JUTAAN TERIMA KASIH SAYA UCAPKAN KEPADA SEMUA YANG SUDI MELAWAT BLOG INI,SANTAPAN ZAHIR BATIN JUGA DISEDIAKAN DISAMPING PELUANG BERNIAGA YG MUNGKIN SESUAI BUAT ANDA...HAKIKATNYA TAK KIRA SIAPAPUN ANDA. INGATLAH, ORANG YANG BERUSAHA & MENGHARGAI MASA ADALAH ORANG-ORANG YANG BERJAYA..INSYAALLAH..
Thursday, January 1, 2015
Bekerja ber'majikan' Allah
Sabarlah dalam setiapn ujian yang dihadapi ketika bekerja
Kebanyakan daripada pekerja berpendapat bahawa kerja yang dilakukan itu hanyalah amalan rutin harian untuk mendapat upah atau hasil. Manakala majikan pula adalah syarikat atau pihak pengurusan yang menggaji kita.
Penulis Karya Bestari, Mohd Yaakub Mohd Yunus berkata, tanggapan seperti ini sebenarnya kurang tepat. Ibadat dalam Islam bukanlah terhad kepada amalan ibadat ritual semata-mata seperti solat, puasa dan haji. Malah ibadat merangkumi segala kerja berbentuk kemasyarakatan, urusan mencari rezeki, sehinggalah kepada mentadbir sesebuah negara.
Menurutnya, segala perkara yang dilakukan dalam kehidupan mestilah diniatkan ikhlas untuk mencapai keredaan ALLAH SWT, sebagaimana ayat yang selalu dibacakan dalam doa Iftitah ketika mendirikan solat: “Katakanlah, sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk ALLAH, Tuhan semesta alam.” (Surah al-An’am : 162).
“Justeru itu apabila individu itu bersetuju bahawa kerja itu adalah sebahagian daripada ibadat, maka seharusnya menerima hakikat bahawa majikan lebih besar dan Maha Berkuasa ialah ALLAH.
“Sehubungan dengan itu dia bukan sekadar perlu mematuhi undang-undang atau polisi yang ditetapkan pihak syarikat, bahkan turut memastikan segala aspek dalam pekerjaan itu menepati piawaian syarak,” katanya kepada penulis.
Oleh itu, katanya, dalam apa jua perkara yang ingin dilakukan hendaklah ditanamkan niat ikhlas hanya untuk ALLAH. Jika dalam aspek pekerjaan pula hendaklah melakukan tugasan yang dipertanggungjawabkan dengan penuh komitmen tinggi, amanah dan ia dilakukan demi untuk mencapai keredaan ALLAH.
“Apa yang perlu ditanamkan dalam jiwa adalah ganjaran daripada sesuatu pekerjaan itu bukan hanya berbentuk material seperti gaji, bonus atau elaun.
“Tetapi aspek spiritual seperti dosa dan pahala serta keberkatan anugerah ALLAH demi mencapai kebahagiaan bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat kelak,” katanya.
Cabaran kerja
Berhadapan dengan cabaran kerja, kata Mohd Yaakub, haruslah tempuhi dengan penuh kesabaran agar ia dapat mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dan menerima segala limpah rahmat-Nya.
“Apakah itu sabar? Sabar adalah teguh dan tetap berada atas landasan agama apabila berhadapan dengan sesuatu cabaran. Janganlah pula untuk mengatasi sesuatu cabaran itu apabila memilih untuk melakukan sesuatu yang tidak beretika.
“Contohnya, untuk memenangi sesuatu kontrak yang turut ingin direbut pihak lain, jangan pula mengamalkan rasuah. Bagi pekerja yang beriman, untuk memenangi sesuatu kontrak hendaklah menerusi perancangan yang teliti, kertas cadangan yang lengkap, sebut harga yang kompetitif dan pembentangan yang mantap,” katanya.
Menurut Mohd Yaakub, untuk mencapai keredaan ALLAH perlu disertakan dengan niat ikhlas kerana-Nya dan ciri-ciri pekerjaan itu tidak bertentangan dengan syarak.
“Pekerjaan yang terdapat unsur maksiat, perjudian, hiburan melampau atau apa jua aspek bercanggah dengan Islam tidak akan mencapai keredaan ALLAH. Oleh itu, setiap umat Islam perlu menerapkan nilai profesionalisme dalam kerjaya mereka.
“Aspek kualiti dalam pekerjaan perlu dijaga dengan menerapkan sifat mulia yang dituntut syarak dalam urusan di pejabat seperti rajin, cekap, amanah, proaktif, adil dan bertanggungjawab.”
Pada dasarnya Islam mengajar umatnya agar sentiasa berusaha mengamalkan budaya kerja cemerlang dengan berpaksikan iman serta akhlak.
Beliau yang juga penulis buku bertajuk Manisnya Iman berkata, bagi mereka yang memahami bahawa ALLAH juga majikan dan kerja itu adalah ibadat. Ini tentu sekali akan meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja masing-masing kerana Islam mengajar umatnya dengan pelbagai sifat positif yang dapat membentuk tenaga kerja profesional.
Setiap umat Islam akan berhati-hati dalam setiap perbuatan mereka sekiranya ia diniatkan ikhlas kerana ALLAH SWT dan pengharapan serta kebergantungan mereka kepada hanya untuk keredaan ALLAH.
Apabila terdapat kelemahan dalam melaksanakan tugasan, seorang pekerja Muslim boleh menerima teguran membina dengan hati terbuka. Ini adalah kerana mereka sedar bahawa hanya ALLAH memiliki sifat sempurna.
“Manusia pula walau sehebat mana pun dia tetap memiliki kelemahan. Namun begitu mereka tetap berusaha untuk mencapai kualiti yang tinggi dalam kerjaya dan wujud ketenangan di sebalik setiap usaha mereka,” katanya.
Tukar kerja
Menghadapi tekanan atau bebanan kerja itu adalah perkara yang tidak dapat lari dalam dunia pekerjaan. Namun itu adalah bentuk ujian ALLAH yang perlu dihadapi umat Islam dengan tahap kesabaran tinggi.
“Namun begitu bukanlah menjadi suatu kesalahan bagi seseorang untuk mengubah haluan sekiranya merasakan pekerjaan yang dilakukannya kini kurang sesuai baginya. Sedangkan pasangan suami isteri dibenarkan untuk bercerai, inikan pula hubungan antara pekerja dengan majikan,” kata Mohd Yaakub.
Berkaitan bekerja dengan majikan bukan Muslim, beliau berkata, sekiranya ciri-ciri pekerjaan adalah harus dan halal dari sudut syarak maka bukanlah menjadi suatu kesalahan bagi Muslim untuk bekerja dengan majikan tersebut.
“Di samping itu, majikan bukan Islam juga perlu memerhatikan hak pekerja Islam di bawah tanggungannya untuk menunaikan perintah agamanya seperti mendirikan solat dan menutup aurat.
“Sekiranya hak umat Islam ini tidak dipatuhi majikan bukan Islam, maka hendaklah pekerja beragama Islam berusaha untuk mencari peluang kerja lain,” katanya.
Ingat amaran Rasulullah SAW yang bersabda dengan maksud: “Tidak boleh sama sekali taat kepada mana-mana makhluk dalam urusan menderhakai ALLAH ‘Azza Wa Jalla” (Riwayat Imam Ahmad)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.