[Bernama]
Misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370
terjawab pada hari ke-17 operasi mencari dan menyelamat yang disertai
pelbagai negara, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
mengumumkan penerbangan itu berakhir di selatan Lautan Hindi. - sumber
Bernama
KRONOLOGI MH370 :
8 Mac 2014
- Pesawat MH370, jenis Boeing 777-200, membawa 239 penumpang dan anak
kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)
pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing, China pada 6.30 pagi
hari yang sama.
8 Mac 2014
- Pesawat MH370 dilaporkan hilang daripada radar awam Jabatan
Penerbangan Awam Malaysia (DCA) pada 1.30 pagi 120 batu nautika di timur
perairan Kota Bharu, Kelantan.
8 Mac 2014
- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerak pada 5.30 pagi melibatkan
15 pesawat TUDM, termasuk empat Hercules C130, sebuah CN 235, empat EC
725, dua helikopter Augusta serta enam kapal Tentera Laut Diraja
Malaysia (TLDM) dan tiga kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
(APMM).
8 Mac 2014
- Kenyataan media Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari
Yahya pada 7.30 pagi mengesahkan kehilangan pesawat itu dan kesemua
keluarga penumpang dimaklumkan; pecahan kerakyatan penumpang MH370 iaitu
38 rakyat Malaysia, 153 rakyat China, Indonesia (12), Australia (7),
Perancis (3), Amerika Syarikat (3), New Zealand (2), Ukraine (2), Kanada
(2), Rusia (1), Itali (1), Taiwan (1), Belanda (1) dan Austria (1).
9 Mac 2014
- Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata kawasan
pencarian diperluas di Laut China Selatan dan Selat Melaka.
9 Mac 2014
- Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengesahkan hanya dua
penumpang yang menggunakan pasport palsu Itali dan Austria, menaiki
pesawat MH370.
10 Mac 2014
- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar kerajaan akan
melakukan yang terbaik dalam operasi mencari dan menyelamat MH370.
10 Mac 2014
- APMM menerima keputusan ujian sampel tompokan minyak yang ditemui di
perairan Vietnam, yang negatif minyak pesawat dan disahkan sebagai
minyak bagi kapal kargo.
11 Mac 2014
- Misteri dua penumpang terjawab apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM)
dan ibu pejabat Interpol mendedahkan identiti mereka iaitu warga Iran
yang dikenali sebagai Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19, dan Delavar
Seyed Mohammad Erza, 29. Kedua-dua mereka disahkan tidak mempunyai
kaitan dengan kumpulan pengganas dan dipercayai cuba berhijrah ke
Eropah.
12 Mac 2014
- Hishammuddin memperjelas beberapa isu termasuk ada sedikit kemungkinan
MH370 melewati Selat Melaka, kerjasama dengan pakar penerbangan luar
negara dan semua orang yang mendaftar dalam penerbangan MH370 menaiki
pesawat.
Empat penumpang
tidak muncul semasa mendaftar. Mereka diganti dengan penumpang daripada
senarai menunggu. Penumpang berkenaan menaiki pesawat. Tiada bagasi
yang tidak dimuatkan.
Dua lelaki rakyat Iran, yang memasuki dan meninggalkan Malaysia menaiki pesawat MH370, menggunakan pasport yang sama.
13 Mac 2014
- Hishammuddin menafikan dakwaan bahawa pesawat itu mungkin terbang
kira-kira empat sejam selepas ia hilang dari skrin radar.
13 Mac 2014
- China menyatakan bahawa tiada bukti objek terapung yang dikesan
satelit di Laut China Selatan pada Ahad mempunyai hubung kait dengan
pesawat MAS yang hilang. Pihak berkuasa China juga berkata berlaku
kesilapan ketika mengeluarkan imej itu.
14 Mac 2014
- Pencarian diperluas sehingga ke Lautan Hindi. Armada Ketujuh Tentera
Laut Amerika Syarikat USS Kidd tiba di Selat Melaka untuk membantu
pencarian.
