Manusia diciptakan dari Nabi Allah Adam a.s. dan Adam pula
dijadikan oleh Allah s.w.t dari tanah. Hanya Adam a.s dijadikan daripada
hakikat tanah manakala manusia dijadikan daripada air mani yang terpancar
daripada dua tulang sulbi manusia.
Allah s.w.t telah berfirman dalam Surah Shad: 71-74;
"Ingatlah ketika Tuhanmu berfiman kepada malaikat:
"Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah. Maka apabila telah
Kusempurnakan kejadiannya dan Kutiupkan roh (ciptaan) Ku: Hendaklah kamu
bersyukur dengan bersujud kepadanya. Lalu seluruh malaikat bersujud, kecuali
Iblis. Dia menyombongkan diri dan dia termasuk orang-orang yang kafir"
Didalam Surah At-Thariq : 5-7;
"Maka hendaklah manusia memikirkan: daripada apakah ia
diciptakan? Dia diciptakan dari air (mani) yang memancar (ke dalam rahim). Yang
keluar dari tulang sulbi lelaki dan tulang dada perempuan"
Nabi bersabda;
"Semua kamu berasal dari Nabi Adam dan Adam dijadikan
daripada tanah."
Menurut riwayat, ketika Allah swt menitahkan kepada malaikat
Jibril a.s supaya turun ke bumi untuk mengambil sebahagian tanah untuk mencipta
Adam a.s, bumi tidak membenarkan tanahnya diambil untuk dijadikan Adam kerana
bumi khuatir Adam akan melakukan kemungkaran kepada Allah. Lalu Jibril kembali
ke hadrat Allah memberitahu bahawa dia tidak dapat berbuat apa-apa apabila
mendengar sumpah bumi.
Setelah itu, Allah memerintah malaikat Mikail pula turun ke
bumi bagi mendapatkan tanah sebagaimana malaikat Jibril. Jawapan bumi tetap
sama sebagaimana Jibril lalu Allah memerintahkan pula kepada malaikat Israfil dan
jawapan bumi masih tidak berganjak. Masing-masing kembali dengan jawapan yang
sama.
Akhirnya, Allah menyuruh malaikat Izrail turun ke bumi.
Allah berfirman;
"Hai Izrail! Engkaulah kini yang aku tugaskan mengambil
tanah. Meskipun bumi bersumpah-sumpah dengan ucapan, jangan engkau mundur.
Katakan bahawa kerjamu atas perintah dan atas namaKu."
Apabila Izrail turun ke bumi dan menyampaikan perintah Allah
kepada bumi, maka akhirnya bumi mengizinkan tanahnya diambil. Setelah Izrail
mengambil beberapa jenis tanah, kembalilah ia ke hadrat Allah swt.
Lalu Allah swt berfirman lagi;
"Ya Izrail, pertama engkau yang Kutugaskan mengambil
tanah, dan di kemudian hari nanti akan Aku tugaskan engkau mencabut roh
manusia."
Maka Izrail berasa amat khuatir kerana bimbang akan dibenci
oleh umat manusia. Allah berfirman lagi;
"Tidak, mereka tidak akan memusuhi kamu. Aku yang
mengaturnya, dan Aku jadikan kematian mereka itu bersebab antaranya terbunuh,
terbakar, sakit dan sebagainya."
Jenis-jenis tanah yang digunakan dalam penciptaan Nabi Adam
a.s
Menurut riwayat tanah yang diambil dan digunakan untuk
menjadikan Adam a.s mempunyai lima jenis warna iaitu putih, hitam, kuning,
coklat, dan merah. Oleh yang demikian manusia memiliki berbagai warna kulit.
Tanah yang digunakan untuk menjadikan Adam a.s itu ialah sebagaimana berikut;
- tanah tapak Baitul
Maqdis;
- tanah dari Bukit
Tursina;
- tanah Iraq;
- tanah Aden;
- tanah Al-Kautsar;
- tanah tapak
Baitullah;
- tanah Paris;
- tanah Khurasan;
Babylon
- tanah (Babylon);
- tanah India;
- tanah syurga;
- tanah Tha'if;
Menurut Ibnu Abbas;
Kepala Adam dari tanah Baitul-Muqaddis kerana di situlah
berada otak manusia, dan di situlah tempatnya akal.
