Keadilan
Salahuddin Al-Ayubi, pembebas Masjidil Aqsa
Pencerobohan
Palestin oleh Tentera Salib benar-benar mencabar Salahuddin al-Ayubi, apatah
lagi setelah khabar mengenai kekejaman Tentera Salib terhadap Muslim telah
tersebar. Ia membakar semangat jihad Salahuddin untuk membebaskan bumi Palestin
daripada tangan Tentera Salib. Pembebasan bumi Palestin daripada kuasa
penjajahan menjadi keutamaan kepadanya memandangkan bumi tersebut sebagai salah
satu daripada tempat suci bagi umat Islam.
|
|
Bahā’
al-Dīn ibn Shaddād, seorang penulis biografi mencatatkan kata-kata Salahuddin
bahawa,
“Ketika
Tuhan mengizinkan saya untuk menakluki Mesir, saya menyedari bahawa Dia juga
menginginkan saya menakluki kawasan pantai Syria, kerana Dia telah meletakkan
ilham ini dalam fikiran saya.”
Realitinya,
ungkapan tersebut bukanlah suatu perkara yang baru, kerana kebanyakan Muslim
berhasrat sama seperti beliau. Namun dalam keadaan ini Salahuddin kelihatan
lebih bertanggungjawab berbanding Muslim lain dalam membebaskan Palestin dan
kawasan sekitarnya. Matlamat beliau akhirnya dapat direalisasikan setelah
beliau berpeluang menjadi pengganti kepada Nūr al-Dīn Zangī yang telah
meninggal dunia di Damsyik pada 569H/1174. Penggantian itu berlaku setelah
beliau mendapat banyak persetujuan daripada para panglima, pemimpin agama dan
juga para pemikir Islam.
Misi
Salahuddin dan tenteranya melawan Perang Salib dalam membebaskan Palestin
daripada cengkaman pihak musuh telah menghasilkan satu kemenangan yang besar.
Sebelum menakluki Palestin, Salahuddin telah berjaya membebaskan pelbagai
wilayah sekitarnya. Perang Hittin jelas mencerminkan budi pekerti Salahuddin
yang mulia terhadap para panglima Tentera Salib yang berjaya ditangkapnya.
Antaranya ialah Raja Guy dari Lusignan. Suatu ketika, Salahuddin meminta Raja
Guy dan Raynald dari Chatillon, kedua- duanya di bawa ke khemah menghadapnya
dan meminta Raja Guy duduk di sebelahnya. Melihat tetamunya yang kehausan,
Salahuddin menghulurkan minuman kepada Raja Guy. Serentak itu, Salahuddin
berkata, “Kami tidak memberikan kepadanya air untuk menyelamatkannya.” Walaupun
begitu, mengikut tradisi Arab, sikap ramah kepada tetamu dengan memberikan
minuman kepada mereka adalah sebagai tanda nyawanya dalam keadaan selamat.
Salahuddin
kemudian bergerak ke arah Raynald lalu membunuhnya dengan pedang bagi memenuhi
janjinya disebabkan oleh tindakan Raynald yang bertindak menyerang kumpulan
kafilah yang tidak bersenjata sewaktu dalam tempoh gencatan senjata. Lebih
buruk lagi, penghinaan Raynald terhadap Nabi Muhammad s.a.w. benar-benar
menguji kesabaran Salahuddin, menyebabkan dia berjanji tidak akan memaafkan
serta akan membunuh Raynald jika berjaya ditangkap. Guy yang menyaksikan
kejadian tersebut berasa gementar kerana merasakan saat pembunuhannya bakal
tiba selepas Raynald dibunuh Salahuddin, namun ditenangkan oleh Salahuddin
dengan berkata, “Bukan suatu kebiasaan bagi raja-raja membunuh raja-raja yang
lain, tetapi dia telah melampaui batas.”
Salahuddin
akhirnya mengeluarkan perintah kepada para tenteranya supaya melayan para
tetamunya dengan baik, malah Raja Guy dihantar pulang ke Damsyik dengan rasa
hormat.
Layanan
yang berbeza antara Raja Guy dan Raynald secara tidak langsung telah membentuk
pola yang berbeza dalam mengurus berdasarkan kepada keadaan. Hanya yang
melampaui batas sahaja akan diambil tindakan, sebaliknya musuh yang tidak
melampaui batas akan dimaafkan oleh Salahuddin dan layak menerima layanan yang
mulia daripada beliau. Ini boleh dikatakan sama dengan tindakan Umar al-Khattab
ketika beliau memberikan jaminan kepada non- Muslim di Islamicjerusalem,
melalui perjanjian yang dikenali sebagai al-‘Uhdah al-‘Umariyyah.
Dalam
misi menakluki Palestin, Salahuddin tidak menyerang Tentera Salib secara
membabi buta bagi menjaga hubungan kedua- dua belah pihak, lebih-lebih lagi
bagi memelihara kesucian al-Aqsa. Ini juga demi mengelak daripada mana-mana
bahagian bangunan rosak. Beliau mengambil inisiatif mencontohi cara Umar
al-Khattab ketika beliau berusaha menakluki kawasan tersebut pada zaman awal
Islam. Justeru, Salahuddin bertindak menghantar utusan kepada pihak Tentera
Salib agar menyerah kalah, namun permintaan Salahuddin ditolak. Setelah
dikepung 40 hari oleh tentera Salahuddin, akhirnya kemenangan berpihak kepada
Salahuddin.