14 Mac 2014 - Pihak berkuasa mengkaji empat hingga lima kemungkinan bagaimana transponder pesawat ditutup.
15 Mac 2014 - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dapat mengesahkan laporan kemungkinan pesawat dirampas.
Najib berkata
komunikasi terakhir pesawat dengan satelit dikesan di satu daripada dua
koridor; koridor utara merentangi kawasan dari sempadan Kazakhstan dan
Turkmenistan ke bahagian utara Thailand atau koridor selatan yang
merentangi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi.
Najib berkata operasi mencari dan menyelamat di Laut China Selatan ditamatkan.
16 Mac 2014 - Hishammuddin berkata tiada sebarang tuntutan dibuat berhubungkehilangan pesawat.
16 Mac 2014
- Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata insiden kehilangan
MH370 disiasat mengikut Seksyen 130(C) Kanun Keseksaan bagi kesalahan
merampas, keganasan dan sabotaj, Akta Kesalahan Keselamatan
(Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Kesalahan Penerbangan 2003.
16 Mac 2014 - Polis mengambil simulator penerbangan dari rumah juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah.
17 Mac 2014 - Hishammuddin berkata operasi pencarian multinasional membabitkan 26 negara di koridor utara dan selatan bermula.
18 Mac 2014
- Hishammuddin berkata tiga juta orang mungkin terbabit dalam
usahamencari pesawat itu dengan dibantu pengusaha satelit DigitalGlobe.
19 Mac 2014 - Hishammuddin menafikan laporan bahawa pesawat itu dilihat terbangrendah di ruang udara Maldives.
20 Mac 2014
- Perdana Menteri Australia Tony Abbot menghubungi Perdana Menteri
Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 pagi untuk memaklumkan
bahawa objek yang dikesan satelit negara itu mungkin ada kaitan dengan
pesawat yang hilang
Satelit
Australian Maritime Safety Authority (AMSA) mengesan imej dua objek di
bahagian selatan Lautan Hindi terletak kira-kira 2,500 kilometer barat
daya Perth.
Hishammuddin
berkata operasi pencarian pesawat itu diteruskan dan objek yang dikesan
di Australia akan ditentukan sama ada sebahagian daripada MH370.
21 Mac 2014 -
Malaysia masih menunggu maklumat daripada pihak berkuasa Australia sama
ada objek yang dikesan di selatan Lautan Hindi pada Khamis ada kaitan
dengan MH370.
Hishammuddin berkata agensi perisikan antarabangsa tidak menemui sebarang keganjilan berdasarkan manifes penumpang pesawat itu.
Hishammuddin
berkata siasatan terhadap penumpang tunggal warga Ukraine yang
dijalankan oleh pihak berkuasa negara itu juga mengesahkan latar
belakang penumpang berkenaan bersih.
22 Mac 2014
- transkrip komunikasi yang didakwa antara pesawat MH370 dan pusat
kawalan trafik udara pada malam pesawat dilapor hilang diklasifikasi
sebagai tidak tepat dan tidak sah, kata DCA.
Hishammuddin berkata satelit China mencerap imej objek terapung berukuran 22.5 meter x 13 meter.
Hishammuddin
berkata pihak berkuasa Australia tidak mengesan sebarang objek dalam
pencarian di kawasan berkedudukan kira-kira 2,500 km dari barat daya
Perth.
23 Mac 2014 -
Hishammuddin berkata Malaysia menyerahkan imej baharu yang dicerap oleh
satelit pihak berkuasa Perancis kepada pusat koordinasi menyelamat
Australia.
Hishammuddin
berkata setakat 2.30 petang waktu Malaysia, pihak Australia memaklumkan
mereka tidak menemui sebarang petunjuk baharu berhubung MH370.
24 Mac 2014 - Hishammuddin berkata polis sudah mengambil keterangan lebih 100 orang termasuk keluarga juruterbang MH370.
Pada 10 malam, Najib mengumumkan kedudukan terakhir penerbangan MH370 dikesan di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.
Malaysia Airlines meluahkan rasa duka penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi. - 25/3/14
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.