Baru-baru ini, penulis dimaklumkan
ada hamba Allah di Pahang dan Negeri Sembilan yang mendakwa selalu dikunjungi
oleh Nabi Khidir a.s. dalam pelbagai rupa untuk membantunya melakukan rawatan.
Di Terengganu pula, ada yang mendakwa diajar ilmu laduni oleh Nabi Khidir dan
orang-orang tertentu. Mungkin ini adalah satu kelebihan yang Allah SWT
kurniakan kepada mereka dan ia tidak mustahil boleh terjadi. Namun, dari satu
sudut, kita perlu merujuk kepada Al-Quran dan sunnah untuk menilai sama ada
ianya sesuatu yang benar dari Allah SWT, atau hanya tipu daya jin, syaitan dan
iblis.
Dalam Al-Quran, terdapat satu kisah
pertemuan antara Nabi Musa a.s. dengan Nabi Khidir a.s. untuk mempelajari ilmu
laduni. Rasanya elok jika kisah ini dikupas sebagai pendedahan dan panduan
dalam memahami perkara-perkara aneh dan luarbiasa ini. Kisah ini diabadikan
oleh Allah SWT dalam surah Al-Kahfi bermula ayat 60-82. Menurut Imam al-Razi
dalam tafsirnya, Nabi Musa a.s bertanya kepada Allah SWT, adakah terdapat
manusia yang lebih alim dari baginda. Lalu Allah SWT berfirman bahawa ada
seorang hamba yang lebih alim iaitu Khidir. Nabi Musa a.s. lalu memohon kepada
Allah SWT untuk bertemu dan belajar dari Khidir. Para ulama berselisih pendapat
tentang siapakah Khidir ini. Ada yang mengatakan beliau adalah wali Allah.
Namun, majoriti berpendapat bahawa beliau adalah salah seorang Nabi.
Perjalanan Musa yang jauh untuk
bertemu Khidir
Kita mulakan kisah ini dengan
meneliti firman Allah SWT dalam surah Al-Kahfi, ayat 60: "Dan
(ingatlah) ketika Musa berkata kepada muridnya: 'Aku tidak akan berhenti
(berjalan) sebelum sampai di pertemuan dua buah lautan; atau aku akan terus
berjalan sampai bertahun-tahun."
Ayat di atas menceritakan beberapa
syarat penting untuk bertemu Khidir. Syarat yang pertama ialah kesungguhan dan
kesabaran yang tinggi. Itulah yang dipamerkan oleh Nabi Musa a.s. Baginda
berazam tidak akan berhenti berjalan walaupun terpaksa mengambil masa
bertahun-tahun semata-mata untuk bertemu Khidir. Syarat kedua, sifat merendah
diri dan tawaddu’. Walaupun Musa sudah bergelar Rasul dan mempunyai murid dan
pengikut yang ramai, baginda tetap merendah diri untuk berguru dengan seorang
nabi yang bukan bertaraf rasul. Yang ketiga, masa dan lokasi pertemuan adalah
rahsia dan tiada siapa boleh menentukannya kecuali Allah SWT. Nabi Musa hanya
diperintahkan membawa bekalan dan berjalan terus sehingga sampai pertemuan
antara dua laut yang baginda sendiri tidak tahu di mana dan bila. Ketiga-tiga
syarat di atas jelas menunjukkan bahawa untuk bertemu dengan Nabi Khidir bukan
semudah yang disangka. Hatta Nabi Musa yang bergelar ulul azmi pun
terpaksa menempuh perjalanan yang jauh dan sukar sebelum diizinkan Allah SWT
bertemu dengan Nabi Khidir. Oleh itu, sekiranya ada yang mendakwa selalu
dikunjungi Nabi Khidir, maka perhatikanlah tahap kesungguhan dan keazaman yang
ada pada orang itu. Jika ternyata dia seorang yang tiada kesungguhan dan tiada
sifat mujahadah dalam melawan hawa nafsu, maka dakwaan tersebut perlu dinilai
semula.
