PASTI kebanyakkan dari kita pernah mengalami rasa malas untuk beribadah? Terasa berat untuk bertilawah atau tidak merasakan kenikmatan ketika membaca al-Quran atau solat? Atau mungkin merasa susah untuk bangun malam untuk berqiyamulail? Sedangkan jam sudah diset untuk mengejutkan kita, alarm handphone juga sudah 'disetting' tetapi ketika berdering kita tetap nyenyak dalam tidur, hanya kedengaran seakan-akan dalam mimpi atau bangun dengan setengah sedar, setelah itu menarik semula selimut untuk meneruskan tidur. Sedangkan biasanya dengan mudah boleh bangun. Apa terjadi dengan diri kita?
Hal apa saja yang membuat seseorang malas beribadah?
Ketahui sebab-sebab utama membuat jadi berat beribadah
Atau mungkin kita pernah merasakan mulut ini terasa berat ketika melantunkan ayat-ayat al-Quran atau mengucapkan salam kepada saudara seislam kita. Atau mungkin kita secara sengaja memperlambatkan waktu menunaikan solat, terkadang hati rasa meluat dengan rakan di tempat kerja kerana hal-hal yang kecil atau selalu bersangka buruk. Terkadang kita melalui hari yang kita isytiharkan sebagai hari malang atau tiada mood dan makin malang lagi kita dengan sengaja melanggar perintah Allah s.w.t. Jika hal-hal seperti itu terjadi pada diri kita, maka segeralah kita periksa diri. Ada apa dengan diri kita?
Keadaan seperti ini jangan dibiarkan begitu saja, lama-kelamaan akhirnya jadi terbiasa. Seperti halnya penyakit, kalau sudah ada simptom-simptom segeralah berjumpa doktor dan memakan ubat agar segera sembuh. Begitu pula dengan ruhiyah kita, kalau sudah ada gejala ‘bermalasan’ dan penurunan anjakan ruhiyah maka segera kita muhasabah diri kita. Tentang bagaimana hubungan kita dengan Allah dan apa yang sudah kita lakukan?
Penyebab seseorang itu menjadi malas beribadah mungkin ada banyak, namun lima sebab berikut ini yang selalunya menjadi sebab utama. Mari kita sama-sama semak :
1. Bergelumang dengan perbuatan dosa dan maksiat
Sebab utama dari beberapa sebab yang menjadikan seseorang itu malas dalam beribadah adalah kerana dirinya bergelumang dalam dosa dan maksiat. Sufyan Ats-Tsauri pernah berkata (atau ucapan yang senada), “Saya pernah tidak dapat mengerjakan solat tahajjud selama 5 bulan, hanya kerana satu dosa yang dulu aku lakukan.”
Sekarang, cuba tanya diri sendiri, bagaimana pula dengan kita?
Seorang muslim yang bergelumang dengan maksiat, khususnya dosa-dosa kecil yang sering diremehkan dan dilupakan kebanyakan manusia adalah salah satu sebab malas dan berat mengerjakan ibadah dan ketaatan kepada Allah. Jika seseorang malas beribadah, maka ia terancam dengan kemurkaan Allah. Tahukah anda, apa kemurkaan Allah tersebut?
Antara kemurkaan Allah yang besar adalah apabila Allah akan melenyapkan rasa manisnya iman di dalam hati, tidak mengurniakan kepadanya kelazatan dalam ketaatan. Seterusnya ia tidak mampu lagi untuk mengerjakan ketaatan dan ibadah, padahal meraih ketaatan dan ibadah adalah sebab untuk kita meraih kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Oleh kerana itu, hendaklah seseorang muslim menjauhi perbuatan maksiat dan dosa-dosa kecil yang dianggap remeh. Menjauhilah segala dosa kecil dan besar itulah ketaqwaan. Jadikanlah diri kita seumpama orang yang berjalan di atas jalan penuh duri yang membuatkannya selalu berwaspada. Janganlah kita meremehkan dosa kecil, kerana sebuah gunung itu tersusun dari batu-batu kecil.