‘Imād
al-Dīn al-Iṣfahānī melaporkan seramai
lebih daripada 100,000 orang Kristian termasuk lelaki, perempuan dan
kanak-kanak telah ditawan oleh tentera Islam. Sikap pemaaf Salahuddin terhadap
masyarakat Kristian telah menyebabkan beliau tidak menghukum bunuh mereka
berbanding yang dilakukan oleh Tentera Salib terhadap umat Islam sebelum ini.
Bahkan mereka semua dibebaskan dengan syarat membayar wang tebusan diri. 10
dinar untuk lelaki, 5 dinar untuk perempuan, dan 2 dinar untuk kanak-kanak.
7000 daripada orang-orang miskin juga dibebaskan dengan jumlah pembayaran
sebanyak 30,000 dinar sekaligus. Namun, sekiranya ada antara mereka tidak mampu
membayar wang tebusan diri tersebut, secara automatik mereka akan terus berada
dalam tahanan.
Pendekatan
Salahuddin tersebut secara tidak langsung dapat mengelak pertentangan di
Islamicjerusalem tanpa berlakunya pertempuran atau pertumpahan darah yang lebih
dahsyat. Ia sekaligus mencerminkan kebaikan Islam itu sendiri di mata pihak
musuh. Sesungguhnya diri Salahuddin itu dihiasi dengan akhlak Islam yang indah.
Pada pendapat penulis, cara beliau melayan tawanan Kristian itu sendiri cukup
menggambarkan perwatakannya sebagai seorang yang pemaaf dan bersikap belas
kasihan, sekalipun dengan musuh Islam itu sendiri. Dari sudut teori dan
praktikalnya, layanan yang baik terhadap golongan bukan Islam dan bersikap
belas kasihan terhadap mereka adalah semata-mata bagi menunjukkan kebaikan dan
sikap pemaaf Islam itu, yang mana kebaikan itu mengatasi segala keburukan dan
perkara-perkara negatif yang lain. Matlamatnya adalah untuk menyedarkan
masyarakat Kristian khasnya serta penganut agama lain umumnya, mengenai Islam
sebagai agama yang mengasihi manusia yang lain serta bersifat kemanusiaan.
Maher
Y. Abu Munshar dalam bukunya Islamic Jerusalem and Its Christians mengulas
bahawa dalam menentukan bentuk layananterhadap masyarakat Kristian, Salahuddin
telah membuat pembahagian kepada dua kelompok utama.
Pertama,
pihak Tentera Salib yang telah membuat pelbagai kekejaman ke atas masyarakat
Arab serta Yahudi. Kedua, penduduk peribumi Kristian di Palestin yang terdiri
daripada kaum Arab dan bukan Arab yang mengikut aliran gereja Greek
Ortodoks.
Selaku
penduduk peribumi Palestin, mereka meminta hak untuk terus mendiami bumi
Palestin. Namun, Salahuddin telah mengenakan syarat supaya mereka membayar wang
tebusan diri dulu kemudian barulah dibenarkan untuk tinggal di Palestin dengan
menerima pemerintahan Islam serta dikehendaki membayar jizyah.
Secara
umum, sistem jizyah diwujudkan sebagai pulangan kepada keamanan dan
perlindungan yang diberikan kepada golongan bukan Muslim. Sehubungan itu,
sistem jizyah bukan satu bebanan kepada bukan Muslim, malah merupakan satu
keringanan yang besar berbanding sistem cukai yang dilaksanakan oleh
pemerintahan Rom Timur sebelumnya. Walaupun demikian, golongan yang tidak
berkemampuan diberi pertimbangan dan mereka boleh dibebaskan tanpa syarat.
Justeru, masyarakat bukan Islam, seperti Kristian Ortodoks dan sebagainya, yang
mahu tinggal di bawah pemerintahan Islam terus dibiarkan kekal mendiami bumi
Palestin. Mereka diberikan ruang pilihan yang bebas untuk mengamalkan ritual
keagamaan masing-masing yang selama ini telah menjadi sebahagian daripada
kehidupan mereka.
Cerminan
akhlak mulia Salahuddin itu dapat dibuktikan lagi dengan layanannya terhadap
masyarakat Kristian yang telah menebus diri mereka untuk bebas. Ini berlaku
apabila beliau telah membekalkan sejumlah wang serta haiwan tunggangan setelah
melihat para tebusan membawa ibu bapa dan tetangga mereka yang sudah berumur.
Salahuddin juga memerintahkan tenteranya supaya mengiringi mereka bagi
memastikan mereka ini selamat tiba ke destinasi yang diingini. Dalam hal ini,
Geoffrey Regan mengatakan bahawa,
Para
pekerja Salahuddin yang tidak mampu melihat penderitaan para pelarian itu telah
meminta para pekerja yang lain turun dari haiwan tunggangan, lantas menetapkan
bahawa rombongan Kristian yang sudah berumur supayamenaiki tunggangan mereka,
malah tentera Salahuddin sendiri yang memegang anak-anak Kristian dengan tangan
mereka.
Ibn
al-Athīr dan al-Iṣfahānī adalah dua daripada
ahli sejarah yang merekodkan sikap ramah serta belas kasihan Salahuddin
terhadap perempuan yang mulia, dengan membenarkan mereka meninggalkan Palestin
tanpa sebarang wang tebusan.