Titik Pertemuan Musa dan Khidir
suatu yang rahsia
Kita sambung kisah seterusnya dengan
meneliti firman Allah SWT dalam ayat 61-65: "Maka ketika mereka berdua
sampai di pertemuan dua buah laut itu, maka mereka berdua terlupa akan hal
ikannya, lalu ikan itu melompat mengambil jalannya ke laut itu. Tatkala mereka
berjalan melampaui tempat itu, berkatalah Musa kepada muridnya: 'Bawalah ke
mari makanan tengahari kita; sesungguhnya kita merasa letih kerana perjalanan
kita ini.' Muridnya menjawab: 'Tahukah kamu tatkala kita mencari tempat
berlindung di batu tadi, maka sesungguhnya aku lupa (menceritakan tentang) ikan
itu dan tidak adalah yang melupakan aku untuk menceritakannya kecuali syaitan
dan ikan itu mengambil jalannya ke laut dengan cara yang aneh sekali.' Musa
berkata: 'Itulah (tempat) yang kita cari; lalu keduanya kembali, mengikuti
jejak mereka semula. Lalu mereka bertemu dengan seorang hamba di antara
hamba-hamba Kami, yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami, dan
yang telah Kami ajarkan kepadanya ilmu dari sisi Kami. "
Ayat di atas mengisahkan
dugaan-dugaan dihadapi oleh Nabi Musa dalam perjalanannya untuk bertemu Khidir.
Yang pertama ialah keletihan yang dialaminya setelah menempuh perjalanan yang
amat jauh. Ketika tertidur akibat kepenatan, berlaku satu peristiwa aneh. Ikan
yang dibawa mereka sebagai bekalan tiba-tiba hidup dan melompat berenang ke
laut. Peristiwa ini disaksikan oleh muridnya Yusya’ bin Nun. Malangnya, syaitan
telah menjadikan beliau lupa untuk menceritakan hal tersebut kepada Nabi Musa.
Lalu mereka meneruskan perjalanan yang jauh sehingga Nabi Musa sekali lagi
keletihan. Kejadian ini menunjukkan bahawa pertemuan dengan Nabi Khidir bukan
sahaja akan diuji dengan kesusahan dan kepayahan, malah syaitan akan turut
datang untuk mengagalkannya. Oleh itu, sekiranya seseorang mendakwa sering
bertemu dengan Nabi Khidir tanpa melalui sebarang ujian dan dugaan, maka kita
perlu bertanya adakah yang datang itu benar-benar Nabi Khidir atau syaitan yang
cuba memesongkan kita? Sama-sama kita fikirkan.
Syarat untuk belajar dari Khidir
Kisah ini diteruskan dengan firman
Allah SWT dalam ayat 66-70:"Musa berkata kepada hamba Allah itu:
“Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepada ku ilmu dari apa yang
telah Allah ajarkan pada kamu?” Jawab hamba Allah itu:" Sesungguhnya
kamu Musa sekali-kali tidak sanggup sabar bersamaku. Dan bagaimana kamu dapat
bersabar atas sesuatu yang kamu belum mempunyai pengetahuan yang cukup tentang
hal itu." Musa pun menjawab," Insya Allah kamu akan mendapati aku
seorang yang sabar dan tidak akan menentang kamu dalam sesuatu urusan
pun." Hamba Allah itu berkata:"Jika kamu mengikutiku maka janganlah
kamu menanyakan kepadaku tentang sesuatu apapun, sampai aku sendiri
menerangkannya kepadamu."
Dari ayat di atas, terdapat
perbezaan antara permintaan Musa yang penuh dengan kesopanan dengan jawapan
Khidir yang tegas menyatakan bahawa Musa tidak akan mampu bersabar dengannya.
Dialog ini membuka satu rahsia besar yang menjadi syarat utama untuk seseorang
dikurniakan ilmu laduni iaitu sifat kesabaran yang tinggi dan sifat redha
dengan apa yang terjadi. Sejak awal lagi, Khidir telah mengingatkan Musa akan
hal ini. Jika Nabi Musa yang dikurniakan ilmu dari kitab Taurat dan mukjizat
yang hebat pun tidak mampu bersabar, inikan pula kita manusia biasa yang sangat
cetek ilmu. Jika Nabi Musa yang dikurniakan kelebihan dapat berdialog secara
terus dengan Allah SWT pun dikenakan syarat supaya jangan bertanya, bagaimana
pula dengan kita yang sering mempersoalkan ketentuan dan takdir Allah SWT. Oleh
itu, sekiranya seseorang mendakwa mempelajari ilmu laduni tanpa dilengkapi
sabar dan redha, maka kita perlu menyiasat adakah yang mengajar itu benar-benar
Nabi Khidir.
Ujian pertama: Khidir merosakkan
kapal
Dilanjutkan kisah ini dengan firman
Allah SWT dalam ayat 71-73:"Maka berjalanlah keduanya, hingga tatkala
keduanya menaiki bahtera lalu Khidir melubanginya. Musa berkata: “Mengapa kamu
melubangi bahtera itu yang akibatnya kamu menenggelamkan penumpangnya?
