Puasa dari segi bahasa bermakna :
menahan daripada sesuatu.
Sebagaimana ayat :-
إِنِّي نَذَرْتُ لِلرَّحْمَنِ صَوْمًا فَلَنْ أُكَلِّمَ الْيَوْمَ إِنْسِيًّا
Maksudnya : Sesungguhnya aku bernazar
diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman (setelah aku menyatakan yang demikian)
maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada
hari ini.
[ Surah Maryam, Ayat : 26 ]
Maksud dalam ayat ini ialah menahan
diri daripada berkata-kata .
Adapun makna dari segi istilah syara`
ialah menahan diri daripada nafsu
syahwat dan nafsu perut dan dari perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula
daripada fajar (masuk waktu subuh ) sehingga terbenam matahari beserta dengan
niat untuk berpuasa .
PENGERTIAN HUKUM PUASA
Puasa merupakan
kewajipan kepada setiap orang islam berdasarkan kepada Al-Quran , Hadis, Ijmak
ulamak dan Qias. Sebagaimana Firman Allah Taala yang berbunyi :
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Kamu
diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu
daripada kamu, supaya kamu bertakwa.
[Surah Al-Baqarah, Ayat : 183]
Dan berdasarkan kepada firman Allah
Taala :
فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ
Maksudnya : Oleh itu, sesiapa dari
antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka
hendaklah dia berpuasa bulan itu.
[Surah Al-Baqarah, Ayat : 185]
Di dalam hadis pula disebut , Islam
itu terbina di atas lima perkara dan salah satu daripadanya ialah puasa pada
bulan Ramadhan . Oleh sebab itu telah bersepakat Ulamak mengatakan puasa itu
hukumnya wajib keatas orang islam yang sudah akil baligh ( cukup umur) dan
berkuasa . Ianya tidak diwajibkan kepada
orang kafir atau orang gila atau kanak-kanak
yang belum baligh, tetapi hendaklah dilatih untuk membiasakan diri
mereka dengan puasa .
SYARAT-SYARAT WAJIB PUASA
Syarat-syarat wajib puasa adalah :
1. Berakal: Orang yang gila tidak
wajib puasa.
2. Baligh (umur 15 tahun ke atas)
atau tanda yang lain. Kanak-kanak kecil tidak wajib puasa.
Sabda Rasulullah s.a.w:
رفع القلم عن ثلاثة : عن النائم حتى يستيقظ وعن الصبي حتى يحتلم ، وعن المجنون حتى يعقل
Maksudnya : Tiga golongan terlepas
dari hukum: (a) Orang yang tidur sehingga dia bangun (b) Orang gila sehingga
dia sembuh (c) Kanak-kanak sehingga dia mencapai umur baligh.
(Hadis Riwayat Imam Abu Daud)
3. Mampu berpuasa. Orang yang tidak
mampu samada kerana tua atau sakit tidak diwajibkan ke atas mereka berpuasa.
Firman Allah s.w.t:
وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
Maksud: Sesiapa yang sakit atau
sedang dalam perjalanan, maka hendaklah dia berpuasa di hari lain. Allah
menghendaki keringanan bagi kamu, dan Dia tidak menghendaki kesukaran ke atas
kamu.
[Surah Al-Baqarah, Ayat: 185]
Firman Allah s.w.t:
وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ
Maksud: Dan ke atas orang yang mampu
tetapi amat payah menunaikannya (kerana tua, lemah atau sebagainya) hendaklah
dia membayar fidyah, (iaitu) memberi makan orang miskin.
SYARAT SAH PUASA
1. Islam. Orang yang bukan Islam
tidak sah puasa.
2. Mumayyiz (iaitu dapat membezakan
yang baik dengan yang tidak baik).
3. Suci dari haid (darah kotoran) dan
nifas (darah setelah melahirkan anak). Orang yang kedatangan haid atau nifas
tidak sah berpuasa tetapi keduanya wajib mengganti (membayar) puasa yang
tertinggal itu secukupnya. (Qada': Ialah membayar kewajipan yang ditinggalkan
sesudah waktunya, seperti orang yang meninggalkan puasa kerana haid, wajib ke
atasnya menebus puasa yang ditinggalkan itu di dalam bulan lain. Kalau
ketinggalan 3 hari, wajib ke atasnya qada' 3 hari juga).