Sebagai
contoh, Permaisuri Sybil, seorang permaisuri Byzantine, yang telah menjadi ahli
agama dan menubuhkan sebuah tempat peribadatan dan mempunyai ramai pengikut di
bawahnya, telah diberikan jaminan keselamatan oleh Salahuddin. Bahkan
permintaannya untuk meninggalkan tempat tersebut bersama para pengikutnya telah
diterima oleh Salahuddun dengan belas kasihannya tanpa sebarang syarat. Malah,
beliau telah membawa Permaisuri Sybil bertemu dengan suaminya yang dipenjarakan
di Nablus dan membenarkannya berada di sisi suaminya.
Runciman
dalam bukunya A History of the Crusades menyatakan bahawa ramai daripada kaum
perempuan Kristian yang menebus diri mereka datang menghadap Salahuddin sebelum
mereka keluar meninggalkan kota tersebut dalam keadaan dukacita. Ada di antara
mereka berkata,
Wahai
Sultan, sebagaimana kamu lihat, kami akan pergi meninggalkan tempat ini
sekarang. Kami sebagai para isteri, ibu-ibu, anak-anak perempuan kepada para
tahanan. Kami akan meninggalkan tempat ini selama-lamanya dan meninggalkan para
tahanan yang menjadi pelindung kepada kami. Jika kamu membunuh mereka,
kehidupan kami akan musnah. Jika kamu membebaskan mereka, kamu telah
mengurangkan kesakitan dan kesusahan kami kerana kami tidak dapat hidup tanpa
adanya penjaga.
Mendengar
masalah tersebut, Salahuddin bertindak membebaskan anak remaja kepada ibunya,
suami kepada isterinya dan bapa kepada anaknya. Malah mereka diberikan sejumlah
wang daripada perbendaharaan sesuai dengan keperluan mereka. Sementara, para
tahanan yang masih berbaki pula dijamin oleh beliau bahawa mereka akan dilayan
sebaik mungkin dan penuh belas kasihan. Menurut Runciman, layanan Salahuddin
kepada masyarakat Kristianbegitu bertentangan dengan perbuatan Tentera Salib
semasa penaklukan Perang Salib Pertama.
Selain
itu, ‘Abdullah Nasih ‘Ulwan dalam bukunya Salah al- Din al-Ayyubi (Saladin),
turut menyatakan pendapat daripada William B. Stevenson bahawa ramai daripada
masyarakat Kristian yang meninggalkan Palestin tanpa membayar terlebih dahulu
wang tebusan. Pendapat ini turut disokong oleh Stanley Lane Poole yang turut
menyatakan hal yang sama, bahkan menyatakan bahawa Salahuddin membenarkan para
pendeta dan masyarakat Kristian yang berharta membawa bersama-sama harta
peribadi ketika meninggalkan Palestin. Al-Iṣfahānī menyatakan bahawa Heraclius dan para paderinya dikatakan
meninggalkan kota tersebut dengan perhiasan emas dan perak yang penuh sarat,
selain daripada satu gerabak perhiasan dan barang-barang berharga daripada
Gereja Suci Sepulchre. Sebaliknya, orang Muslim akan membeli barangan yang
mereka tidak ingini. Jelas di sini bahawa Salahuddin tidak membenarkan Muslim
yang lain melanggar hak asasi manusia dengan cara tidak membenarkan mereka
merampas barangan hak milik peribadi bukan Muslim, namun dikehendaki membelinya
sekiranya berkeinginan.
Di
samping itu, permintaan saudaranya, al-Mālik al-‘Ādil supaya membebaskan 1,000
orang masyarakat Kristian yang terdiri daripada orang-orang yang kurang upaya
serta miskin turut dipenuhi oleh Salahuddin. Bahkan, beliau bukan sekadar
membebaskan sejumlah 1,000 orang, tetapi sebanyak 10,000 orang kesemuanya,
termasuk tahanan yang sudah berusia. Tindakan ini jelas menggambarkan sikap dan
layanan baiknya terhadap masyarakat Kristian.
Apabila
diamati dari sudut keagamaan, kelihatannya Salahuddin mengamalkan toleransi
yang tinggi terhadap masyarakat Kristian. Beliau sesekali tidak menghalang
penganut Kristian daripada melaksanakan ritual keagamaan mereka, bahkan tidak
mengubah aspek demografi mereka. Atas fakta ini, Karen Amstrongberpendapat
bahawa,
“Islam
tidak berusaha untuk membina masjid di mana-mana bahagian Kristian di
Baitulmuqaddis.”
Dapat
dilihat di sini bahawa pemerintah Islam sesekali tidak masuk campur dalam hal
keagamaan orang yang bukan beragama Islam. Di bawah pemerintahan Islam jugalah
menyaksikan penganut Kristian terus melakukan penziarahan tempat suci mereka di
Palestin. John Wilkinson menguatkan lagi pandangan ini apabila beliau
mengatakan bahawa ziarah orang-orang Kristian ke Baitulmuqaddis pada waktu
tersebut “tidak terganggu.” Bahkan, gereja atau sinagoga iaitu rumah ibadat
penganut Yahudi terus kekal terpelihara. Dengan kata lain, tempat peribadatan
mereka dijamin tidak akan dicerobohi.
Keadaan
ini telah menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang tidak berusaha untuk
menghentikan hak penganut bukan Islam.
Semasa
berlaku pengepungan ke atas Acre, seorang ibu daripada Tentera Salib mengadu
kehilangan anaknya apabila seorang Muslim dikatakan memasuki khemahnya dan
menculik anaknya yang berusia 3 bulan. Kemudian, beliau mengambil keputusan
berjumpa dengan Salahuddin atas saranan daripada putera raja yang menyatakan
bahawa Salahuddin sememangnya memiliki hati budi yang baik. Beliau berkata,
“Pergi dan beliau akan membawa anak kamu kembali.”
