Diriwayatkan daripada Aisyah r.a: Harits bin Hisyam bertanya
kepada Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah! Bagaimana wahyu Allah SWT diturunkan
kepada mu?” Rasulullah SAW menjawab: “Kadang-kadang ia diturunkan seperti bunyi
sebuah loceng. Dari berbagai-bagai cara wahyu diturunkan, cara inilah yang
paling berat dan kemudian suara (loceng) itu menghilang setelah aku menerima
wahyu itu. Kadang-kadang malaikat menemui ku dalam keadaan wujud seorang lelaki
dan berbicara kepada ku dan aku mengingati apa yang ia katakan. Aisyah r.a
menambah: :Ketika nabi SAW sedang menerima wahyu pada suatu hari yang dingin
aku melihat peluh berjatuhan dari dahinya hingga wahyu itu selesai diturunkan
Allah SWT.:
(al-Bukahri)
Huraian:
An–Nawwas bin Sam’an r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah,
bersabda maksudnya: “Apabila Allah SWT hendak mewahyukan perintahnya, maka Dia
firmankan wahyu tersebut, dan langit-langit bergetar dengan kerasnya kerana
takut kepada Allah, dan ketika para malaikat mendengar firman tersebut mereka
pengsan dan bersujud, dan di antara mereka yang pertama sekali bangun adalah
Jibril, maka Allah sampaikan wahyu yang dikehendaki-Nya kepada Jibril melewati
para malaikat dan langit.
Maka para penghuninya bertanya kepadanya : “Apa yang telah
Allah firmankan kepada mu ?”, Jibril menjawab : “Dia firmankan yang benar, dan
Dialah yang Maha Tinggi lagi Maha Besar, dan seluruh malaikat yang ia lewati
bertanya kepadanya seperti pertanyaan pertama, demikianlah sehingga Jibril menyampaikan
wahyu tersebut sesuai dengan yang telah diperintahkan oleh Allah SWT
kepadanya.”
Rasulullah SAW menerima wahyu pertamanya di Gua Hira’.
Ketika itu baginda berusia 40 tahun Pertama kali menerima wahyu baginda merasa
sungguh takut dan gementar. Saidatina Khadijahlah yang menenangkan baginda
dengan katanya: “Demi Allah, Allah tidak akan menyusahkan diri mu
selama-lamanya. Bergembira dan teguhkanlah hati mu. Sesungguhnya engkau seorang
yang suka menyambung tali persaudaraan, suka menanggung beban orang (yang
kurang bernasib baik), menghormati tetamu, memberikan sesuatu kepada orang yang
tidak mampu, bercakap benar dan memberikan bantuan kepada mereka yang ditimpa
bencana”.
Kata-kata lemah lembut dan manis inilah yang membuatkan hati
Baginda tenang. Begitulah setiap kali menerima wahyu yang datang dalam
berbagai-bagai keadaan. Wahyu ini turun kepada baginda dari semasa ke semasa
dalam jangka masa 23 tahun. Siri wahyu ini kemudiannya dikumpulkan dalam buku
bernama Al Mushaf yang juga dinamakan Al-Quran.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.