BENARKAH? - Sebaik-baik Jin Adalah Sejahat-jahat Manusia?
Seringkali dicanang dan dimomokkan di dalam cerita seram yang
ditayangkan di television bahawa sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat
manusia. Kenyataan ini meragukan kerana tidak pernah dinyatakan asas
sandarannya daripada Al-Quran dan hadis. Bagaimanapun, ia seolah-olah
sudah menjadi fakta yang diterima ramai sehingga penerbit filem seram
berani menggunakan kenyataan di atas sebagai dialog yang digunakan di
dalam filem mereka.
Asas pertama yang perlu dipegang apabila membicarakan perihal jin dan
malaikat ialah keimanan kepada perkara ghaib. Oleh kerana alam jin
adalah alam ghaib yang terhalang daripada alam nyata. Manusia tidak
boleh berbicara tentang jin kecuali mengikut neraca Al-Quran dan
Al-Sunnah.
Firman Allah ;
يَا بَنِي آدَمَ لا يَفْتِنَنَّكُمُ الشَّيْطَانُ كَمَا أَخْرَجَ أَبَوَيْكُمْ مِنَ الْجَنَّةِ يَنْزِعُ عَنْهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوْآتِهِمَا إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لا تَرَوْنَهُمْ إِنَّا جَعَلْنَا الشَّيَاطِينَ أَوْلِيَاءَ لِلَّذِينَ لا يُؤْمِنُونَ
Wahai anak-anak Adam! janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan
sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari syurga,
sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk
memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup).
Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu
tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya kami telah menjadikan
syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak
beriman.(Al-Araf :27)
Hanya kedua-dua sumber itu mampu menelah dan menembusi alam jin. Sesiapa
sahaja yang ingin mengutarakan buah fikiran mengenai alam jin perlu
terlebih dahulu merujuk Al-Quran dan Al-Sunnah supaya umat Islam tidak
berpegang kepada asas yang rapuh, tidak berasas atau disuap dengan fakta
karut dan khurafat yang tidak banyak membina iman dan minda.
Kenyataan yang terlalu umum “sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat
manusia” ini secara tidak langsung akan menzalimi sebahagian jin Islam
yang dipuji Allah SWT dan disebut kisah mereka di dalam Al-Quran. Mereka
ialah generasi awal jin Islam yang bertanggungjawab menyebarkan Islam
kepada makhluk jin kerana jin dan manusia mempunyai tanggungjawab agama
dan akan dihisab di akhirat kelak (Al-Rahman [55:31-36]).
Generasi awal jin Islam yang disebut kisah mereka dalam Al-Quran ini
selayaknya digelar sahabat nabi kerana memenuhi ciri serta takrifan para
ulama hadis iaitu sesiapa sahaja yang bertemu dan beriman dengan Nabi
Muhammad SAW.
Sekiranya kenyataan “sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia” ini
terus dipegang, kita secara tidak langsung akan menghukum para sahabat
Nabi Muhammad SAW jauh lebih jahat daripada manusia, sedangkan para
ulama sepakat mengatakan para sahabat adalah adil dan baik.
Generasi awal jin ini juga diiktiraf sebagai rasul atau utusan pendakwah dalam kalangan mereka.
Firman Allah:
يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ وَالإنْسِ أَلَمْ يَأْتِكُمْ رُسُلٌ مِنْكُمْ يَقُصُّونَ عَلَيْكُمْ آيَاتِي وَيُنْذِرُونَكُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَذَا قَالُوا شَهِدْنَا عَلَى أَنْفُسِنَا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَشَهِدُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ أَنَّهُمْ كَانُوا كَافِرِينَ
“Wahai sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang kepada kamu rasul-rasul daripada kalangan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayatKu (perintah-perintahKu), dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari (kiamat) ini?”)
(Al-An’am : 130)
Hakikatnya, para rasul hanya diutus dalam kalangan manusia. Namun
begitu, rasul dari kalangan jin dalam ayat ini adalah wakil kepada rasul
atau pendakwah dari kalangan jin yang mendengar bacaan Al-Quran yang
dibaca oleh Nabi Muhammad SAW(Tafsir al-Razi). Kisah mereka ini boleh
didapati di dalam Al-Quran.
Sebuah hadis turut merekodkan baginda Rasulullah SAW pernah memuji para
sahabatnya dari golongan jin yang begitu sensitif terhadap Al-Quran.
Baginda pernah membacakan surah Al-Rahman dari awal sehingga akhir
kepada para sahabat. Selain itu, para ulama hadis seperti Imam Ibn Hajar
Al-Asqalani tidak ketinggalan menyenaraikan nama golongan awal jin
bersama nama para sahabat nabi yang lain. Antara nama yang disebut
adalah Zawba’ah, Al-Adras, Hasir, Khasir dan sebagainya (Al-Isabah fi
Ma’rifat aAl-Sahabah).
Mungkin ada segelintir pihak cuba mempertahankan kenyataan meragukan
tersebut dengan mengatakan bukti harian jelas menunjukkan jin banyak
melakukan kerosakan dan kebiadapan terhadap manusia. Banyak sekali
hasutan dan rasukan berlaku yang memporak perandakan hidup manusia.
Sebenarnya kejahatan serta kebiadapan itu tidak hanya berpunca daripada
jin, bahkan ia juga berpunca daripada kejahatan manusia.
Firman Allah SWT:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ (٤١)قُلْ سِيرُوا فِي الأرْضِ (٤٢)فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِنْ قَبْلُ كَانَ أَكْثَرُهُمْ مُشْرِكِينَ
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut
dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya
yang demikian) kerana Allah SWT hendak merasakan mereka sebahagian
daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan,
supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”
Katakanlah: “Mengembaralah kamu di muka bumi ini, kemudian lihatlah
bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah
dibinasakan). Kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik.”
(Al-Rum : 41-42)
SUMBER : Utusan
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.