Mendengar
aduan perempuan Kristian tersebut, Salahuddin memerintahkan agar anaknya segera
dicari. Akhirnya setelah pencarian dilakukan, didapati anak kecil tersebut
telah dijual di pasar. Justeru, Salahuddin memerintahkan supaya sejumlah wang
diberikan kepada pembeli terbabit agar anak tersebut dapat diserahkan kembali
kepada ibunya. Salahuddin dikatakan tidak berganjak selagi anak tersebut tidak
dibawa kepada ibunya. Setelah bayi tersebut diserahkan kembali kepada ibunya,
perempuan Kristian itu berdoa, lalu dibawa pulang ke khemahnya dengan menaiki
kuda. Berdasarkan kisah ini, dapatlah dikatakan bahawa Salahuddin sememangnya
seorang kesateria yangmemiliki hati yang begitu baik dan mengambil berat
terhadap segala masalah rakyatnya, sekalipun dia itu seorang yang beragama
Kristian.
Hubungan
antara Muslim dan Kristian jelas kelihatan setelah berlakunya Perang Salib
Ketiga (1189-1892). Kejatuhan Palestin ke tangan umat Islam membuatkan penganut
Kristian tidak berpuas hati kerana bagi mereka, Palestin adalah hak milik mereka
yang tidak boleh dikongsi sama sekali dengan umat agama lain seperti yang telah
dijelaskan di atas. Walaupun Raja Richard memenangi sebahagian daripada wilayah
di Palestin, namun beliau gagal mendapatkan kembali kota Baitulmuqaddis.
Kemuncak peperangan ini akhirnya berakhir dengan Perjanjian Damai Ramallah yang
ditandatangani pada 2 September 1192. Perjanjian tersebut secara tidak langsung
menandakan berlakunya komunikasi antara dua pemimpin. Namun demikian,
perjanjian tersebut terpaksa ditangguhkan buat seketika kerana Raja Richard
telah jatuh sakit secara tiba-tiba.
Secara
tersiratnya, terdapat perilaku yang mulia oleh Salahuddin terhadap musuhnya
yang beragama Kristian iaitu Raja Richard apabila beliau telah memberikan
layanan baik yang semaksimum mungkin kepada Raja Richard setelah mengetahui
musuhnya itu jatuh sakit ketika di Jaffa. Raja Richard telah mendapat bantuan
perubatan dan sekaligus mendapat makanan yang diidamkannya daripada Salahuddin.
Kesinambungan daripada peristiwa terbabit, ternyata budi pekerti Salahuddin
telah memberi kesan yang mendalam kepada Raja Richard sehingga beliau berkata
kepada salah seorang pengikut Salahuddin,
Tolong
sampaikan salamku kepada sultan dan katakan kepadanya,
“Demi
Tuhan! hendaklah dia mengabulkan permintaanku untuk berdamai kerana semua ini
harus segera berakhir. Negeriku di seberang lautan sudah hancur.
Justeru,peperangan ini sesekali tidak akan mendatangkan kebaikan, baik untuk
kami, mahupun untuk kalian!”
Berdasarkan
kepada pernyataan Raja Richard tersebut dapat difahami bahawa layanan baik
Salahuddin terhadap musuhnya telah menguatkan lagi tekad musuhnya untuk
berdamai seperti yang telah dinyatakan di atas.
Menariknya,
selepas sahaja perjanjian tersebut ditandatangani kedua belah pihak, Salahuddin
telah membuat satu pengisytiharan,
Dengar
semua! Keamanan telah diatur. Sesiapa dari tempatnya berhasrat untuk
mengunjungi tempat kami, maka dia boleh berbuat demikian. Barang siapa dari
tempat kami berkeinginan mahu mengunjungi tempat kalian, maka kami boleh
melakukannya juga. Laluan rombongan ziarah dari Syria juga telah dibuka
sekarang.
Daripada
jaminan keamanan tersebut, dapat dibuat kesimpulan bahawa penganut Kristian
terus diberi kebebasan oleh Salahuddin, iaitu dalam bentuk kebebasan untuk
bergerak sebebas kaum Muslim. Salahuddin sendiri telah menghulurkan bantuan
dalam bentuk pengawalan untuk mengawal para rombongan ziarah sehingga mereka
kembali semula ke Jaffa, bahkan memerintahkan tenteranya supaya menyediakan
makanan dan melayani mereka dengan penuh kebaikan.
Di
samping itu, masyarakat Kristian yang menetap di Palestin juga mempunyai hak
untuk memiliki rumah, kedai dan tanah. Pintu turut terbuka untuk orang Kristian
memasuki lapangan pekerjaan tanpa sebarang bentuk diskriminasi. Matlamat
daripada tindakan Salahuddin tersebut, tidak lain dan tidak bukan, adalah
semata-mata bagi menjaga keamanan bumi Palestin kerana ia bukan sahaja hak
milik umat Islam, namun dikongsi bersama antara dua lagi kepercayaan yang lain
iaitu Kristian dan Yahudi. Seperti yang telah ditegaskan oleh Salahuddin dalam
sesi perundingan bersama orang-orang yang terkemuka ketika membincangkan
usaha-usaha perdamaian di antara dua pihak,
Palestin
[Islamicjerusalem] adalah milik kami, sama juga milik kamu. Bagi kami, ia lebih
bermakna berbanding kamu kerana di sana Nabi kami melakukan Israk Mikraj.