Diriwayatkan dari Aisyah r.a,
katanya: Kami disuruh oleh Rasulullah s.a.w mengqada' puasa dan tidak
disuruhnya untuk mengqada' sembahyang.
(Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari)
4. Dalam waktu yang dibolehkan
berpuasa.
RUKUN PUASA
1) Niat di dalam hati , niat ini
diwajibkan pada tiap-tiap malam, kerana
ibadat puasa pada tiap-tiap hari dalam bulan Ramadhan adalah perbuatan yang
terpisah di antara hari dengan hari yang lain .
Sebagaimana Hadis Nabi SAW :
من لم يجمع الصوم قبل الفجر فلا صيام له
Maksud : Sesiapa yang tidak berniat
puasa sebelum fajar maka tiada puasa baginya .
(Diriwayatkan oleh Ahmad dan Asbus
Sunan)
2,3) Menahan diri daripada makan dan
minum atau memasukkan sesuatu pada rongga tubuh badan dengan niat serta di
dalam keadaan sedar bahawa ianya sedang berpuasa walaupun sedikit bermula
daripada keluar fajar sehingga tenggelam matahari .
4) Menahan diri daripada melakukan
persetubuhan atau mengeluarkan mani dengan tangan ( Onani ) dan sebagainya .
Firman Allah Taala :
فَالآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ
Yang bermaksud : Maka sekarang
setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh
Allah bagi kamu dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang
putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar.
[Surah Al-Baqarah, Ayat : 187]
Sekiranya makan minum secara tidak
sengaja tidak membatalkan puasa berdasarkan kepada hadis nabi SAW :
أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا نَسِيَ فَأَكَلَ وَشَرِبَ فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ
Dari Abi Hurairah R.A, Sabda
Rasulullah S.A.W : " Siapa yang lupa bahwa ia berpuasa, lalu ia makan atau
minum(kemudian dia ingat), maka hendaklah dia sempurnakan puasanya, maka
sesungguhnya Allah telah memberi makan dan minum kepadanya.
(Hadits riwayat Muslim.)
5) Menahan diri daripada memuntahkan
makanan dengan segaja , kalau sekiranya seseorang itu muntah dengan tidak
sengaja tidak batal puasanya .
Sabda Rasulullah s.a.w:
من ذرعه القئ – غلبه – وهو صائم فليس عليه قضاء ومن استقاء فليقض
Maksudnya : Sesiapa yang terpaksa
muntah, tidaklah wajib mengqada' puasanya dan sesiapa yang sengaja muntah, maka
hendaklah dia mengqada' puasanya.
(Diriwayat oleh Ashabus Sunan)
PERKARA-PERKARA YANG
MEMBATALKAN PUASA
Pertama : Memasukkan sesuatu kedalam rongga
badan dengan sengaja , samaada daripada jenis makanan atau bukan makanan.
Termasuk perkara ini ialah :
1) Menghisap rokok / tembakau, candu,
dadah dan sebagainya. Dan menghisap (Nusyuk) melalui hidung.
2) Suntikan makanan atau menambah
vitamin.
Kedua : Memasukkan sesuatu daripada
dua jalan (Qubul & Dubur).
Ketiga : Memuntahkan makanan dengan
sengaja.
Keempat : Jimak (Bersetubuh)
Sebagaimana Hadis Rasulullah SAW yang
bermaksud:
Seorang lelaki datang kepada
Rasulullah s.a.w, katanya: Celaka aku, wahai Rasulullah. Nabi s.a.w berkata:
Apakah yang mencelakakan engkau? Jawab lelaki itu: Aku telah bersetubuh dengan
isteriku pada waktu siang di bulan Ramadan. Rasulullah s.a.w berkata:
Sanggupkah engkau memerdekakan hamba? Jawab lelaki itu: Tidak sanggup.
Rasulullah s.a.w berkata: Hendaklah engkau berpuasa dua bulan berturut-turut?.
