Kita
tahu bahawa ilmu itu cahaya, dan tidak akan memasuki hati-hati yang
gelap, tetapi kita lihat, kawan kita yang berjudi, yang minum arak,
boleh berjaya pula, sedangkan kita terkial-kial walaupun sudah berusaha.
Kita tahu bahawa, siapa yang berbuat baik,
taat kepada ALLAH akan dipermudahkan jalan kehidupannya, tetapi kita
lihat, kawan kita ini tidak solat, tetapi bisnesnya menjadi, kita pula
hidup dengan penuh cabaran dan duga. Kita juga tahu bahawa, ISLAM ini
agama yang benar, tetapi kita sering melihat orang-orang yang bukan
ISLAM itu lebih berjaya, dan ummat ISLAM tertindas dalam kehidupan
sempit lagi derita.
Kita akan tertanya-tanya, kenapa begitu?
Sekarang ini, yang manakah benar? Adakah kita faham selama ini tidak
benar? Maka saya hendak bertanya kepada anda. Adakah anda tahu apa
itu istidraj? Istidraj ini adalah satu kalimah, yang sering menunjuk kepada keadaan
seseorang itu yang terus dilimpahkan rezeki dan kejayaan yang melimpah
ruah dalam kehidupannya, walaupun dia bukan hamba ALLAH yang taat, malah
seorang pembuat maksiat yang tegar. Kenapa mereka ini dinamakan manusia
yang mendapat istidraj? Apakakah maksud istidraj? Istidraj adalah,
apabila ALLAH memberikan kejayaan, harta kekayaan, rezeki yang melimpah
ruah untuk manusia itu menjadi lebih jauh dariNya.
Biasanya, manusia
yang mendapat istidraj ini adalah mereka yang tidak berusaha menjalankan
ISLAM dalam kehidupan, juga tidak berusaha mengenali ALLAH SWT.
Contoh manusia yang mendapat istidraj ini banyak. Kita lihat contoh yang
mudah. Qarun. Apakah anda kenal kepada Qarun? Dia ini adalah seorang
manusia yang teramat kaya. Diriwayatkan bahawa, kotak yang mengisi kunci
kepada gedung-gedung perbendaharaannya tidak mampu diangkat oleh
orang-orang yang kuat. Hal
ini hendak menyatakan betapa kayanya dia. Kisah Qarun terdapat di
dalam Al-Quran. Hartanya melimpah ruah. Segala perniagaannya menjadi.
Segala pelaburannya mengembang. Hartanya makin hari makin bertambah,
sedang yang bertambah semalam tidak pula luak digunakan.
Tetapi bila
Nabi Musa cuba mengingatkannya berkenaan semua kekayaannya itu datang
daripada ALLAH, maka Qarun dengan angkuh menjawab, “ Tidak, semua ini
adalah hasil dari ilmuku” Lihat, lihat apa kata Qarun. Tidak, semua
ini adalah hasil dari… ILMUKU. Dia nyata semakin jauh dari ALLAH,
walaupun kekayaannya menjadi, rezekinya melimpah ruah dan sebagainya.
Dia saban waktu memperlekehkan pengikut-pengikut nabi Musa yang terdiri
daripada orang miskin dan hamba. Apakah pengakhiran Qarun? Dia akhirnya
ditenggelamkan ALLAH ke dalam bumi dengan seluruh hartanya. Kisah ini
terdapat di dalam Al-Quran. Nah… Apakah itu yang kita mahu? Sebab
itulah, saya
hendak mengajak saudara-saudari berfikir, apakah yang akan timbul di
dalam hati kalian apabila kalian ini jenis yang melazimi dosa-dosa,
melakukan maksiat, kemudian kalian berjaya di dalam peperiksaan atau
perniagaan. Apakah yang agaknya akan timbul dalam jiwa kalian? Saya
yakin, 99% akan merasa begini, “ Tengok, aku tak solat pun berjaya.
Siapa kata solat tu bawa kejayaan?”
Apakah
yang akan terjadi kepada
anda ketika itu? Anda berjaya, tetapi anda semakin jauh dari ALLAH.
Itulah istidraj. Maka jangan gusar bila tidak berjaya. Cuba lagi.
Hubungan keimanan anda dengan ALLAH itulah yang pertama sekali perlu
anda perhatikan. Jika anda berjaya membina hubungan keimanan yang baik,
insyaALLAH, datanglah badai apa sekalipun, anda akan mampu melaluinya.