Janganlah berharap bahawa kami akan menyerahkan tempat ini kepada kamu.
Penaklukan ke atasnya suatu ketika dahulu adalah suatu perkara yang tidak
terduga, berpunca daripada kelemahan umat Islam ketika itu...”
Perjanjian
perdamaian ini juga dapatlah dikatakan sebagai tanda pengiktirafan Raja Richard
kepada keseluruhan kepimpinan dan kedaulatan Salahuddin. Justeru seiring dengan
perjanjian damai tersebut, Raja Richard telah menyerahkan anak saudara
lelakinya untuk dijaga oleh Salahuddin. Beliau juga menaruh kepercayaan yang
cukup tinggi terhadap Salahuddin bagi menjaga gereja di Palestin, lantaran
keyakinannya yang cukup tinggi bahawa Salahuddin adalah seorang yang berpegang
teguh terhadap perjanjian yang telah dimeterai.
Jelas,
penganut Kristian di Palestin sememangnya berada dalam keadaan yang selesa
semasa di bawah pemerintahan Salahuddin. Pembukaan kembali Palestin oleh Muslim
di bawah Salahuddin ini telah memperlihatkan satu dimensi baru yang menyegarkan
apabila layanan istimewa dalam segenap aspek tidak hanya terhenti sekadar umat
Islam sahaja, malah termasuk kalangan yang bukan Islam. Ia seperti yang pernah
dilakukan oleh Umar al-Khattab yang pernah memberi jaminan keselamatan kepada
golongan bukan Islam di Islamicjerusalem. Oleh itu, pendapat yang diutarakan
oleh Stanley Lane Poole harus disokong kerana ada kewajaran dalam pendapat
beliau yang memuji Salahuddin. Pandangan beliau adalah berdasarkan kepada
layanan Salahuddin terhadap masyarakat Kristian seperti dibincangkan di atas.
Menurutnya,
Rahsia
di sebalik kehebatan Salahuddin terpancar pada kecintaan rakyatnya. Sedangkan
pihak lain cuba menggapainya dengan menakut-nakutkan, melalui kekerasan dan
kedudukan, beliau menyempurnakan hasratnya dengan kebaikan.
Seharusnya,
nasihat Salahuddin kepada anaknya mengenai sumber kekuatan yang terdapat pada
diri beliau, harus dijadikan pegangan oleh pemerintah Muslim era kini mahupun
akan datang. Ini terutama dalam misi menubuhkan sebuah kerajaan dan
pemerintahan yang benar-benar berdaulat dan diterima ramai. Kata Salahuddin,
Cuba
memenangi hati rakyat, dan meneliti kemakmuran mereka, lantaran itu menjamin
kegembiraan mereka... Saya menjadi hebat seumpama ini kerana saya telah berjaya
memenangi hati rakyat dengan kelembutan dan kebaikan.”
Oleh
yang demikian, sikap yang ditunjukkan oleh Salahuddin terhadap masyarakat Islam
dan bukan Islam, terutamanya masyarakat Kristian, boleh digambarkan sebagai
suatu tindakan yang matang. Ia sekaligus menjadi faktor wujudnya keamanan di
Palestin pada waktu tersebut seperti yang telah digambarkan di atas.
Kesimpulan:
Salahuddin
al-Ayubi telah memberi ruang yang terbuka kepada golongan Kristian dan jaminan
keselamatan kepada mereka. Jelas, ia menunjukkan bahawa kewujudan pelbagai
latar agama di kalangan rakyat tidak menjadi penghalang kepada pemerintahan
Islam untuk membangunkan wilayahnya. Golongan Kristian di Islamicjerusalem dan
kota Baitulmuqaddis telah mendapat layanan yang baik dari seorang pemimpin
Muslim yang telah berjaya membebaskan wilayah tersebut buat kali yang kedua.
Keadilan yang diberikan itu sungguh berharga dalam hal hubungan antara Muslim
dan Kristian. Keadilan harus mewarnai kehidupan seharian, tanpa mengira agama
dan bangsa. Justeru, dalam hal ini, Salahuddin sesekali tidak mengamalkan dasar
mengecualikan orang lain, namun menangani mereka dengan keadilan. Ini patut
menjadi contoh teladan kepada pemimpin, ilmuwan dan masyarakat Islam
seluruhnya.
Misteri Haikal Nabi Sulaiman
Alhamdulillah,
ini adalah antara artikel yang sempat saya kirimkan dan kiriman yang ulung kali
dalam tahun ini (2013) dalam merungkai sebuah misteri lama di zaman nabi Allah
Sulaiman as. Isu Haikal Nabi Sulaiman pernah saya kupaskan sebelum ini dalam
sebuah artikel saya yang bertajuk “Keruntuhan Al Aqsa Petanda Awal Kiamat“,
saya tergerak untuk mengkaji sejarah misterinya sebagai satu bahan ilmiah yang
mungkin boleh dikongsikan bersama kepada semua pembaca. Sesungguhnya Sejarah
Haikal Sulaiman bermula di Baitulmaqdis dan merupakan sebuah kota yang
terletak di dalam wilayah Palestin dan diiktiraf sebagai kota ketiga paling
suci bagi umat Islam selepas Mekah dan Madinah. Dalam kalangan masyarakat
antarabangsa, kota ini lebih dikenali dengan nama Jerusalem yang bermaksud
‘tempat yang aman untuk didiami’.
