Hadis: Puasa Jumaat
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi
Muhammad SAW berkata yang bermaksud: “Jangan kamu khaskan malam Jumaat dengan
solat yang berbeza daripada malam-malam yang lain dan jangan kamu khaskan hari
Jumaat dengan puasa yang berbeza daripada hari yang lain kecuali jika ia jatuh
pada hari yang seseorang kamu berpuasa padanya.” (Riwayat Muslim)
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi
Muhammad SAW bersabda yang bemaksud: “Janganlah seseorang kamu berpuasa pada
hari Jumaat kecuali dengan berpuasa sehari sebelum atau sehari selepasnya.”
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Daripada Abdullah bin Amru, Nabi
Muhammad SAW pergi ke rumah Juwairiyah binti Al-Harith dan mendapati dia
berpuasa pada Jumaat. Maka Baginda SAW bertanya: “Adakah engkau berpuasa
semalam?” Jawabnya: Tidak. Baginda SAW bertanya lagi: “Adakah engkau mahu
berpuasa esok?” Jawabnya: Tidak. Baginda SAW pun berkata, “Kalau begitu
berbukalah.” (Riwayat Bukhari)
Hadis: puasa Sabtu
Daripada Abdullah bin Busr daripada
kakaknya Al-Samma’, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan kamu
berpuasa pada hari Sabtu kecuali dalam apa yang difardukan (diwajibkan) atas
kamu, dan jika sekiranya seseorang kamu hanya mempunyai kerak anggur atau
tangkai pokok maka hendaklah ia mengunyahnya.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud,
Tirmizi, IbnuMajahdan Al-Darimi. Imam Al-Tirmizi menghasankannya manakala
Syeikh Al-Albani mensahihkannya dalam Irwaa’ Al-Ghalil hadis no. 960)
Daripada Umm Salamah, Rasulullah SAW
berpuasa pada Sabtu dan Ahad lebih daripada hari yang lain dan Baginda SAW
berkata: “Kedua-duanya adalah hari raya orang Musyrikin, maka saya suka
menyelisihkan mereka.” (Riwayat Ahmad dan didaifkan oleh Syeikh Al-Albani dalam
Silsilah Dha’ifah hadis no. 1099)
Kesimpulannya, dapat dikatakan
berpuasa pada Jumaat adalah dilarang kecuali:
Dengan berpuasa sehari sebelumnya
(Khamis); atau, Sekiranya ia menepati adat puasa seseorang itu.
Perbincangan puasa Sabtu
Terdapat perbezaan pendapat ulama
tentangnya. Ada yang mengatakan: Ia harus, sama seperti puasa Selasa dan Rabu.
(Pendapat Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah)
Harus, dengan syarat ia tidak
dilakukan secara ifrad (dengan berpuasa pada Sabtu sahaja) dan hendaklah dengan
berpuasa sehari sebelum (Jumaat) atau sehari selepasnya (Ahad).
Ia dilarang kecuali dalam puasa
fardu. (Pendapat Syeikh Al-Albani rahimahullah)
Syeikh Al-Albani rahimahullah, ulama
dalam bidang hadis secara khasnya di dalam kitabnya berjudul Tamam Al-Minnah
(halaman 405-408) menyimpulkan, hadis yang menyebut larangan berpuasa pada
Sabtu (hadis nombor 4) adalah sahih.
Walaupun ada ulama yang
mendaifkannya, tetapi jalan riwayatnya saling menguatkan antara satu sama lain
sehingga menjadikannya sahih tanpa keraguan padanya.
Adapun alasan berpuasa pada Sabtu
hanya dilarang jika ia dilakukan secara ifrad (dengan berpuasa pada Sabtu
sahaja), Syeikh Al-Albani rahimahullah melihat alasan ini tertolak dengan sabda
Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Kecuali dalam apa yang difardukan atas kamu”
dalam hadis nombor 4 di atas.
Sepertimana dijelaskan oleh Ibnu
Al-Qayyim dalam Tahziib Al-Sunan, larangan berpuasa pada Sabtu meliputi semua
jenis puasa sunat pada hari tersebut tidak kira sama ada puasa sunat itu
dilakukan pada Sabtu sahaja atau dilakukan dengan disertai dengan berpuasa
sehari sebelum atau selepasnya.
Kalaulah benar yang dilarang adalah
puasa Sabtu secara ifrad sahaja pasti Nabi Muhammad SAW menyatakan, jangan
berpuasa pada hari Sabtu kecuali dengan berpuasa sehari sebelum atau sehari
selepasnya seperti mana yang dinyatakan dalam puasa hari Jumaat (hadis no. 2).
Bagaimanapun, bagi menghimpunkan
antara hadis larangan berpuasa pada Sabtu (hadis no. 4) dan hadis yang
mengharuskannya (hadis no. 2 dan 3), Ibnu Al-Qayyim menyimpulkan apa yang
dilarang adalah berpuasa pada Sabtu secara ifrad.
Dalam hal ini, Syeikh Al-Albani
rahimahullah melihat kesimpulan ini tidak mungkin kerana:
Ia jelas menyalahi hadis larangan
berpuasa pada Sabtu (hadis no. 4) yang hanya memberi pengecualian pada puasa
fardu.
Terdapat cara lain yang boleh
digunakan bagi menghimpunkan hadis ini iaitu dengan menggunakan kaedah-kaedah
usul fiqh yang telah digariskan oleh golongan ulama. Antaranya:
Sekiranya satu dalil yang melarang
bertembung dengan dalil yang mengharuskan; dalil yang melarang akan
didahulukan.
Sekiranya satu dalil kata-kata Nabi
Muhammad SAW bertembung dengan dalil perbuatan Baginda SAW; Dalil kata-kata
Baginda SAW akan didahulukan.
Berdasarkan kaedah ini, hadis
larangan berpuasa pada Sabtu (hadis no. 4) perlu didahulukan kerana ia larangan
manakala hadis nombor 2 dan 3 adalah pengharusan.
Begitu juga dengan hadis perbuatan
Nabi Muhammad SAW yang banyak berpuasa pada Sabtu dan Ahad (hadis no. 5),
sekiranya hadisnya sahih, dalil kata-kata Baginda SAW yang melarang berpuasa
pada Sabtu juga perlu didahulukan berdasarkan kaedah usul fiqh: dalil kata-kata
perlu didahulukan atas dalil perbuatan.
Bagaimanapun, sepertimana yang
dijelaskan Syeikh Al-Albani rahimahullah, hadis nombor 5 ini adalah lemah.
Kesimpulan puasa Sabtu
Kesimpulannya, Syeikh Al-Albani
rahimahullah, berpuasa hari Sabtu dilarang sama ada dilakukan secara ifrad mahu
pun dengan berpuasa sehari sebelum atau selepasnya. Tetap dilarang walaupun
Sabtu itu adalah Hari Arafah (9 Zulhijjah) atau Asyura’ (10 Muharram) kerana
jelas keduanya bukan puasa fardu.
Hal ini sama dengan larangan
berpuasa pada Isnin dan Khamis sekiranya Hari Raya Aidilfitri jatuh pada satu
daripada hari tersebut. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA:
“Baginda SAW melarang berpuasa pada dua hari iaitu; Hari Raya Aidilfitri dan
Aidiladha.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ustaz Idris Sulaiman
( Ahli Syura Ilmuwan Malaysia)
Sumber: billyinfo.blogspot.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.