Sesungguhnya kamu telah berbuat sesuatu kesalahan yang besar.' Dia (Khidir)
berkata: 'Bukankah aku telah berkata: 'Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan
sabar bersama dengan aku.' Musa berkata: 'Janganlah kamu menghukum aku kerana
kelupaanku dan janganlah kamu membebani aku dengan sesuatu kesulitan dalam
urusanku.'
Ayat ini membuktikan kebenaran
peringatan awal yang diberikan oleh Khidir kepada Musa. Tindakan aneh Khidir
memecahkan dinding bahtera milik nelayan yang ditumpangi secara percuma itu
menimbulkan persoalan di hati Musa. Sebab itulah Musa telah diberi peringatan
agar berdiam diri dan merahsiakan sahaja apa yang terlintas di hati. Kisah ini
sebenarnya memberi pengajaran bahawa seseorang yang dikurniakan ilmu laduni
perlu bersabar dan menahan diri dari mempersoalkan apatah lagi bercerita
tentang keajaiban dan keanehan ilmu kepada sesiapa. Oleh itu, sekiranya kita
mendakwa memperolehi ilmu laduni dan asyik menceritakannya kepada orang, maka
kita perlu bertanya adakah benar itu ilmu laduni? Sama-sama kita fikirkan.
Ujian kedua: Khidir membunuh
kanak-kanak
Kisah tersebut disambung Allah SWT
melalui firmanNya dalam ayat 74-76: “Maka berjalanlah keduanya; hingga
tatkala keduanya berjumpa dengan seorang anak, maka Khidir membunuhnya. Musa
berkata: 'Mengapa kamu membunuh jiwa yang bersih itu, bukan kerana dia membunuh
orang lain? Sesungguhnya kamu telah melakukan suatu yang mungkar.' Khidir
berkata: 'Bukankah sudah kukatakan kepadamu, bahawa sesungguhnya kamu tidak
akan sabar bersamaku?' Musa berkata: 'Jika aku bertanya kepadamu tentang
sesuatu sesudah (kali) ini, maka janganlah engkau memperbolehkan aku
menyertaimu, sesungguhnya kamu sudah cukup memberikan uzur kepadaku.'
Jika tadi Musa diuji oleh Khidir
dengan kerosakan pada harta, sekarang Musa diuji pula dengan pembunuhan yang
dilakukannya ke atas seorang kanak-kanak. Sebagai seorang Nabi yang memahami
syariat, Musa dengan lantang bertanya Khidir tentang perkara itu. Lantas Khidir
kembali mengingatkan Musa bahawa dia tidak akan mampu bersabar bersamanya.
Begitulah ujian demi ujian yang harus dilalui oleh seseorang yang ingin
mendapatkan ilmu dan hikmah dari Nabi Khidir. Sabar dan redha sebenarnya adalah
kunci kepada ilmu laduni. Justeru, seharusnya kita fikirkan adakah tahap
kesabaran kita mencapai tahap kesabaran Nabi Musa yang tergolong dalam salah
seorang Rasul yang mempunyai keazaman yang teguh (ulul Azmi)?
Ujian Ketiga: Khidir membaiki tembok
Allah SWT seterusnya berfirman dalam
ayat 77-78:Maka keduanya berjalan; hingga tatkala keduanya sampai kepada
penduduk suatu negeri, mereka minta dijamu kepada penduduk negeri itu, tetapi
penduduk negeri itu tidak mau menjamu mereka, kemudian keduanya mendapatkan
dalam negeri itu dinding rumah yang hampir roboh, maka Khidir menegakkan
dinding itu. Musa berkata: 'Jikalau kamu mau, nescaya kamu mengambil upah untuk
itu.' Khidir berkata: 'Inilah perpisahan antara aku dengan kamu. Aku akan
memberitahukan kepadamu tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar
terhadapnya.
Dalam kejadian terakhir ini,
kedua-duanya tiba di sebuah desa dalam keadaan tersangat letih, haus dan lapar.
Mereka berdua meminta makanan daripada penduduk desa itu, tetapi penduduk desa
enggan menjamu mereka. Dalam keadaan itu, Khidir berusaha membina semula
dinding sebuah rumah yang hampir roboh di desa itu. Perbuatannya membuatkan
Musa kehairanan lalu bertanya mengapa tidak diambil upah atas kerjanya itu.
