempunyai kemahiran menggubah bahasa-bahasa
yang indah dalam ucapan dan sajak-sajak mereka. Al-Quran secara prisipnya telah
mengemukakan cabaran kepada bangsa Arab menerusi tiga peringkat iaitu :
Peringkat pertama.
Mencabar mereka dengan keseluruhan
Al-Quran dalam uslub umum yang meliputi orang Arab sendiri dan orang lain,
manusia malah jin, dengan cabaran yang mengalahkan dan menjatuhkan mereka
secara padu sebagaimana firmanNya.
“Katakanlah: Sesungguhnya jika
manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Quran ini, niscaya mereka
tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun sebahagian mereka
menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain.” (17 : 88)
Peringkat kedua.
Mencabar dengan sepuluh surah sahaja
daripada Al-Quran. Sebagaimana firmanNya:
“Bahkan mereka mengatakan “Muhammad
telah membuat-buat Al-Quran.” Katakanlah: Jika demikian, maka datangkanlah
sepuluh surah yang dibuat-buat yang menyamainya, dan panggillah orang-orang
yang kamu sanggup (memanggilnya) selain Allah, jika kamu memang orang-orang
yang benar. Jika mereka (yang kamu seru itu) tidak menerima seruanmu,
ketahuilah, sesungguhnya Al-Quran itu diturunkan dengan ilmu Allah” (11 :
13-14)
Peringkat ketiga.
Mencabar mereka hanya dengan satu
surah daripada Al-Quran sahaja. Sebagaimana firmanNya:
“Atau (patutkah) mereka mengatakan:
Muhammad membuat-buatnya (Al-Quran). (Kalau benar yang kamu katakan itu),
cubalah datangkan satu surat seumpamanya” (10 : 38)
Dan cabaran ini diulangi di dalam
firmanNya:
“Dan jika kamu tetap dalam keadaan
ragu tentang Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad saw), maka
buatlah satu surat saja yang semisal Al-Quran itu…” (2 : 23 )
.
2. Sebagai Sumber Hukum Dan Aturan Hidup.
.
2. Sebagai Sumber Hukum Dan Aturan Hidup.
Ayat-ayat Al-Quran mengandungi
peraturan tentang hukum-hukum siyasah negara, sosial, pendidikan, pengadilan,
akhlak dan sebagainya. Semua aturan dan hukum ini wajib dijadikan sebagai
pandangan hidup bagi seluruh kaum muslimin dan umat manusia untuk mengatasi
semua permasalahan hidup yang dihadapinya.
Sememangnya penyelesaian yang
diberikan oleh syariat Islam adalah merupakan penyelesaian yang
sebenar-benarnya kearan ia satu-satunya perundangan yang dapat memenuhi fitrah
manusia itu sendiri. Kemampuan syariat Islam dalam menyelesaikan pelbagai
permasalahan kehidupan manusia inilah yang akan menjadikan Al-Quran sebagai
mukjizat abadi yang paling menonjol di muka bumi.
Wallahu A’alam Bissowab
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.