Jawab lelaki itu: Tidak mampu. Kata Rasulullah s.a.w: Adakah engkau mempunyai
makanan untuk diberikan kepada enam puluh orang miskin?. Jawab lelaki itu:
Tidak. Kemudian lelaki itu duduk, sekejap lepas itu datang seseorang kepada
Nabi s.a.w dengan memberi satu bakul besar berisi tamar. Lalu Rasulullah s.a.w
bersabda: Sedekahkanlah kurma ini. Kata lelaki itu: Kepada siapakah?. Kepada yang
lebih miskin daripada aku? Demi Allah tidak ada penduduk kampung ini yang lebih
berhajat kepada makanan selain dari kami seisi rumah. Nabi s.a.w tertawa
sehingga terlihat gigi taringnya dan berkata: Pulanglah, berikanlah kurma itu
kepada ahli rumahmu.
(Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari dan
Muslim)
Kelima : Keluar Mani dengan sengaja.
Dengan apa cara yang pada adatnya
boleh membawa kepadanya. Atau dengan sengaja memandang, atau berfikir-fikir,
cium, sentuh dan sebagainya.
Akan tetapi sekiranya keluar kerana
bermimpi tidak membatalkan puasa.
Keenam dan Ketujuh : Keluar darah Haid dan Nifas .
كنا نحيض عند رسول الله صلى الله عليه وسلم ثم نطهر فنؤمر بقضاء الصوم ، ولا نؤمر بقضاء الصلاة
Maksudnya : Dari Aisyah r.a, katanya:
Kami disuruh oleh Rasulullah s.a.w mengqada' puasa dan tidak disuruhnya untuk
mengqada' sembahyang.
(Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari)
Kelapan : Gila .
Kesembilan : Murtad terkeluar
daripada islam samaada dengan perkataan atau perbuatan atau keyakinan.
وَمَنْ يَرْتَدِدْ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ
Maksudnya : Dan sesiapa di antara
kamu yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati
sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal
usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat.
[Surah Al-Baqarah, Ayat : 217]
Kesepuluh : Pengsan sepanjang hari
ketika berpuasa .
PERKARA-PERKARA SUNAT DALAM PUASA
Pertama : Segerakan berbuka puasa setelah
pasti terbenamnya matahari.
Sabda Rasulullah SAW. :
لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر
Maksudnya : Manusia akan tetap
berkeadaan baik selagi mereka menyegerakan berbuka
(Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan
Muslim)
Kedua : Menangguhkan sahur
keakhir waktu .
Dalam satu Hadis :
إن تأخير السحور من سنن المرسلين
Maksudnya : Sesungguhnya melewatkan
bersahur itu adalah sunnah Para Rasul
(Diriwayatkan oleh Ibn. Hibban)
Ketiga : Meninggalkan perkataan yang
tidak elok , seperti berbohong , mengumpat , menfitnah dan sebagainya daripada
perkara-perkara yang haram.
Sabda Rasulullah SAW.
من لم يدع قول الزور والعمل به فليس لله حاجة في أن يدع طعامه وشرابه
Maksudnya : Barangsiapa yang tidak
meninggalkan kata-kata dusta dan beramal dengannya maka Allah tidak mempunyai
hajat padanya dalam dia meninggalkan makanan dan minumannya (puasanya sia-sia).
(Diriwayatkan oleh Al-Bukhari)
HARI-HARI YANG DIHARAMKAN BERPUASA
Pertama : Diharamkan berpuasa pada
hari raya Eidul Fitri dan hari raya Eidul Adha. Samada puasa sunat atau pun
puasa wajib ataupun nazar .
Kedua : Hari Tasyrik iaitu 11,12,13
Zulhijjah.
Ketiga : Puasa sunat pada hari Syak
tanpa sebab ataupun berpuasa untuk ramadhan .
HARI SYAK ITU IALAH TIGA JENIS:-
1. Hari yang manusia bercakap padanya telah
kelihatan anak bulan tanpa membawa datang si penglihatnya .
2. Hari yang didakwa akan penyaksian anak
bulan padanya oleh sesiapa yang tidak diterima penyaksian dan perakuan daripada
mereka, seperti kanak-kanak, orang
perempuan , orang fasik , hamba dan hari itu jatuh hari ke- 30 Syaaban .
