Friday, October 25, 2013

HAYATI KISAH KEMATIAN

SYEIKH Ali at-Tantawi, Mufti Mesir, dalam siaran radio dan televisyen menyatakan, bahawa di Syria ada kisah seorang lelaki yang mempunyai sebuah kenderaan yang mengangkut peti-peti untuk menguburkan mayat dan di dalam peti itu terdapatnya kain yang boleh digunakan pada waktu-waktu yang diperlukan. Ketika kenderaan besar itu digerakkan, tanpa dia ketahui bahawa ada orang di atas kenderaan tersebut.

Tiba-tiba hujan turun dan air mengalir deras. Orang itu pun bangun dan masuk ke dalam peti, dan membungkus dirinya dengan kain yang terdapat di dalamnya. Kemudian di pertengahan jalan, ada seorang yang lain naik untuk menumpang kenderaan itu di samping peti-peti keranda itu. Dia tidak mengetahui bahawa di dalam peti itu ada orang hidup di dalamnya.

Pada saat itu hujan masih belum berhenti. Orang yang kedua ini menyangka yang diri seorang sahaja. Tiba-tiba dari dalam peti ada tangan terjulur keluar dengan tujuan untuk memastikan sama ada hujan masih turun ataupun sudah berhenti.

Ketika tangan itu terjulur, kain yang membungkus orang itu juga ikut terkeluar sama. Si penumpang itu terkejut dan takut bukan kepalang. Dia menyangkakan bahawa ada mayat yang hidup semula. Dek kerana ketakutan yang amat sangat, dia terus terjun keluar dari kenderaan itu lalu jatuh dengan posisi kepala di bawah dan mati serta-merta.

Demikianlah Allah menentukan kematian orang itu bahkan dengan cara yang dapat terdengar agak lucu seperti ini.

Yang selalu harus diingat oleh seorang hamba adalah bahawa dia sedang membawa dirinya bersama kematian, bahawa dia sedang berjalan menuju kematian dan bahawa dia sedang menunggu kematian itu entah datang pada pagi, petang atau malam.

Justeru, Saidina Ali bin Abi Talib telah mengungkapkan mengenai kematian dan berkata: “Sesungguhnya kematian terus mendekati kita dan dunia terus meninggalkan kita. Maka jadilah kamu anak-anak akhirat dan janganlah kamu menjadi anak-anak dunia. Sesungguhnya hari ini adalah beramal dan tidak ada hisab dan esok adalah hisab dan tidak ada lagi beramal.”

Ungkapan Saidina Ali ini mengingatkan kita bahawa manusia itu harus selalu siap sedia, selalu memperbaiki keadaan diri, memperbaharui taubatnya dan harus mengetahui bahawa dia sedang berhubungan dengan Allah SWT.

Kematian itu tidak pernah meminta izin kepada siapa sahaja, dan tidak pernah merajuk. Kematian itu tidak pernah memberikan amaran terlebih dahulu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok hari. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. (Luqman: 34)

Malah dalam siaran itu juga Syeikh at-Tantawi turut bercerita mengenai kisah kematian seorang pemandu sewaktu membawa penumpang yang penuh sesak di dalam sebuah bas. Pemandunya selalu menoleh ke kiri dan kanan dan secara tiba-tiba dia menghentikan bas itu.

Para penumpang lalu bertanya, “Mengapa engkau menghentikan bas ini?” Pemandu itu menjawab, “Saya berhenti untuk menghampiri orang tua yang melambai-lambaikan tangannya kerana hendak ikut menumpang bersama kita.”

Para penumpang kehairanan lalu terus bertanya lagi, “Kami tidak melihat sesiapa pun.” Tapi pemandu itu melihatnya. “Lihat (itu) dia,” Mereka tetap bingung. “Kami tidak melihat seorang pun.”

Pemandu itu pun berkata, “Kini dia datang untuk naik bersama kita.” Semua penumpang berkata, “Demi Allah, kami tidak melihat siapa-siapa.” Selang beberapa minit secara tiba-tiba pemandu itu mati terduduk di atas kerusinya.

Kematian datang dengan tiba-tiba dan begitulah jalan kematiannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak (pula) mendahulukannya. (al-A’raf: 34)

Manusia itu sangat pengecut terhadap hal-hal yang menakutkan dan merasa hatinya tidak mahu mendengar kematian disebutkan, namun tanpa disangka-sangka kematian itu datang menjemputnya tanpa diundang.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Orang-orang yang mengatakan kepada saudara-saudaranya dan mereka tidak turut pergi: Sekiranya mereka mengikuti kita, tentulah mereka tidak terbunuh. Katakanlah, Tolaklah kematian itu daripada dirimu, jika kamu orang-orang yang benar. (Ali-Imran: 168)

Tetapi yang paling menghairankan, kita tidak pernah berfikir bahawa kita akan bertemu Allah, bahawa dunia ini banyak cerita tentang bagaimana orang meninggal dunia. Kita tidak pernah sedar kecuali kita didera banyak ketakutan, sehingga fikiran seperti itu baharu muncul dan benar-benar mengejutkan.

Ahli syair bermadah: “Mati itu laksana bahtera dengan gelombang yang ditakuti manusia, kesihatan seseorang tidak menjamin panjangnya umur, dan penyakit pun tidak berwenang memajukan usia, setiap hari berita kematian mengejutkan kita, seolah-olah bagaikan burung berterbangan, entah akan hinggap pada sesiapa…”
Oleh IBRAHIM ABDULLAH
l PENULIS ialah bekas Pegawai Agama Seranta, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu
www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.