Peristiwa ini menunjukkan bahawa seorang yang ingin berguru atau bersahabat
dengan Khidir mestilah mempunyai sifat ikhlas yang tinggi. Dia seharusnya tidak
menjadikan sikap buruk seseorang sebagai penghalang untuk dia berbakti kepada
orang lain. Apa yang diharapkannya hanyalah keredhaan Allah SWT, bukannya
habuan dunia. Ada ulama mengatakan bahawa pertanyaan Musa kepada Khidir tentang
kejadian pertama (merosakkan bahtera) dan kejadian kedua (membunuh kanak-kanak)
masih boleh dimaafkan oleh Khidir kerana Musa berbuat demikian demi kebaikan
umat dan berlandaskan hukum syariat. Namun, apabila Musa mempersoalkan bayaran
upah atas kerja yang dilakukan, pertanyaan tersebut mempunyai unsur keduniaan
dan kepentingan diri. Pertanyaan itulah yang menjadi titik pemisah antara
mereka berdua. Oleh itu, bagi seseorang yang benar-benar belajar ilmu laduni
dari Nabi Khidir, sudah pasti dia dapat memahami dan mengerti akan makna
sebenar ikhlas dan ihsan.
Rahsia Kenapa Khidir Merosakkan
Bahtera
Bagi menghuraikan rahsia perbuatan
Nabi Khidir, Allah SWT berfirman dalam ayat 78-79: “Adapun bahtera itu
adalah kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut, dan aku sengaja
merosakkan bahtera itu, kerana di hadapan mereka ada seorang raja yang merampas
tiap-tiap bahtera.”
Perbuatan Khidir merosakkan bahtera
nelayan merupakan salah satu cabang ilmu laduni yang berupa kasyaf. Dengan
kurniaan tersebut, Khidir dapat melihat apa yang sedang berlaku di pelabuhan
yang jauh dari lokasi mereka berada. Khidir melihat setiap bahtera yang sampai
di pelabuhan tersebut diperiksa oleh raja. Bahtera-bahtera yang berkeadaan elok
akan dirampas, manakala bahtera yang rosak dan berlubang akan dibiarkan. Oleh
sebab itu, Khidir sengaja melubangi bahtera itu agar raja tidak akan
merampasnya. Dikalangan ahli sufi, kasyaf ini dikenali sebagai Toyyu
al-Makan iaitu hijab pandangan zahir dilipat atau diangkat sehingga
seseorang mampu melihat apa yang sedang berlaku di satu tempat yang jauh dari
tempat ia berada. Saidina Umar r.a. pernah dikurniakan kasyaf ini sehingga
beliau dapat melihat tentera Islam yang berada kira-kira 500 km dari Madinah
dalam keadaan bahaya. Bagaimanapun, kasyaf sebegini hanya terjadi sekali sekala
dan tidak boleh diprogramkan. Oleh kerana itu, pada malam Saidina Umar dibunuh,
beliau tidak nampak musuh yang hendak menikamnya walaupun musuh itu berada di
belakang beliau. Sekiranya seseorang dikurniakan kasyaf sebegini, ia perlu
disembunyikan dan tidak boleh dihebahkan. Itulah yang ditunjukkan oleh Khidir
a.s. Baginda tidak menceritakan apa yang dilihatnya kepada Musa sehingga
menyebabkan Musa tidak dapat bersabar atas tindakannya itu. Oleh itu, sekiranya
seseorang itu mendakwa dikurniakan kasyaf dan ianya dihebah-hebahkan kepada
orang lain, itu menandakan kasyaf tersebut bukan ilmu laduni, tetapi adalah
kasyaf dari jin dan syaitan.
Rahsia Kenapa Khidir Membunuh budak
Allah SWT mengungkapkan rahsia
seterusnya dalam dalam ayat 80-81: “Dan adapun anak itu maka kedua orang tuanya
adalah orang-orang mukmin dan kami khuatir bahawa dia akan mendorong orang
tuanya itu kepada kesesatan dan kekafiran. Dan kami menghendaki supaya Tuhan
mereka mengganti bagi mereka dengan anak yang lebih baik kesuciannya dari
anaknya itu dan lebih dalam dari kasih sayangnya (kepada ibu dan bapaknya).”
Dalam kejadian ini, Nabi Khidir
dikurniakan kasyaf sehingga dapat melihat apa yang akan berlaku di masa lepas
dan masa hadapan. Ini dikenali sebagai Toyyu al-Zaman iaitu hijab
pandangan zahir dilipat atau diangkat sehingga boleh melihat merentasi masa.