3. Sekiranya kita yakin pada kebenaran
dakwaan melihat anak bulan , maka wajib berpuasa , sekiranya membenarkan sahaja
tanpa keyakinan maka haru berpuasa , kalau sekiranya syak pada kebenaran
dakwaan tersebut maka haram berpuasa padanya
HUKUM BERSETUBUH PADA BULAN RAMADHAN
Diwajibkan Kaffarah
Al-Uzma – iaitu membebaskan hamba yang beriman – sekiranya tidak didapati maka
hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut, kalau sekiranya tidak mampu
hendaklah memberi makan kepada 60 orang yang miskin – Sebagai hukuman kepada
sesiapa yang merosakkan puasanya satu hari dibulan ramadhan dengan bersetubuh
dengan sengaja.
Sebagaimana Hadis Rasulullah SAW yang
bermaksud:
Seorang lelaki datang kepada
Rasulullah s.a.w, katanya: Celaka aku, wahai Rasulullah. Nabi s.a.w berkata:
Apakah yang mencelakakan engkau? Jawab lelaki itu: Aku telah bersetubuh dengan
isteriku pada waktu siang di bulan Ramadan. Rasulullah s.a.w berkata:
Sanggupkah engkau memerdekakan hamba? Jawab lelaki itu: Tidak sanggup.
Rasulullah s.a.w berkata: Hendaklah engkau berpuasa dua bulan berturut-turut?.
Jawab lelaki itu: Tidak mampu. Kata Rasulullah s.a.w: Adakah engkau mempunyai
makanan untuk diberikan kepada enam puluh orang miskin?. Jawab lelaki itu:
Tidak. Kemudian lelaki itu duduk, sekejap lepas itu datang seseorang kepada
Nabi s.a.w dengan memberi satu bakul besar berisi tamar. Lalu Rasulullah s.a.w
bersabda: Sedekahkanlah kurma ini. Kata lelaki itu: Kepada siapakah?. Kepada
yang lebih miskin daripada aku? Demi Allah tidak ada penduduk kampung ini yang lebih
berhajat kepada makanan selain dari kami seisi rumah. Nabi s.a.w tertawa
sehingga terlihat gigi taringnya dan berkata: Pulanglah, berikanlah kurma itu
kepada ahli rumahmu.
(Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari dan
Muslim)
Adapun Kaffarah tidak kena kepada orang
perempuan. Begitu juga dengan orang yang bermusafir tidak kena kaffarah baginya
kalau sekiranya melakukan persetubuhan dengan niat menggunakkan Rukhsah (
kelonggaran untuk tidak berpuasa ketika musafir ) kerana berbuka harus baginya
. Tidak kena kaffarah juga bagi mereka yang bersetubuh dengan sangkaan bahawa
hari masih malam walaupun hari sudahpun lebih daripada waktu terbitnya fajar.
1) Makna Puasa : menahan diri daripada nafsu
syahwat, nafsu perut dan dari perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula
daripada fajar (masuk waktu subuh ) sehingga terbenam matahari beserta dengan
niat untuk berpuasa .
2) Hukum Berpuasa : Wajib ke atas Setiap
Muslim yang telah Baligh, Berakal dan Mampu berpuasa.
3) Syarat Sah Puasa : Islam, Mumayyiz, Suci
dari Haidh dan Nifas dan dalam waktu dibolehkan berpuasa.
4) Rukun Puasa 5 :
1)Niat.
2)Menahan dari Makan
3)Menahan dari Minum
4) Menahan dari Bersetubuh atau
mengeluarkan Mani.
5) Menahan dari Muntah.
5) Perkara Membatalkan Puasa 9 :
1)Memasukkan sesuatu dalam rongga
badan
2)Memasukkan sesuatu ke Qubul dan
Dubur
3)Muntah
4)Bersetubuh
5)Mengeluarkan Mani
6)Datang Haidh
7)Nifas
8)Gila
9)Pengsan
6) Sunat Puasa 3 :
1)Menyegerakan berbuka
2)Melewatkan sahur
3)Meninggalkan perkataan tidak elok
7) Hari Diharamkan Puasa 3 :
1)Dua hari raya
2)Hari tasyrik
3)Hari syak
8) Hukum Bersetubuh Siang Hari Ramadhan :
Suami wajib membayar kaffarat besar.
Rujukan :
1) Al-Quranul Karim.
2) Al-Feqhul Muyassar
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.