Sebenarnya ALLAH suka menguji hamba-hambaNya yang beriman. Terdapat
satu kisah yang saya suka baca ketika saya masih kecil. Terdapat dua
orang nelayan. Seorang penyembah
berhala, dan seorang lagi muslim yang taat kepada ALLAH. Ketika menebar
jala, yang menyembah berhala menyebut nama berhalanya, manakala yang
muslim membaca bismillah. Bila jala diangkat, yang menyembah berhala
mendapat banyak ikan, manakala yang muslim, hampir sahaja tiada ikan
untuknya pada hari itu. Malaikat yang melihat keadaan itu bertanya
kepada ALLAH. “ Ya ALLAH, apakah yang telah berlaku? HambaMu yang
menyekutukanMu, KAU berikan dia rezeki yang banyak, sedangkan hambaMu
yang menyebut namaMu, KAU tidak memberikan DIA apa-apa” ALLAH
menjawab, “ Yang menyekutukanKu, tempatnya memang sudah pasti NERAKA.
Maka apalah sangat rezeki yang pasti akan hancur itu jika Kuberikan
kepadaNya? Tetapi HambaKu yang beriman itu, AKU hendak mengganjarkanNya
syurga, maka AKU suka mengujinya untuk melihat kebenaran imanNya”
Nah,
jangan anda kecewa bila diuji, tidak berjaya di dalam peperiksaan walau
sudah study, gagal dalam
perniagaan walau kemas menyusun strategi. Itu semua adalah sebahagian
dari ujian ALLAH. ALLAH menguji hanya untuk mereka yang dikasihi.
Bukankah ALLAH SWT ada berfirman, “ Apakah kamu mengira KAMI akan
membiarkan kamu berkata kami beriman sedangkan kamu belum diuji?”
Jika gagal terhadap satu-satu perkara, itu perkara itu. Anda masih belum
gagal dalam kehidupan. Teruskan usaha, selagi nyawa masih ada.
InsyaALLAH, ALLAH akan memberikan sesuatu yang bermakna kepada anda.
Bersangka baiklah kita kepada PENCIPTA kita.
Maka sebenarnya, bila
hidup kita digegarkan dengan masalah, hendaklah kita rasa bersyukur.
Tandanya, ALLAH masih lagi dekat dengan kita. Ujian adalah tanda kasih
sayang dan perhatianNya kepada kita. Mustahil anda suka senang
sebentar di dunia, di akhirat yang kekal abadi nanti anda merana. Anda
mahukan istidraj? Saya yakin tidak. Anda tenang sekarang? Anda
wajib untuk tidak berasa tenang
jika anda berbuat dosa, dan anda berjaya. Sebab itulah, muhasabah diri
itu penting. Untuk kita sentiasa periksa bagaimanakah hubungan kita
dengan ALLAH SWT. Aku berdosa, tetapi aku berjaya. Berhati-hatilah
kita agar jangan sampai lafaz itu, atau lafaz-lafaz yang membawa maksud
serupa itu terkeluar dari mulut kita. Mari kita sama-sama duduk, dan
bermuhasabah semula.
Satu lagi kisah yang serupa elok dikongsikan di sini, teringat kisah raja yang zalim dan engkar perintah Allah dengan raja yang taat pada Allah..
Maaf kalau cerita ini banyak
kekurangan, Dipendekkan cerita raja yang zalim sedang nazak dan sebelum
mati beliau meminta supaya dicarikan sejenis ikan kerana teringin sangat
nak makan ikan tersebut. Para nelayan kegusaran kerana musim tersebut
bukan musim untuk mendapatkan ikan jenis itu, bagaimanapun dengan takdir
Allah mereka menjadi hairan kerana tetiba jer ikan-ikan tersebut muncul
dan mudah saja di tangkap, selepas makan ikan tersebut raja pun mati.
Sementara itu ada pula kisah seorang raja yang taat kepada Allah juga sedang
nazak dan teringin nak makan ikan tersebut, .. para nelayan dengan gembira
mencarinya kerana memang musim itu memang musim untuk menangkap ikan
tersebut, namun takdir Allah juga para nelayan gagal menangkap walaupun
seekor ikan jenis itu dan matilah raja yang taat tanpa mendapat
hajatnya.
Para malaikat bertanya kepada Allah mengapakah Allah menetapkan
takdir sedemikan kepada dua raja tersebut. Lalu Allah menjawab.. raja
yang zalim pernah melakukan satu kebaikan dan Allah tidak mahu berhutang
dengannya lalu menunaikan hajatnya maka selesailah hutang tersebut,
sementara raja yang taat pula pernah melakukan satu dosa dan Allah tidak
mahu dosa itu mengikutnya maka Allah balas dengan melenyapkan ikan dan
habislah dosa raja yang taat itu...
Wallahualam..
Mari kita renungkan dan fikirkan bersama.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.