Catatan
sejarah menunjukkan kota ini telah diduduki manusia selama sekitar 5,000 tahun
sekaligus merupakan antara kota yang tertua di dunia dan masih dihuni sehingga
sekarang. Kota ini merupakan tempat pertembungan antara tiga agama samawi iaitu
Islam, Yahudi, dan Kristian bahkan setiap agama mempunyai kawasan masing-masing
di sekitar kota lama yang mengelilingi sebuah tanah tinggi yang terkepung
dengan tembok yang tinggi lagi kukuh.
Masyarakat
dunia menamakan kawasan tanah tinggi ini sebagai ‘Mount Temple’ disebabkan
sejarahnya yang pernah menempatkan kuil Yahudi kuno iaitu dipanggil juga
sebagai Haikal Sulaiman sebelum ia dimusnahkan, dibina semula dan sekali lagi
dimusnahkan selepas kota ini dijajah oleh kerajaan-kerajaan yang berbeza.
Mengikut
catatan sejarah, umat Islam pada era awal Islam dahulu menggelarkan kawasan di
mana terletaknya ‘Mount Temple’ sebagai Madinah Baitulmaqdis yang membawa erti
‘City of the Temple’ yang mengambilkira akan kewujudan Haikal Nabi Sulaiman A.S
yang menjadi tempat ibadat pertama kaum Yahudi sebelum dimusnahkan oleh orang
Babylon pada tahun 586 sebelum Masihi.
Selepas
kemusnahan pertama itu, Haikal ini dibina semula kira-kira selepas 70 tahun
kemusnahan pertamanya apabila orang Babylon berjaya diusir, namun ia
diruntuhkan kembali pada tahun 70 Masihi oleh Empayar Roman. Manakala kawasan
kota yang wujud di sekeliling ‘Mount Temple’ ini dipanggil Iliya, berasal
daripada nama ‘Aelia Capitolina’ yang diberikan semasa penjajahan orang Roman.
Kawasan ‘Mount Temple’ pada asalnya agak tinggi dengan keadaan yang tidak rata
tetapi pada tahun 19 sebelum Masihi, pemerintah ketika itu iaitu Herod the
Great telah membina tembok tinggi mengelilingi kawasan ini lalu meratakan permukaannya
di dalam kawasan tembok sepertimana keadaan sekarang.
Selepas
pengislaman Kota Baitulmaqdis yang bermula ketika zaman khalifah Umar
al-Khattab, nama ‘Mount Temple’ telah ditukarkan kepada Haram al-Sharif
yang menggambarkan kedudukan kawasan suci ini yang mendapat tempat yang mulia
di dalam Islam sementara kota disekitarnya inilah dinamakan Baitulmaqdis.
Pada
Zaman Khalifah Sulaiman iaitu salah seorang khalifah di dalam era Turki
Uthmaniyyah, beliau telah membina semula dinding seakan-akan sebuah tembok di
sekeliling kota Baitulmaqdis. Sekarang ini Baitulmaqdis yang asal dirujuk
sebagai kota lama Baitulmaqdis iaitu kawasan yang dikepungi tembok tadi. Di
kota inilah terletaknya Masjid al-Aqsa yang telah disebut di dalam kitab
suci al-Quran dan al-Hadis yang mana beribadat di dalamnya mendapat seribu
ganda pahala berbanding di tempat-tempat lain.
Masjid
al-Aqsa di dalam bahasa Arab bermaksud ‘masjid yang jauh’, merujuk pada
jaraknya yang berjauhan daripada bumi Mekah yang menempatkan Masjid al-Haram.
Di sini juga menjadi tapak kepada salah satu peristiwa terpenting di dalam
Islam iaitu Isra’ dan Mikraj yang mana ketika itu, Nabi Muhammad S.A.W telah
dinaikkan ke langit untuk menghadap Allah S.W.T. Baitulmaqdis juga menjadi
kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah ke Mekah, iaitu kira-kira selama
enam belas bulan. Kedua-dua peristiwa besar Islam ini iaitu pembinaan Masjid
al-Aqsa dan peristiwa Isra’ Mikraj ini berlaku di atas tapak Haram al-Sharif.
Selain
itu, Masjid Kubah Batu turut dibina berdekatan dengan Masjid al-Aqsa dan telah
dibina pada zaman pemerintahan Khalifah Abdul Malik semasa era Bani Umayyah.
Diriwayatkan senibina masjid ini yang begitu indah dengan kubah berwarna
keemasannya yang menonjol adalah untuk menyaingi kehebatan senibina
gereja-gereja di sekitar Baitulmaqdis yang menjadi tumpuan ramai pelawat. Kini
Masjid Kubah Batu menjadi antara monumen tertua orang Islam yang sangat
dikenali.
Masjid
ini mendapat namanya berikutan dipercayai didirikan di atas tapak batu terapung
yang terjadi ketika peristiwa Isra’ dan Mikraj. Ironinya batu ini juga dianggap
suci oleh penganut Yahudi disebabkan kepercayaan bahawa ia merupakan pusat bagi
‘Mount Temple’ dan dianggap sebagai asas untuk pembinaan kuil mereka satu masa
nanti.
Tetapi
menurut catatan sejarah ketika Khalifah Umar al-Khattab r.a yang
bertanggungjawab menjadikan Baitulmaqdis sebagai salah sebuah wilayah Islam,
setibanya di kota ini beliau lalu bertanyakan mengenai batu yang menjadi
tempatnya Baginda Rasul dinaikkan ke langit, lalu ditunjukkan oleh penduduk
kota pada sebuah batu terbiar di atas tanah tinggi yang dikepungi oleh tembok.
