Tasik Chini merupakan tasik air tawar yang yang kedua
terbesar di Malaysia. Tasik ini menyimpan satu kisah lagenda apabila sering
dikaitkan dengan penemuan seekor naga di sini.
Melayukini.net – Misteri Lagenda Naga Tasik Chini | Sejak dari
dahulu lagi kisah naga di Tasik Chini sering menjadi sebutan sehinggalah
sekarang. Kisah naga terlalu sinonim dengan tasik air tawar kedua terbesar di
Malaysia selepas Tasik Bera iaitu Tasik Chini. Beratus tahun telah berlalu,
namun lagenda ini masih terus melingkari penduduk setempat. Pelbagai kisah
telah diceritakan berkaitan misteri di kawasan ini. Walaubagaimanapun, kita
tidaklah diminta untuk mempercayainya seratus peratus.
Kisah 1
” Peneroka Felda Chini 2, Bahasan Abdullah,51, berkata
kewujudan naga di Tasik Chini memang benar kerana dia sendiri pernah melihatnya
pada 1986.Walaupun mungkin ada menganggap apa yang dikatakannya itu sebagai
dongeng, tetapi peristiwa yang berlaku dalam hidupnya membuktikan sebaliknya.
“Ketika itu, saya mengangkat jaring ikan di kawasan Laut Gumum tetapi
tersangkut ular besar di situ dan berhasrat membebaskannya.
“Bagaimanapun, selepas melihat ular itu seperti melawan,
saya kemudian menetak kepalanya hingga terkulai mati. “Saya meletakkan ular itu
dalam sampan dan terkejut kerana melihat darahnya seperti darah manusia, begitu
banyak dan kemudian mencampakkannya ke tasik,” katanya.
Bahasan berkata, ketika bahagian hujung jaring diangkat,
seekor lagi ular daripada spesies sama tersangkut di situ dan dia juga turut
membunuh ular berkenaan. Katanya, ketika menaiki sampan menuju ke pangkalan bot
pada kira-kira jam 10 pagi, secara tiba-tiba dia melihat tiga lengkungan badan
naga yang sangat besar muncul di permukaan air.”Walaupun jaraknya jauh dan
hanya beberapa minit, tetapi saya melihat jelas badan naga berwarna hitam itu
sangat besar dan ombak yang terhasil juga sangat kuat. “Ketika itu, dua lelaki
Indonesia yang sedang mandi di tepi tasik itu turut melihat kejadian itu dan
bergegas naik kerana ombak terlalu kuat,” katanya.Bahasan berkata, sekembalinya
ke rumah, kepalanya berasa gatal dan pada hari ketiga, kesan gatal di kepala
itu akhirnya menjadi seperti debu.
“Tidak lama kemudian, seluruh badan saya menjadi lemah dan
dijangkiti penyakit seperti kudis melepuh berair yang berbau hanyir.”Lebih 30
bomoh saya temui di seluruh negara untuk mengubat penyakit misteri ini tetapi
gagal, malah saya pernah dimasukkan ke hospital selama 20 hari pada 1988 tetapi
doktor mengesahkan saya tidak berpenyakit,” katanya. Bahasan berkata, penyakit
itu turut menyebabkan isterinya lari meninggalkannya. Katanya, seorang bomoh di
Terengganu yang ditemuinya memaklumkan penyakit itu hanya akan sembuh dengan
usaha dirinya sendiri.
“Saya menderita penyakit ini selama 13 tahun dan hanya
sembuh selepas saya nekad pergi semula ke kawasan saya menemui ular itu
dulu.”Saya berdoa pada Allah dan mengambil air Tasik Chini yang dicampurkan
dengan tanah tasik, kemudian disapu ke seluruh badan. “Rawatan itu saya buat
setiap hari dan bersyukur akhirnya sembuh juga tetapi kenangan itu meninggalkan
kesan mendalam dalam hidup saya yang mungkin terkena sumpahan naga di situ,”
katanya.”
Kisah 2
Berdasarkan cerita rakyat, seekor naga besar dikenali Naga
Seri Gumum, dikatakan menghuni Tasik Chini dan kisah itu turut dipaparkan pada
papan tanda besar yang diletakkan di Tasik Chini Resort untuk dibaca pelancong
yang datang ke situ.Menurut cerita orang tua-tua, satu ketika dahulu,
sekumpulan Orang Asli suku Jakun datang ke kawasan hutan tebal, lalu meneroka
dan membuka tanah di situ untuk bercucuk tanam.