Telinganya dari tanah Bukit Thursina, kerana dia alat
pendengar dan tempat menerima nasihat.
Dahinya dari tanah Iraq kerana di situ tempat sujud kepala.
Mukanya dari tanah Aden kerana di situ tempat berhias dan
tempat kecantikan.
Matanya dari tanah telaga Al-Kautsar di mana tempat menarik
perhatian.
Giginya dari tanah Al-Kautsar, tempat memanis-manis.
Tangan kanannya dari tanah Kaabah, untuk mencari nafkah dan
kerjasama sesama manusia.
Tangan kirinya dari tanah Paris, tempat beristinjak.
Perutnya dari tanah Babylon . Di situlah tempat seks
(berahi) dan tipu-daya syaitan untuk menjerumuskan manusia ke lembah dosa.
Tulangnya dari tanah Bukit Thursina, alat peneguh tubuh
manusia.
Dua kakinya dari tanah India, tempat berdiri dan jalan.
Hatinya dari tanah syurga Firdaus, kerana di situlah iman,
keyakinan, ilmu, kemahuan dan sebagainya.
Lidahnya dari tanah Tha'if, tempat mengucap syahadat,
bersyukur dan berdoa kepada Tuhan.
Proses kejadiannya;
Ketika Allah jadikan Adam, tanah-tanah tersebut dicampur
dengan air tawar, air masin, air hanyir, angin dan api sehingga menjadi tanah
liat kering yang berasal dari lumpur hitam yang diberi bentuk. Kemudian Allah
resapkan Nur (cahaya) kebenaran ke dalam diri Adam dengan berbagai macam
"sifat".
Sesungguhnya tanah yang akan dijadikan "tubuh
Adam" adalah tanah pilihan. Maka sebelum dijadikan patung, tanah itu
dicampurkan dengan rempah-rempah dan wangi-wangian dari sifat Nur sifat Allah.
Kemudian tubuh itu dibenamkan di dalam air
"Kudral-Izzah-Nya" . Lalu terciptalah tubuh Adam yang sempurna.
Demikian pula roh, ketika itu diperintah masuk ke dalam
tubuh Adam, ia merasa malas dan enggan, lalu ia berputar-putar, mengelilingi
patung Adam yang terlantar. Kemudian Allah menyuruh malaikat Izrail untuk
memaksa roh itu masuk. Akhirnya mahu tidak mahu roh itupun masuk dan menyerah
kepada Izrail.
Menurut riwayat ketika Adam a.s masih berada di syurga, ter
sangat baik sekali kulitnya. Tidak seperti warna kulit manusia. Apabila Adam
telah diturunkan ke dunia, terjadilah perubahan pada warna kulitnya. Sebagai
pengetahuan, yang masih tertinggal warnanya hanyalah pada kuku manusia. Oleh
itu, meskipun orang kulitnya hitam, tetapi warna kukunya adalah sama, ialah
putih kemerah-merahan.
Dijadikan pada tubuh Adam ada sembilan rongga atau liang.
Tujuh buah liang dikepala, dan dua buah liang di bawah badan letaknya.
Tujuh buah letaknya adalah; di kepala ialah dua liang mata,
dua liang telinga, dua liang hidung dan sebuah liang mulut. Di bawah ialah
sebuah liang kemaluan dan liang dubur.
Pada tubuh itu juga dijadikan lima buah pancaindera;
- Mata alat
penglihatan
- Hidung alat
penciuman
- Telinga alat
pendengaran
- Mulut alat merasa
manis, masin dan sebagainya.
- Anggota tubuh
lainya seperti kulit, telapak tangan, untuk merasa halus, kasar dan sebagainya.
Setelah Roh masuk ke dalam tubuh Adam, lalu roh itu masuk
perlahan-lahan sehingga ke kepalanya yang mengambil masa 200 tahun.