2. Tidak Tahu Keutamaan Ibadah
Seterusnya yang membuat seseorang malas mengerjakan ketaatan dan ibadah adalah tidak tahu keutamaan ibadah. Di antara bentuk kelalaian seseorang adalah lupa bahawa dirinya adalah makhluk yang serba-serbi lemah, hanya kerana kehendak dan kekuatan Allah sajalah ia menjadi kuat dalam menjaga dan mengerjakan ketaatan dan ibadah.
Seorang muslim harus mengetahui dan memahami bahawa beribadah dan beramal soleh adalah asbab untuk mendapatkan bantuan dan pertolongan Allah s.w.t. Sesungguhnya tekun mengerjakan amal soleh adalah cara meraih pertolongan Allah subhanahu Wata’ala.
3. Melupakan Kematian
Diantara sebab malas dalam beribadah adalah melupakan kematian dan kejadian-kejadian setelahnya. Wahai saudaraku, sesungguhnya, melupakan kematian dan kesusahan-kesusahan kehidupan selepas mati adalah penyebab penting seseorang jadi malas untuk beribadah, taat dan malas beramal soleh.
Sungguh! seseorang yang melupakan kematian, pasti ia akan malas beribadah, maka dari itu bagi setiap muslim sangat dianjurkan untuk memperbanyak mengingati penghancur (pemutus) segala kenikmatan duniawi iaitu MATI. Kematian adalah ubat bagi orang yang panjang angan-angan, orang yang keras hatinya dan yang banyak dosa.
4. Tidak Tahu Besarnya Pahala Suatu Ibadah
Diantara sebab lain penyebab malas beribadah dan malas mengerjakan ketaatan adalah tidak tahu besarnya pahala sesuatu ibadah. Tidak mengetahui fadhilat atau ganjaran yang Allah janjikan dalam satu-satu ibadah yang diperintah-Nya adalah sebab malas melakukan ibadah dan ketaatan, jika seseorang mengetahui besarnya suatu ibadah, nescaya ia akan rajin mengerjakannya.
Oleh itu, kita hendaklah bersungguh-sungguh untuk memahami keutamaan ibadah dengan membaca buku-buku yang menjelaskan akan keutamaan, nilai dan ganjaran sesuatu ibadah itu. Kerana jika seseorang mengetahui keutamaan dan besarnya pahala sesuatu ibadah ia akan bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah tersebut.
5. Berlebih-lebihan Dalam Hal Yang Harus
Berlebih-lebihan dalam perkara yang diharuskan iaitu dalam hal makanan, minuman, pakaian, kenderaan dan sebagainya juga menjadi sebab malas mengerjakan ibadah dan ketaatan kepada Allah s.w.t. Ini kerana berlebih-lebihan dalam hal tersebut boleh menyebabkan kita kekenyangan, sibuk menguruskan hal penjagaannya, ingin selalu berehat dan tidur.
Berlebih-lebihan dalam perkara harus seperti dalam makanan dan minuman adalah penyebab kerasnya hati. Ini kerana hati ditempa menerusi makanan. Apa yang kita makan maka itulah diri kita. Hati akan bersih dan lembut jika berada dalam keadaan lapar dan sedikit makan dan hati akan menjadi keras jika selalu kekenyangan, hal ini adalah sunnatullah (ketetapan Allah) yang tidak pernah berubah.
Celakalah orang yang keras hatinya dan tidak mengingati Allah. Bahkan seorang muslim yang bersungguh-sungguh dalam beribadah, mengerjakan kebaikan dan ketaatan sehingga kurang tidur malam kerana mengerjakan solat tahajud sekalipun tidak akan merasakan lazat dan manisnya ibadah jika ia berlebihan dalam perkara harus tersebut.
Ibnul Qoyyim ada berkata; “Banyak mengambil makanan adalah sebuah penyakit yang akan menimbulkan keburukan, banyak makan dapat menjerumuskan anggota badan untuk melakukan maksiat dan berat untuk melakukan ketaatan. Maka cermatilah keburukan ini.”
Allahu ‘alam
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.