Lebih malang apabila kaum Yahudi mengotorkan kawasan itu dengan najis dan
sampah sarap sebagai tanda penghinaan kepada lokasi peristiwa Isra’ Mikraj itu.
Khalifah Umar membersihkan kawasan itu bersama-sama dengan orang Mukmin yang
lain dan membina Masjid al-Aqsa buat kali pertamanya di bumi Baitulmaqdis itu
Masyarakat
Yahudi menganggap Haikal ketiga dan sepatutnya menjadi yang terakhir seharusnya
dibangunkan di atas lokasi yang sama iaitu Haram al-Sharif bahkan perkara
yang sama turut dicatatkan di dalam kitab Injil. Perebutan tapak suci inilah
yang menjadi teras konflik antara Islam dan Yahudi selanjutnya menjadikan
kawasan suci ini sebagai tempat krisis yang masih belum selesai sehingga
sekarang.
Salah
satu tembok yang mengelilingi Haram al-Sharif ini, iaitu tembok di bahagian
barat ataupun ‘Western Wall’ ini menjadi tempat suci bagi penganut Yahudi.
Tembok yang dibina lebih daripada 2,000 tahun yang lampau ini merupakan
satu-satunya bahagian Haikal kedua mereka yang masih wujud. Mereka
menganggap Tuhan mereka berada di sebalik tembok itu dan pandangan mereka
terhalang disebabkan dosa-dosa yang telah mereka lakukan. Oleh kerana itu lokasi
ini menjadi tempat mereka beribadat dan meratap di atas dosa-dosa yang mereka
lakukan dan amalan ini masalah berlangsung sehingga sekarang ini, susulan
dengan itu kadang-kadang tembok ini juga dirujuk sebagai ‘Wailing Wall’ ataupun
tembok ratapan.
Mengikut
agama Kristian pula, Baitulmaqdis juga mendapat kedudukan yang mulia dan
dianggap sebagai tanah suci mereka. Nabi Isa A.S yang dilahirkan di Baitullaham
iaitu sebuah bandar yang berhampiran dengan Baitulmaqdis terus dibawa ke
Baitulmaqdis sebaik sahaja dilahirkan. Semasa remajanya, penganut Kristian
percaya bahawa Nabi Isa A.S pernah berkhidmat untuk mencuci Haikal kedua
yang pada ketika itu masih tertegak utuh di Baitulmaqdis. Selain itu juga,
peristiwa penyaliban dipercayai berlaku di dalam kawasan Baitulmaqdis tetapi
lokasi yang tepat masih lagi menjadi pertikaian sarjana-sarjana Kristian.
Pendapat
yang paling diterima ramai adalah peristiwa itu berlaku pada tapak di mana
tertegaknya sebuah gereja yang dianggap paling suci oleh penganut Kristian
iaitu Gereja ‘Holy Sepulchre’, salah sebuah gereja di dalam kawasan kota lama.
Di sini juga dianggap sebagai lokasi orang yang mereka percayai sebagai Nabi
Isa A.S dimakamkan. Kota Baitulmaqdis sehingga kini masih menerima pengunjung
Kristian yang ramai dari seluruh dunia terutamanya menjelang musim Easter.
Perang
Salib yang berlaku pada 1099 Masihi juga menunjukkan keazaman penganut Kristian
untuk menawan tanah suci ini daripada penguasaan orang Islam dan mereka telah
berjaya menduduki kota ini selama kira-kira 200 tahun sehinggahlah kota ini
dibebaskan oleh panglima Islam yang unggul iaitu Salahuddin al-Ayubbi pada
tahun 1187 Masihi. Diriwayatkan bahawa ketika tentera salib dihalau sepenuhnya
dari kota, Salahuddin al-Ayubbi sendiri yang membersihkan Masjid al-Aqsa yang
dijadikan kandang kuda oleh tentera salib, manakala Masjid Kubah Batu yang
dijadikan sebagai gereja dikembalikan fungsinya sebagai sebuah masjid.
Penguasaan
orang Islam berterusan sehinggalah ke akhir zaman Khalifah Uthmaniyyah yang
menyaksikan Baitulmaqdis dikuasai oleh British sehinggalah mandat penguasaan
itu tamat. Kewujudan negara Israel pada tahun 1948 menyaksikan peperangan
antara Arab dan Yahudi berlaku untuk menguasai wilayah Palestin yang ketika itu
dibahagikan secara berat sebelah oleh badan dunia PBB.
Penduduk
Arab yang mewakili dua pertiga diperuntukkan hanya sepertiga kawasan sementara
sepertiga Yahudi mendapat selebihnya tanah Palestin. Ketika itu PBB
mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai wilayah antarabangsa tetapi pertempuran tentera
Israel dan Arab menyebabkan bahagian barat kota jatuh ke tangan Yahudi dan
diisytiharkan sebagai ibu kota negara Israel tetapi tidak diiktiraf oleh dunia.
Bahagian
timur Baitulmaqdis dikuasai oleh negara Jordan, termasuklah kawasan kota lama
Baitulmaqdis ini. Sehingga waktu ini, Haram al-Sharif merangkumi keluasan
hampir seperlima daripada keluasan kota lama Baitulmaqdis masih dikuasai oleh
orang Islam.
Kota
lama Baitulmaqdis terbahagi kepada empat bahagian. Bahagian pertama adalah
bahagian orang Islam iaitu bahagian yang terbesar antara kesemua bahagian,
Kompleks Haram al-Sharif adalah sebahagian daripada kawasan orang Islam.