Demikianlah Allah memberi kekuatan pada Izrail untuk
memasukkan roh ke dalam tubuh Adam. Setelah roh meresap ke kepala Adam, maka
terjadilah otak dan tersusunlah urat-urat sarafnya dengan sempurna. Kemudian
terjadilah matanya dan seketika itu matanya terus terbuka melihat dan melirik
ke kiri, ke kanan dan ke bawah di mana pada masa itu bahagian badannya masih
merupakan tanah keras. Dilihatnya ke kiri dan kanan para malaikat yang sedang
menyaksikan kejadian dirinya. Ketika itu dia telah dapat mendengar para malaikat
yang mengucapkan tasbih dengan suara yang merdu dan mengasyikkan.
Kemudian ketika roh sampai ke hidungnya lalu ia terbersin,
serta mulutnya terbuka. Ketika itulah Allah ajarkan padanya ucapan
'Alhamdulillah'. Itulah ucapan Adam a.s yang pertama kalinya ke hadrat Allah
swt. Allah pun berfirman, 'Yarhamukallah' yang membawa erti 'semoga engkau
diberi rahmat Allah'. Oleh itu jika seseorang itu bersin, menjadi sunat kita
mengucapkan 'Alhamdulillah' dan orang yang mendengarnya disunatkan mengucap 'Yarhamukallah'.
Kemudian ketika roh sampai pada dadanya, tiba-tiba saja dia mahu bangun.
Padahal bahagian bawah badannya itu masih tanah dan keras.
Di sini menunjukkan sifat manusia yang suka tergesa-gesa
(tidak sabar).
Maka ketika roh itu sampai di bahagian perutnya, maka
terjadilah susunan isi perut dengan sempurna. Seketika itu Adam a.s terasa
lapar. Kemudian terus roh itu meresap sampai ke seluruh tubuh, tangan, kaki
lalu terjadi darah daging dan tulang. Urat-urat berkulit dengan sempurna, yang
mana kulit itu kian lama kian cantik dan halus.
Begitulah proses kejadian tubuh Adam. Setelah kejadian Adam
sempurna sebagai manusia, maka dialah merupakan makhluk manusia yang pertama.
Wajahnya cukup cantik, semua malaikat berasa kagum melihat Adam yang begitu
menawan. Kemudian baginda diarak oleh para malaikat selama 100 tahun lalu
diperkenalkan kepada seluruh penghuni dari langit pertama hinggalah ke langit
yang ketujuh sebelum dibawa ke syurga sebagai tempat mula-mula Adam a.s.
tinggal.
Siti Hawa telah dijadikan oleh Allah swt dari tulang rusuk
kiri nabi Adam ketika berada di dalam syurga. Ketika mereka makan buah larangan
atas pujukan iblis maka tertanggallah pakaian mereka dan akhirnya diturunkan
oleh Allah swt ke bumi. Menurut riwayat Nabi Adam a.s turun di India. Namun
mengikut sesetengah riwayat di Mekah dan terpisah dengan Siti Hawa. Akhirnya
mereka bertemu di Padang Arafah, di atas bukit 'Jabal Rahmah' - di 'Padang
Perkenalan'.
Umur Nabi Adam a.s menurut satu riwayat adalah 930 tahun dan
mengikut riwayat yang lain 934 tahun. Ketinggiannya adalah 60 hasta dan ukuran
tapak kaki Adam a.s sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Kathir ialah 11
jengkal. Siti Hawa telah melahirkan anak sebanyak 40 kali dan setiap kali
beranak ia kembar lelaki dan perempuan. Oleh yang demikian mengikut syariat
yang ada pada waktu itu maka dibenarkan berkahwin adik-beradik, tetapi dengan
syarat bukan dengan kembar yang lahir sekali - sama-sama.
Disusun Oleh: Hj. Khairuddin bin Haiyon
PP Bahagian Dakwah
(Unit Penerangan dan Penerbitan) JAIS.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.