Pada satu hari, ketika kumpulan Orang Asli itu berkumpul
untuk bercucuk tanam, tiba-tiba muncul seorang wanita bertongkat dan
memberitahu, tempat berkenaan adalah miliknya dan mereka perlu meminta izin
sebelum menerokanya. Bagaimanapun, wanita itu akhirnya mengizinkan mereka
membersihkan kawasan itu selepas Tok Batin meminta maaf dan bagi menguatkan
tuntutannya, wanita berkenaan mencacakkan tongkatnya di tengah kawasan yang
diterokai itu sambil memberi amaran supaya tidak mencabutnya sebelum dia
menghilangkan diri. Kumpulan itu terus bercucuk tanam sehingga tiba-tiba mereka
diganggu dengan salakkan anjing di pinggir kawasan yang dibersihkan.
Seorang daripada mereka mengambil keputusan untuk mencari
puncanya dan terkejut apabila mendapati bunyi salakkan itu datang daripada
sebatang kayu hitam besar yang lapuk. Lalu dia membaling tugalnya (kayu tajam
untuk membuat lubang tanaman) ke arah batang kayu itu dan terperanjat apabila
melihat darah memancut keluar daripada kayu hitam berkenaan. Dengan gementar
dia terus berlari dan menceritakan hal ganjil itu kepada rakannya, tetapi
rakan²nya tidak mempercayainya.
Ketika itu juga awan hitam menyelubungi angkasa, diikuti guruh
dan kilat sebelum hujan lebat. Kumpulan Orang Asli itu berpecah sambil
bertempiaran lari mencari perlindungan dan dalam keadaan kelam kabut, seorang
daripada mereka mencabut kayu yang dicacakkan wanita tadi. Ketika itu serta
merta air memancut keluar daripada lubang itu, bumi mula bergegar dan
membenamkan kawasan yang dibersihkan tadi dan takungan air hujan itu menjadi
sebuah tasik dikenali sebagai Tasik Chini.
Dongeng orang tempatan mengatakan kayu itu adalah jelmaan
seekor naga dikenali sebagai Naga Sri Gumum dan kawasan alur yang terdapat di
sekitarnya adalah kesan laluan Orang Asli dahulu ketika cuba menyelamatkan
diri. Cerita lagenda itu menjadi buah mulut daripada masyarakat dahulu sehingga
sekarang walaupun Tasik Chini itu seluas 12,565 hektar termasuk kawasan hutan
sekitarnya sudah melalui proses pembangunan sehingga menjadi tempat rekreasi
yang menarik. Kawasan Tasik Chini mempunyai 12 laut mengelilinginya iaitu Laut
Gumum, Pulau Balai, Chenahan, Tanjung Jerangkung, Genting Teratai, Mempitih, Kenawar,
Serodong, Melai, Batu Busuk, Labuh dan Jemberau.
Kisah 3
BERATUS tahun lamanya legenda naga mengisi pemikiran dan
kepercayaan Orang Asli yang berumah di sekitar Tasik Chini, Pekan, Pahang.
Namun bagi Tok Batin Kampung Tanjong Puput, Bahrain Sunta, 54, dia tidak pernah
melihat dengan matanya sendiri kelibat sang naga yang disebut-sebut itu. Yang
dia tahu, ada yang memanggil haiwan itu Seri Gumum, Seri Pahang, Seri Pekan
atau Seri Daik.
Bagaimanapun, katanya, tidak menyaksikannya sendiri bukan
bermakna dia tidak mempercayai legenda itu. ”Saya memang tak pernah jumpa
(naga). Tetapi saya percaya ia wujud. Kalau disebut naga, itu betul, harus
percaya walaupun tidak melihatnya dengan mata sendiri.
“Anak saya pernah ternampak seekor naga pada tahun 2000. Katanya
dia tengok badan dan kepalanya. ”Empat tahun kemudian, seorang anak kecil
nampak naga itu meluru dengan muncungnya menghala ke arahnya. Apabila anak itu
menjerit, kelibat makhluk itu terus hilang.
“Budak itu ceritakan kepada kami tentang mukanya yang sebesar
kepala lembu. Menakutkan! Anak itu trauma sampailah demam,” kenang Bahrain.
Malah sebelum itu, ketua keluarga di Tanjong Puput ini sudah
banyak kali menyaksikan penduduk kampung lari lintang-pukang kononnya ternampak
makhluk misteri itu. Mengakui mendengar kisah itu daripada nenek moyangnya
melalui penceritaan dari mulut ke mulut, Bahrain turut menggunakan pendekatan
yang sama terhadap anak-anaknya.
“Ia diperturunkan sebagai satu sejarah. Tujuannya ialah
supaya anak-anak berhati-hati ketika menghampiri air,” ujar bapa kepada 12
orang anak yang berumur antara 10 hingga 30 tahun ini.
Bahrain tidak pula menganggap mereka yang mendakwa pernah
melihat naga itu sebagai memiliki kelebihan atau keistimewaan.
“Sudah nasib mereka untuk jumpa naga itu. Saya percaya ada
orang tertentu saja yang boleh nampak, bukan semua orang. Tetapi mereka tidak
ada kelebihan apa-apa berbanding orang lain,” kata Bahrain. Penduduk kampung
juga tidak pernah risau memikirkan tentang sang naga.