Menurut Imam al-Khazin dalam kitabnya Lubab al-Ta’wil fi Ma’ani Al-Tanzil,
budak yang dibunuh Nabi Khidir As bernama Haisur. Ibu dan bapanya adalah orang
yang soleh. Dengan izin Allah SWT, Khidir dapat melihat apa yang telah
dilakukan oleh budak ini pada masa lepas dan akan datang. Budak ini selalu
mencuri dan apabila dewasa, dia akan menjadi kafir dan memaksa kedua orang
tuanya kepada kekufuran. Peristiwa ini menunjukkan bahawa Khidir a.s. adalah
seorang yang sangat berhati-hati dalam soal iman dan akidah. Baginda tidak akan
membiarkan seseorang memaksa seorang yang lain melakukan kekufuran. Oleh itu,
sekiranya seorang yang mendakwa dirinya dikurniakan ilmu laduni dengan tujuan
untuk bermegah dan menunjukkan kehebatan diri, sudah pasti orang itu akan
dihukum oleh Nabi Khidir lantaran perbuatan bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk
itu adalah sebahagian dari perbuatan kufur.
Rahsia Kenapa Khidir Membina Semula
Tembok
Berkenaan rahsia tembok, Allah SWT
berfirman dalam ayat 82: “Adapun dinding rumah itu adalah kepunyaan anak
yatim di kota itu, dan di bawahnya ada harta benda simpanan bagi mereka berdua,
sedang ayahnya seseorang yang soleh, maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka
sampai kepada kedewasaannya dan mengeluarkan simpanannya itu, sebagai rahmat
dari Tuhanmu; dan bukanlah aku melakukannya itu menurut kemahuanku sendiri.
Demikian itu adalah tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar
terhadapnya.”
Apa yang diungkapkan Khidir
menunjukkan bahawa pengetahuan baginda tentang sesuatu yang ghaib adalah
kurniaan secara langsung dari Allah SWT. Ini adalah bukti bahawa ilmu laduni
tidak boleh dipelajari atau diwarisi. Ianya dikurniakan terus dari Allah SWT
untuk hamba-hambaNya yang mempunyai sifat ikhlas hati dan kesabaran yang
tinggi. Sesiapa yang mendakwa dapat mempelajari ilmu laduni dari seseorang,
sesungguhnya dakwaan tersebut adalah batil.
Demikianlah pelajaran dan pengajaran
yang didapati dari kisah pengembaraan Nabi Musa dan Nabi Khidir. Walaupun
kelihatan seolah-olah Musa gagal memperolehi ilmu laduni, sebenarnya tidak
begitu. Hasil ujian yang dilalui Musa ketika bersama Khidir, baginda
dikurniakan kasyaf yang istimewa iaitu dibukakan hijab pandangan batin
sehingga dapat melihat kekurangan diri sendiri seperti rasa besar diri, gopoh,
kurang mujahadah, kurang syukur, kurang keyakinan kepada Allah SWT dan
pentingkan diri. Hasilnya, Allah SWT kurniakan ilmu laduni yang lebih istimewa
secara terus ke dalam hati baginda iaitu sifat tawaddu’, sabar, mujahadah,
ikhlas, syukur, tawakal, redha dan mahabbah. Sifat-sifat tersebut lebih penting
kerana ia akan mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Ianya lebih bernilai
berbanding mendapat ilmu kasyaf suwari (iaitu kebolehan melihat gambaran
sesuatu yang telah atau akan berlaku) yang hanya bersifat duniawi. Inilah yang
dianjurkan dalam Islam agar kita dapat mengenal kekurangan diri dan
memperbaikinya agar menjadi hamba Allah yang benar-benar bertaqwa.
Berdasarkan kisah ini, para ulama
tasauf mengatakan sekiranya seseorang ingin memperbaiki hati yang rosak dan
dipenuhi sifat mazmumah, maka dia perlu mencari seorang guru mursyid yang
memahami syariat dan hakikat. Mudah-mudahan guru tersebut dapat membantu kita
mengenalpasti kekurangan diri dan membimbing proses pembersihannya (tazkiyyah
an-Nafs). Apabila hati telah bersih, maka mudahlah cahaya ilmu Allah untuk
menyuluh masuk. Apabila cahaya ini sudah menerangi hati, maka ia akan
menyuburkan sifat-sifat mahmudah sebagaimana yang dikurniakan kepada Nabi Musa
a.s. Itulah sebahagian cahaya dari pelbagai cahaya ilmu laduni milik Allah SWT
yang sebenar.
Sumber dari:
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.