Bahagian kedua adalah bahagian Yahudi dan selebihnya merupakan bahagian
Kristian dan bahagian Kristian Armenia, iaitu bahagian yang paling kecil antara
semua. Walaupun Orang Armenia juga merupakan penganut Kristian, tetapi mereka
mendapat kawasan mereka sendiri di dalam kota dan bilangan mereka juga hanya
kecil jika dibandingkan dengan kumpulan-kumpulan lain. Ketika Jordan menguasai
kota lama, penganut Yahudi tidak dibenarkan beribadat di sekitar ‘Western Wall’
ataupun tembok ratapan itu dan kebanyakan tempat ibadat Yahudi ditutup dan
sebahagian bahagian orang Yahudi di kota lama turut menempatkan penduduk Arab
yang menjadi pelarian akibat wilayah mereka dirampas oleh Israel.
|
|
Tetapi
perang pada tahun 1967 merubah lanskap kota ini sampai sekarang. Penglibatan
Jordan di dalam perang negara-negara Arab dengan Israel menyebabkan bahagian
timur kota ini jatuh ke tangan Yahudi, lebih teruk apabila wilayah Palestin
yang selebihnya turut jatuh bersama sehinggalah ke Tebing Barat Sungai Jordan.
Mesir pula kehilangan Semenanjung Sinai dan Genting Gaza sementara Syria
terlepas Tanah Tinggi Golan.
Bermulanya
kejatuhan Baitulmaqdis ini menyaksikan banyak pencabulan dilakukan oleh bangsa
Yahudi ke atas Baitulmaqdis. Antaranya menjadikan kawasan ‘Western Wall’
sebagai tapak ibadat mereka selain pembinaan penempatan haram Yahudi yang
mengelilingi kejiranan Arab di dalam usaha memastikan kota ini didominasi
secara penuh oleh Yahudi. Penempatan masyarakat Yahudi turut dibina di dalam
bahagian orang Islam.
Rumah-rumah
penduduk Palestin dirampas dan digantikan dengan perumahan Yahudi. Lebih teruk
lagi apabila kerajaan Israel meluluskan akta yang menggabungkan timur dan barat
Baitulmaqdis sebagai satu kota dan menjadi ibu kota Israel yang rasmi
menggantikan Tel Avivyang sebelum ini menempatkan kedutaan-kedutaan asing.
Pejabat Presiden dan Perdana Menteri, kediaman Presiden dan Perdana Menteri,
bangunan Parlimen, Mahkamah Agung dan kementerian-kementerian Israel semuanya
dipindahkan ke Baitulmaqdis secara beransur-ansur.
Masjid
al-Aqsa juga beberapa kali telah dicabuli termasuklah dibakar oleh fanatik
Yahudi sehingga membawa kemusnahan mimbarnya. Paling diingati adalah peristiwa
yang berlaku pada tahun 2000, lawatan penuh provokasi Perdana Menteri
Israel ketika itu iaitu Ariel Sharon ke kompleks Haram al-Sharif. Untuk rekod,
Ariel Sharon terlantar koma akibat serangan strok semasa masih bertugas sebagai
Perdana Menteri pada tahun 2006 dan masih tidak sedarkan diri.
Perlu
diingatkan bahawa walaupun Israel menguasai kota ini secara total namun
pengawalan kompleks Haram al-Sharif diberikan kepada badan Islam sebagai
kawasan wakaf dan juga Raja Jordan dianggap sebagai penjaga Masjid al-Aqsa.
Bendera negara Israel juga tidak dibenarkan dikibarkan di sekitar Haram
al-Sharif. Penganut agama lain juga dilarang memasuki kompleks suci ini dan
askar-askar serta polis Israel berkawal di pintu masuk dan pengunjung mesti
membuktikan mereka ini adalah Islam sebelum memasuki kompleks untuk beribadat.
Langkah ini diambil bagi mengelakkan terjadinya pertikaian seterusnya membawa
kepada pertumpahan darah memandangkan lokasi ini amat sensitif bagi semua
penganut agama samawi.
Namun
sampai bilakah langkah ini berterusan menjadi tanda tanya memandangkan sikap
kerajaan zionis Israel sendiri yang suka melakukan provokasi ke atas penduduk
Palestin dan pengyahudian Baitulmaqdis bukan lagi sesuatu agenda yang rahsia.
Hari
ini, Kota Baitulmaqdis masih berada di bawah kekuasaan bangsa Yahudi yang
menyimpan impian untuk meruntuhkan Masjid al-Aqsa yang mahu digantikan dengan
Haikal ketiga mereka yang dipercayai menjadi Haikal terakhir mereka, malahan
mereka bertungkus lumus melakukan aktiviti carigali di sekitar kompleks Haram
al-Sharif untuk menguatkan dakwaan pemilikan mereka ke atas kawasan suci itu
sebelum terbinanya masjid-masjid di atasnya.
Mengikut
berita yang tersebar luas, mereka melakukan penggalian di bawah tapak masjid
sehingga meletakkan Masjid al-Aqsa dan Masjid Kubah Batu di dalam risiko
keruntuhan akibat aktiviti yang kononnya berlandaskan kerja-kerja arkeologi
itu. Kaum Yahudi kelihatan begitu teruja untuk merealisasikan pembinaan Haikal
Sulaiman mereka itu, bagi mereka pembinaan itu adalah sesuatu yang menjadi
tuntutan agama mereka dan perlu dilaksanakan, yang menjadi persoalan hanyalah
bila Haikal Sulaiman itu akan dibangunkan?
*Sumber
dari johneox.wordpress.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.