“Ia bukan ancaman untuk kami. Belum pernah lagi ia
mengganggu kami. Hanya sekali-sekala dilihat di permukaan air,” sambungnya.
Menurut Bahrain, tiada sebarang upacara dibuat untuk
‘mententeramkan’ haiwan itu, jauh sekali memujanya. Yang pasti, penduduk
Tanjung Puput hidup seperti biasa, jauh daripada ketakutan terhadap seekor naga
yang entahkan ada entahkan tidak.
Bahrain berkata, sudah ada antara anak kampung yang berjaya
melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat universiti. ”Seorang sudah habis
belajar dan sekarang menjadi pengurus Risda di Sungai Terpai, Pahang. ”Ada juga
yang sedang belajar di Universiti Putra Malaysia,” jelas Bahrain. Namun dia
juga mengakui ramai anak kampung yang tidak lagi menyambung pelajaran selepas
tamat sekolah menengah.
Pandangan dilempar ke pondok terbuka bersebelahan.
Sekumpulan wanita sedang asyik meraut batang kayu renyah, gedomba dan relung
untuk menghasilkan sumpit. Sima yang merupakan isteri Bahrain, cukup bersahaja
melakukannya.
“Inilah aktiviti kami setiap hari. Yang perempuan buat
kerja-kerja kraf atau masuk ke hutan mencari produk hutan. ”Yang lelaki masuk
ke hutan untuk berburu atau ke laut mencari ikan,” katanya yang menjelaskan
perkataan laut sebenarnya merujuk kepada bahagian-bahagian tasik di sini.
Kemas dan halus saja buatannya. Mengukir motif daun bertangkai
untuk menghiasi hasil kraf itu, Sima berkata setiap wanita boleh menyudahkan
dua batang sumpit dalam sehari mengikut kemahiran masing-masing. Alat yang
suatu ketika dahulu dihasilkan sebagai senjata kini lebih cenderung dijadikan
alat perhiasan. Jika dahulu ia terdiri daripada kayu sepenuhnya, kini bahagian
dalamnya sudah berlapik besi.
“Dulu kami dapatkan sumber sepenuhnya dari hutan. Namun
sekarang kami beli hampir separuh daripadanya dari pekan,” ujarnya yang
menambah, barangan yang dihasilkan dijual sehingga ke pasaran Indonesia
manakala harganya ditentukan mengikut kepanjangnya. Selain sumpit, mereka turut
membuat bekas pensel dan perahu kecil untuk mainan kanak-kanak.
Langsung tidak membuatkan kami berasa jauh di pedalaman,
Sima mudah saja berkongsi bahawa legenda naga tidak banyak mempengaruhi
kehidupan seharian mereka. Lima keluarga yang dianggotai lebih lapan orang
setiap satunya meneruskan hidup di kampung ini tanpa rasa terhimpit dengan
legenda yang masih ‘bernyawa’ itu.
Di sebuah lagi pondok terbuka, tiga orang wanita muda sedang
rancak bermain batu seremban atau selambut. Membaling-balingkan bungkusan kecil
pasir ke udara, kedengaran gelak tawa mengekek penuh keseronokan. Namun,
tatkala kami menghampiri, masing-masing mendiamkan diri. Mungkin malu agaknya.
Kisah 4
Sebuah lagi lagenda Tasik Chini adalah berkenaan kota purba
Khmer (Thai-Kampuchea) yang tenggelam di situ. Misteri ini mungkin akan
diperjelaskan tidak lama lagi setelah penemuan beberapa artifak yang
seakan-akan buatan Khmer purba, serta kemungkinan tapak asas binaan di dasar
Tasik Chini ketika penyelidikan dijalankan baru-baru ini. Ramai juga membuat
spekulasi mengenai pokok teratai di situ, kerana teratai adalah sebahagian
unsur kebudayaan purba di Asia Tenggara yang didominasi agama Hindu serta
Buddha – tambahan pula di lain-lain tasik di seluruh Malaysia, tiada teratai
yang tumbuh secara semula jadi. Ada yang berpendapat bahawa teratai Tasik Chini
tumbuh meliar lanjutan teratai yang dahulunya disemai oleh penghuni kota Tasik
Chini yang tenggelam.
Melayukini.net - Walaupun ada yang berpendapat ia hanyalah
sebuah cerita dongeng, namun cerita-cerita orang Melayu dahulu adakalanya
betul. Seperti yang disebutkan di atas, tiada paksaan untuk kita mempercayainya
seratus peratus. Walaubagaimanapun Tasik Chini memang tidak lari dari dikaitkan
dengan seekor naga di tasik tersebut.
PROGRAM SALING BANTU SESAMA INSAN
LIHAT DISINI :http://goo.gl/92gtW
PROGRAM SALING BANTU SESAMA INSAN
LIHAT DISINI :http://goo.gl/92gtW
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.